20200128 - image_8053_1-2019-nCoV

Wabak Koronavirus Baru 2019-nCoV, atau juga dikenali sebagai Wabak Koronavirus Wuhan kerana ia paling awal ditemui di bandaraya Wuhan di China, sedang merebak bukan sahaja di bandaraya Wuhan dan Wilayah Hubei di China, tetapi di banyak tempat di dalam dan di luar negara China.

Setakat 28 Januari 2020, dilaporkan seramai lebih 4600 orang telah disahkan terkena jangkitan wabak  2019-nCoV di 18 buah negara, dengan majoriti besarnya tertumpu di Tanah Besar China. Seramai 106 orang pesakit di China telah mati kerana penyakit ini. Di Malaysia, 4 kes telah disahkan mendapat jangkitan koronavirus 2019-nCoV dengan semuanya ialah pelancong dari negara China.

Wabak Koronavirus Baru mula dikesan pada pertengahan bulan Disember 2019 di Wuhan, sebuah bandaraya besar di Tengah China yang merupakan ibu kota kepada Wilayah Hubei dengan penduduk lebih 11 juta orang. Kebanyakan kes awalan dengan pesakit yang menghidapi pneumonia berkait dengan orang yang pernah mengunjung Pasar Borong Makanan Laut Huanan yang terletak di Daerah Jianghan yang merupakan sebahagian daripada pusat bandaraya Wuhan. Asal usul Koronavirus 2019-nCoV masih belum dapat dikenalpasti, dan hanya terdapat anggapan ia mungkin berasal daripada hidupan liar yang diniagakan di Pasar Borong Makanan Laut Huanan.

Pasar Borong Makanan Laut Huanan diarahkan untuk ditutup pada 1 Januari 2020 bagi tujuan pembersihan dan pembasmian kuman. Namu, pada masa yang sama, polis Wuhan telah menyoal siasat 8 orang penduduk tempatan yang dikatakan menyebarkan “maklumat palsu” tentang wabak yang serupa SARS (sindrom pernafasan akut serius) di Wuhan. Selepas semakin banyak kes jangkitan 2019-nCoV dilaporkan, termasuk kes yang dikesan di luar bandaraya Wuhan, Kerajaan Pusat China baru mengeluarkan arahan untuk mengambil tindakan segera supaya membendung dan mengawal penularan wabak baru ini. Bandaraya Wuhan dikuarantin sepenuhnya pada 23 Januari 2020, dengan sekatan dikenakan ke atas semua pengangkutan awam yang masuk dan keluar bandaraya. Selepas itu, semakin banyak wilayah di China mengisytihar Darurat Kesihatan Awam Tahap 1 untuk menangani penularan wabak koronavirus 2019-nCoV.

Kerajaan Bandar Wuhan telah dikecam oleh penduduk di situ atas kegagalannya untuk bertindak awal dan cuba menyekat penyebaran maklumat tentang wabak. Malah, beberapa hari sebelum darurat diisytihar di bandaraya Wuhan, Kerajaan Bandar Wuhan menganjurkan satu jamuan makan besar-besaran pada 18 Januari 2020 yang disertai puluhan ribu orang. Dengan pengalaman yang pernah berlaku semasa penularan wabak SARS di China pada tahun 2002-2003, di mana Kerajaan China tidak cukup telus dalam mengendalikan krisis kesihatan awam tersebut yang meragut nyawa 775 orang (dengan majoritinya di Tanah Besar China, iaitu 349 orang, dan Hong Kong, 299 orang), memang ramai orang tidak mempunyai keyakinan yang sepenuh terhadap Kerajaan China walaupun ia bertindak lebih cepat kali ini berbanding 17 tahun dahulu.

Oleh sebab wabak koronavirus 2019-nCoV baru ditemui, risiko bahayanya yang sebenar berbanding wabak SARS masih belum diketahui lagi. Setakat ini, kadar kematiannya masih rendah berbanding SARS, dan pesakit yang meninggal dunia kerana menghidapi wabak koronavirus 2019-nCoV sudahpun mempunyai keadaan penyakit yang lain. Sudah dikenalpasti bahawa wabak ini boleh dijangkiti dari manusia ke manusia. Angka pembiakan asas (iaitu angka kes yang boleh dijana oleh satu kes jangkitan secara purata) dianggarkan antara 1.4 hingga 3.8, menurut beberapa kumpulan penyelidik yang berlainan. Tempoh inkubasi (iaitu tempoh masa dari pendedahan sehingga timbulnya gejala-gejala penyakit) adalah antara 2 hingga 14 hari. Gejala untuk penyakit koronavirus 2019-nCoV ini termasuk demam, batuk dan kesukaran bernafas. Setakat ini belum lagi adanya rawatan perubatan yang berkesan dan vaksin untuk penyakit ini, maka penyembuhan adalah bergantung pada daya tahan badan individu.

