antiwar.jpg

Kerajaan Amerika Syarikat (AS) pimpinan Donald Trump sedang membawa dunia ke ambang satu lagi perang yang dahsyat di rantau Timur Tengah. Sekali lagi, imperialis AS sedang menunjukkan kepada dunia bahawa ia ialah pengganas nombor satu di dunia yang sanggup mencetuskan satu lagi peperangan untuk seorang kapitalis mempertahankan jawatan Presiden negara itu.

Donald Trump pasti amat sedar bahawa tindakannya mengarahkan pembunuhan di luar undang-undang terhadap seorang pegawai tinggi Iran di tanah Iraq akan mengundang reaksi daripada Iran, dan meningkatkan konflik antara AS dengan Iran ke tahap peperangan berskala penuh. Namun, dia tidak kisah tentang berapa ramai orang akan terbunuh dalam peperangan, termasuk askar dan rakyat AS sendiri, kerana senario dunia yang semakin tegang akan mengapi-apikan lagi sentimen penyokong pelampau kanan yang menggilakan perang dan membantunya untuk memenangi Pilihanraya Presiden AS yang dijadualkan pada penghujung tahun ini. Peperangan ialah pil Ekstasi untuk imperialis dan golongan pelampau kanan.

Kepimpinan tinggi Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran Qasem Soleimani telah dibunuh bersama dengan beberapa orang yang lain dalam satu pembunuhan terancang yang melibatkan serangan udara di bandar Baghdad. Pembunuhan Qasem Soleimani telah mencetuskan aksi protes besar-besaran di Iraq dan Iran. Semasa perarakan pengembumian Qasem Soleimani di tempat lahirnya, bandar Kerman, Iran, pada 7 Januari 2020, telah terjadi peristiwa rempuhan di kalangan orang ramai dalam jumlah yang besar yang hendak memberi penghormatan terakhir kepadanya sehingga sekurang-kurangnya 56 orang mati.

Merespon kepada pembunuhan Qasem Soleimani, Kerajaan Iran telah menyatakan bahawa ia akan membalas dendam untuk Qasem Soleimani. Donald Trump pula mengancam bahawa dia akan mengarahkan serangan ke atas 52 tapak warisan budaya di Iran. Ancaman Trump sebegini meletakkannya sama taraf dengan pengganas Taliban yang pernah meletupkan tapak warisan budaya di Afghanistan.

Iran telah melancarkan serangan peluru berpandu ke atas tentera AS di Iraq mulai 8 Januari 2020.

Parlimen Iraq telah mengundi untuk menggesa tentera AS keluar dari negara itu.

Ancaman satu lagi perang di Timur Tengah telah mencetuskan gelombang aksi protes anti-perang yang terbaru di AS. Ribuan orang telah turun berdemonstrasi di jalanan di 90 buah bandar di AS pada 4 Januari 2020. Lebih banyak aksi protes telah dirancang dan akan diadakan untuk mendesak Kerajaan AS supaya menghentikan perang serta mengundurkan semua tenteranya keluar dari Iraq.

Walaupun kita patut menyeru kedua-dua pihak Iran dan AS untuk menghentikan serangan sesama mereka, tetapi Kerajaan AS yang masih mengamalkan dasar imperialisnya perlu dipertanggungjawabkan sepenuhnya terhadap keadaan yang semakin berbahaya di rantau Timur Tengah. Kita jangan lupa bahawa bagaimana perang yang dicetuskan oleh AS di Afghanistan dan Iraq telah mendatangkan kemusnahan, keganasan, kesengsaraan dan mimpi ngeri untuk jutaan rakyat di rantau itu. Kerajaan AS pimpinan Trump telah menarik diri daripada Perjanjian Nuklear dengan Iran pada tahun 2018 yang sepatutnya mengurangkan keadaan tegang di rantau Timur Tengah dan mengembalikan sekatan ekonomi ke atas Iran.

Iran merupakan negara yang berada di tangga ketiga antara negara dengan simpanan minyak petroleum yang diketahui, di belakang Venezuela dan Arab Saudi. Sejak pemerintahan Shah yang pro-AS dijatuhkan dalam Revolusi Iran 1979, hubungan AS dengan Iran sentiasa bermasalah dengan bermusuhan pada kebanyakan masa. AS sentiasa mahu menggantikan kerajaan di negara yang kaya dengan sumber minyak dengan rejim yang mesra terhadapnya dan mampu menjaga kepentingan kapitalis AS, sehingga sanggup menggunakan cara ketenteraan yang mengundang malapetaka kepada jutaan orang.

Sekiranya peperangan berskala penuh tercetus di Iran dan Iraq, ia akan turut menghancurkan usaha rakyat di kedua-dua negara itu untuk memperjuangkan masyarakat yang bersifat pembebasan dan sejahteraa. Sejak bulan Oktober 2019, Iraq telah dilanda gelombang protes yang terbesar dalam tahun-tahun kebelakangan ini untuk menuntut perubahan sepenuhnya terhadap sistem politik dan sosio-ekonomi yang diwujudkan sejak pendudukan tentera AS berikutan Perang Iraq 2003. Namun, kebangkitan rakyat ini pasti akan mengalami pukulan hebat, malah dihancurkan, jika peperangan tercetus semula di bumi Iraq. Di Iran juga, peperangan yang berlaku ke atas negara itu bermakna segala usaha untuk pembebasan, pembaharuan dan kesejahteraan rakyat Iran akan terjejas sepenuhnya.

Imperialisme AS sedang mengancam keamanan dunia dengan melakukan pembunuhan secara sesuka hati dan memprovokasi untuk lebih banyak perang. Kita perlu membina semula gerakan anti-perang merentasi batasan sempadan negara di dunia untuk menentang ancaman imperialis AS ini, dalam usaha kita memperjuangkan keadilan sosial, pembebasan rakyat dan kedamaian sejagat yang berkekalan di dunia.

20200108 - chicago2
Protes anti-perang di Chicago, AS, pada 4 Januari 2020.
20200108 - dc2
Protes anti-perang di Washington DC, AS, pada 4 Januari 2020.
20200108 - LA california
Protes anti-perang di Los Angeles, AS, pada 4 Januari 2020.
20200108 - new-york
Protes anti-perang di New York, AS, pada 4 Januari 2020.

One thought on “Imperialis AS pengganas nombor satu dunia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *