FILE PHOTO: Protesters attend a demonstration held by "the sardines", a grassroots movement against far-right League leader Matteo Salvini, in Bologna

Gerakan Sardin yang bermula dari wilayah Emilia-Romagna pada pertengahan bulan November 2019, telah berjaya menyekat kemaraan kuasa pelampau kanan daripada menawan wilayah yang merupakan kubu kuat politik kiri di negara Itali untuk selama lebih 70 tahun itu… sekurang-kurangnya untuk ketika ini.

Dalam pilihanraya wilayah Emilia-Romagna yang diadakan pada 26 Januari 2020, Gabungan Kiri-Tengah yang dipimpin oleh Stefano Bonaccini, berjaya menangkis kemaraan Gabungan Kanan-Tengah yang diterajui oleh parti pelampau kanan Lega Nord. Dalam pengundian untuk Presiden Emilia-Romagna, Stefano Bonaccini, calon Gabungan Kiri-Tengah daripada Parti Demokratik, mendapat sebanyak 1,195,742 undi (51.42%), mengalahkan pesaing terdekatnya Lucia Borgonzoni, calon Gabungan Kanan-Tengah daripada parti Lega Nord, mendapat 1,014,672 undi (43.63%).

Stefano Bonaccini mendapat undi sebanyak 49.05% dalam pilihanraya wilayah Emilia-Romagna pada tahun 2014. Peratusan undi yang diperolehinya meningkat sedikit kali ini. Namun, peratusan undi yang diperoleh calon Gabungan Kanan-Tengah menyaksikan peningkatan yang signifikan, iaitu sebanyak 13.78 titik peratusan berbanding 29.85% dalam pilihanraya wilayah itu pada tahun 2014.

Dari segi taburan kerusi dalam Dewan Perundangan Emilia-Romagna, Gabungan Kiri-Tengah memenangi sebanyak 29 daripada 50 kerusi, kurang 3 kerusi berbanding pilihanraya wilayah sebelum ini pada tahun 2014. Gabungan Kanan-Tengah pula meraih sebanyak 19 kerusi, bertambah 7 kerusi berbanding tahun 2014. Gerakan Lima Bintang (M5S), sebuah parti politik populis yang cuba menampilkan dirinya anti-golongan berkuasa, hanya mendapat 2 kerusi, berkurangan sebanyak 3 kerusi berbanding pilihanraya sebelum ini. Sokongan untuk M5S telah menjunam daripada 13.31% pada tahun 2014 kepada hanya 3.48% kali ini.

Gabungan Kiri-Tengah yang mengambil bahagian dalam pilihanraya wilayah Emilia-Romagna kali ini terdiri daripada Parti Demokratik, “Kebebasan dan Kesamarataan” (Liberi e Uguali), “Eropah Hijau” (Europa Verde), Volt Europa, Più Europa dan Gerakan “Bonaccini untuk Presiden”.

Keputusan pilihanraya wilayah Emilia-Romagna kali ini, merupakan satu tamparan kepada Lega Nord yang dipimpin oleh Matteo Salvini di peringkat nasional Itali, di samping menyekat sementara kemaraan kuasa politik pelampau kanan. Sebelum pilihanraya wilayah ini, Salvini berazam untuk merampas kuasa pentadbiran wilayah Emilia-Romagna ke dalam tangan golongan kanan. Lega Nord mendapat keyakinan hebat selepas ia berjaya merampas wilayah Umbria yang lama dikuasai golongan kiri dalam pilihanraya wilayah itu pada 27 Oktober 2019.

Calon Presiden Emilia-Romagna daripada Lega Nord, Borgonzoni, pernah mengatakan bahawa dia hendak “membebaskan” Emilia-Romagna daripada golongan kiri. Salvini sendiri telah turun berkempen secara agresif di Emilia-Romagna. Akhirnya, cubaan golongan kanan untuk menawan wilayah Emilia-Romagna daripada golongan kiri telah gagal untuk kali ini.

Pilihanraya wilayah Emilia-Romagna juga merupakan satu ujian kepada kerajaan campuran nasional Itali yang dikuasai oleh Gabungan Kiri-Tengah dan M5S selepas Lega Nord disingkir keluar dari kabinet pada bulan Ogos 2019. Salvini cuba menggunakan kemenangan Lega Nord dalam pilihanraya wilayah untuk memaksa pilihanraya awal di peringkat nasional.

Salah satu faktor golongan kiri mampu mempertahankan wilayah Emilia-Romagna, adalah kemunculan Gerakan Sardin yang tercetus dari wilayah itu juga. Gerakan Sardin, sebuah gerakan masyarakat yang anti-fasis, melawan diskriminasi kaum dan menolak politik populis kanan, mengadakan aksi perhimpunan pertamanya yang disertai oleh hampir 15,000 orang di bandar Bologna, ibu kota wilayak Emilia-Romagna, pada 14 November 2019, kemudian merebak ke seluruh negara Itali. Himpunan Gerakan Sardin di bandar Rom pada 14 Disember 2019 dengan penyertaan hampir 100,000 orang.

Perhimpunan Gerakan Sardin di Bologna pada 19 Januari 2020, seminggu sebelum pilihanraya wilayah Emilia-Romagna, menyaksikan penyertaan seramai lebih 40,000 orang, memberi suntikan semangat kepada pengundi di “wilayah merah” itu untuk menewaskan kemaraan pelampau kanan. Hasil daripada mobilisasi Gerakan Sardin yang menentang politik kebencian, ramai orang keluar mengundi dan memastikan kemenangan Gabungan Kiri-Tengah di wilayah Emilia-Romagna. Gerakan Sardin sudah menunjukkan bahawa ia merupakan satu kuasa politik yang boleh memainkan peranan penting dalam mengubah imbangan kuasa di Itali.

Walau bagaimanapun, ancaman daripada kuasa pelampau kanan yang diterajui oleh Salvini dan partinya Lega Nord masih hebat lagi. Gabungan Kanan-Tengah yang didominasi Lega Nord di Emilia-Romagna memang telah merapatkan jurang undi antara Gabungan Kanan-Tengah dan Kiri-Tengah di wilayah itu. Sokongan kepada parti berhaluan kiri tertumpu di kawasan bandar sementara golongan konservatif masih berpengaruh kuat di kawasan luar bandar di wilayah itu. Sementara itu, Gabungan Kanan-Tengah telah memenangi pilihanraya wilayah Calabria, dengan calon daripada Forza Italia (parti berhaluan kanan yang dipimpin oleh bekas Perdana Menteri Itali Silvio Berlusconi) meraih sebanyak 55.29% undi.

Kegagalan golongan kanan untuk menawan Emilia-Romagna hanya memberi kelegaan yang seketika sahaja untuk golongan kiri di Itali. Golongan kiri dan gerakan massa seperti Gerakan Sardin perlu meneruskan usaha untuk membina alternatif progresif demi menghalang perluasan ancaman pelampau kanan.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s