Wabak tidak boleh dihalang dengan kepanikan

Sejak berlakunya penularan wabak koronavirus 2019-nCoV, timbulnya kebimbangan di kalangan orang ramai, khususnya di negara di mana kes positif dilaporkan, termasuk negara kita Malaysia. Kebimbangan orang ramai terhadap sesuatu wabak yang belum diketahui kesan menyeluruh sebenarnya adalah sesuatu yang normal. Namun, apabila kebimbangan dan keresahan bertukar menjadi kepanikan, ia bukan sahaja tidak akan dapat membantu dalam mencegah penularan wabak, malah hanya akan membawa trauma yang mendalam kepada masyarakat umum, sama ada mereka yang berpenyakit dan keluarga mereka ataupun orang lain yang tidak menghidapi penyakit.

Dalam era teknologi penyebaran maklumat yang semakin canggih, bukan sahaja berita dapat disebarkan dengan lebih cepat, tetapi kepanikan yang disebabkan oleh berita palsu atau maklumat yang tidak tepat turut tersebar pada kadar yang sangat cepat. Untuk menghadapi keadaan kemungkinan penularan wabak, peranan penting untuk rakyat biasa adalah bersikap tenang, mendapatkan maklumat yang sahih daripada sumber yang boleh dipercayai, dan tidak sekali-kali menyebarkan maklumat yang tidak atau belum disahkan kesahihannya. Di samping itu, kita juga patut mengamalkan langkah-langkah berjaga-jaga untuk melindungi kesihatan diri, keluarga dan orang di sekeliling kita.

Kita juga perlu mengelakkan daripada mewujudkan stigma dan fobia terhadap golongan orang yang tertentu dalam menghadapi situasi krisis kesihatan awam. Baru-baru ini, terdapat satu petisyen online yang menggesa Kerajaan Malaysia untuk melarang kemasukan warga China ke negara kita dengan alasan “kerajaan patut lebih mengutamakan kesihatan rakyat Malaysia”, dan mendapat banyak tandatangan sokongan. Petisyen ini mencerminkan ketidakpercayaan ramai rakyat tempatan terhadap kebolehan kerajaan dalam menangani penularan wabak koronavirus 2019-nCoV dan juga ketelusan dalam penyampaian maklumat. Namun, ia juga menunjukkan terdapat sentimen kebencian yang mendalam di kalangan sebahagian rakyat Malaysia terhadap warga asing dari negara China yang terbentuk daripada pengaruh fahaman xenofobia (takut/benci pada warga asing).

Sekatan perjalanan sementara untuk mereka yang datang dari tempat berlakunya wabak ialah salah satu langkah yang perlu untuk menghadapi situasi penularan wabak, tetapi ia tidak seharusnya mensasarkan hanya pada satu kumpulan etnik atau warganegara tertentu dengan perasaan kebencian.

Kepanikan, stigma dan fobia, tidak akan menghalang penularan virus yang berbahaya pada badan fizikal manusia, sebaliknya ia akan menimbulkan trauma kepada kesihatan psikologi masyarakat keseluruhan. Adalah penting untuk kita mencegah perebakan kepanikan dan fobia dengan kesedaran sivik yang rasional.

Untuk pihak kerajaan pula, adalah amat penting untuk mana-mana kerajaan mengamalkan ketelusan dalam penyampaian maklumat berkenaan dengan situasi wabak. Kredibiliti kerajaan hanya dapat diwujudkan dengan ketelusan sepenuh.

Ancaman penularan wabak 2019-nCoV juga merupakan satu peringatan penting bahawa kita tidak boleh menggadaikan sistem kesihatan awam kita kepada golongan korporat swasta atas alasan “mengurangkan beban kewangan kerajaan”. Sistem kesihatan awam yang berkualiti tinggi dan sentiasa bersedia menghadapi ancaman krisis kesihatan awam adalah sangat mustahak untuk menjamin keselamatan nyawa dan kesejahteraan rakyat yang berkekalan.

20200128 - 20200127-corona-virus-wuhan-epa-s

Cara mencegah diri daripada jangkitan

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Kementerian Kesihatan Malaysia mencadangkan kepada orang ramai supaya mengambil langkah-langkah pencegahan yang mudah untuk mengurangkan pendedahan dan jangkitan virus, termasuk:

  •  Kerap mencuci tangan dengan air dan sabun atau bahan pencuci tangan berasaskan alkohol.
  • Menutupi mulut dan hidung dengan baik ketika bersin atau batuk.
  • Elakkan daripada sentuhan dengan individu yang demam atau mempunyai simtom selsema.
  • Dapatkan bantuan perubatan seawal mungkin jika mengalami demam, batuk dan kesusahan bernafas, dan memaklumkan sejarah perjalanan kepada doktor.
  • Elakkan daripada melawat ladang haiwan, pasar menjual haiwan hidup, tempat sembelihan atau menyentuh sebarang jenis haiwan.
  • Elakkan daripada mengambil makanan atau minimum produk haiwan yang mentah atau tidak dimasak sepenuhnya.
  • Elakkan daripada mengunjungi tempat tumpuan ramai.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *