20191218 - international_migrants_day_2019.pngoleh Mohanarani Rasiah 

Hari ini, 18 Disember, ialah Hari Migran Antarabangsa. Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan badan-badan berkaitan cuba memberi satu gambaran yang riang tentang buruh migran memainkan peranan yang dinamik dalam pembangunan di kedua-dua negara asal dan negara destinasi mereka, dan rakyat boleh bergerak secara bebas ke mana-mana yang diingini mereka untuk memperbaiki kehidupan mereka. Keadaan sebenar migrasi berskala besar melibatkan dua pergerakan manusia yang terbesar, iaitu buruh dan pelarian, bagaimanapun situasi mereka di negara destinasi boleh jadi agak teruk.

Untuk mereka tinggal di banyak negara destinasi, istilah migran, migrasi dan pelarian, bukannya istilah neutral tanpa emosi. Secara umumnya, istilah-istilah ini membangkitkan perasaan negatif dari rasa kasihan ke permusuhan, dan dalam dekad yang lalu dengan migran berskala besar, perasaan ini telah mempengaruhi rakyat untuk menghukum kerajaan yang mengamalkan dasar pro-migran dengan mengundi untuk menyingkirkannya.

Situasi di Malaysia mungkin boleh menerangkan kenapa ia berlaku. Jika kita lihat pada tenaga kerja di Malaysia yang terdiri daripada pekerja tempatan, pekerja migran yang berdokumen dan tanpa dokumen, serta pelarian, kita nampak gambaran sedih kelas pekerja yang dipecah-belahkan dengan secara tidak sengaja untuk melindungi kepentingan golongan pemodal tetapi melemahkan diri mereka sendiri.

Keinginan untuk mendapatkan buruh yang lebih murah dan lebih mudah dikawal, keengganan kerajaan untuk merangka dan melaksanakan dasar untuk melindungi hak semua pekerja, serta menganggap migrasi buruh sebagai satu peluang perniagaan untuk semua pihak berkepentingan yang terlibat, telah mewujudkan keadaan pembekalan buruh migran jauh melebihi keperluan buruh yang sebenar. Kerajaan telah secara konsistennya mengekalkan tenaga kerja migran pada paras lebih kurang 2 juta orang, tetapi telah membenarkan tambahan lebih kurang 4 juta lagi pekerja tanpa dokumen untuk kekal dan bekerja tanpa apa-apa hak atau perlindungan. Situasi begini telah melemahkan lagi kelas pekerja yang sudahpun lemah.

Sementara situasi buruh yang dipecah-belahkan ini memanfaatkan pelabur yang mencari buruh mudah, ia juga melaga-lagakan pekerja sesama sendiri dalam usaha mereka untuk mendapatkan pekerjaan, gaji setimpal dan keadaan kerja yang lebih baik. Tidak boleh dinafikan bahawa kehadiran pekerja migran dalam jumlah yang besar dengan harapan yang lebih rendah dan mereka yang “tanpa hak” (pekerja tanpa dokumen dan pelarian), telah mengurangkan kuasa tawar-menawar untuk seluruh tenaga kerja. Gaji telah dikekalkan rendah, dan keadaan kerja semakin merosot.

Ramai di kalangan pekerja Malaysia tidak mempunyai perasaan positif terhadap saudara-saudara pekerja migran mereka, kerana mereka tidak mempunyai kelebihan jika dibandingkan dengan pekerja migran, kerana pekerja tempatan mengharapkan gaji yang lebih tinggi dan hari kerja yang lebih pendek. Hakikatnya, semua pekerja Malaysia mahu pada takat ini adalah gaji yang dapat membolehkan mereka membayar untuk keperluan asas seperti makanan, perumahan dan kesihatan, di samping jam kerja yang membolehkan mereka adanya sedikit masa untuk diluangkan bersama keluarga mereka.

Untuk migrasi dilihat secara berbeza dan positif, perubahan yang drastik perlu dilakukan terhadap cara ekonomi dunia disusun. Kita perlu menyedari bahawa kuasa penggerak kepada migrasi buruh adalah kemiskinan yang mengazabkan dan keadaan terdesak kerana kekurangan peluang ekonomi di negara-negara penghantar. Kekurangan pembangunan berlaku di negara-negara ini kerana syarat perdagangan yang tidak adil, kewajipan pembayaran balik hutang yang membebankan dan pelarasan struktur yang dipaksakan oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia yang mengakibatkan banyak negara di Asia dan Afrika tidak dapat memenuhi keperluan asas penduduk mereka walaupun sudah mencapai kemerdekaan sejak 50 hingga 60 tahun dahulu.

Kita perlukan globalisasi yang berbeza dengan syarat perdagangan yang adil, dengan komoditi utama diberi pemberat sewajarnya, dengan pengagihan kekayaan yang lebih baik melalui percukaian progresif, dengan satu sistem yang mengutamakan menusia dan alam sekitar bukannya kerakusan terhadap keuntungan.

==========

Mohanarani Rasiah ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap Penyelaras Meja Migran PSM.

 

One thought on “Pekerja migran masih dieksploitasi Dasar Buruh Murah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *