20191218 - sardine 08a5849176634e46915c877f377729ed_18.jpg

Bermula pada 14 November 2019 di Piazza Maggiore, sebuah dataran awam yang terletak di bandar Bologna di wilayah Emilia-Romagna, lahirnya satu gerakan massa yang baru di Itali, sebagai respon kepada ancaman kuasa pelampau kanan yang diwakili oleh perluasan pengaruh politik Liga Utara (Lega Nord) yang dipimpin oleh Matteo Salvini.

Gerakan yang baru di Itali ini digelar sebagai “Gerakan Sardin” (Movimento delle Sardine), membawa maksud bahawa aksi himpunan yang diadakannya disertai oleh ramai orang oleh sehingga peserta aksi yang berhimpun di dataran berdiri secara rapat seperti ikan sardin dalam tin. Gerakan yang baru muncul sebulan ini sedang meningkat momentumnya dengan ramai orang berhimpun untuk menyatakan bantahan terhadap populisme kanan dan perkauman yang sedang berleluasa di negara Itali. Gerakan Sardin telah memposisikan dirinya sebagai kuasa untuk mengimbangi gelombang kebangkitan pelampau kanan dan anti-imigran di Itali yang semakin membimbangkan.

Perhimpunan pertama Gerakan Sardin di Bologna yang disertai oleh lebih kurang 15,000 orang dalam keadaan hujan lebat, adalah manifestasi untuk merespon kepada kempen yang dilancarkan oleh Liga Utara untuk pilihanraya wilayah Emilia-Romagna yang dijadualkan pada 26 Januari 2020. Pemimpin Liga Utara Matteo Salvini mengeluarkan kenyataan bahawa mahu “membebaskan Emilia-Romagna daripada golongan kiri”, dalam usaha parti pelampau kanan itu untuk mengambilalih kuasa pentadbiran Emilia-Romagna daripada Parti Demokratik yang berhaluan kiri-tengah. Emilia-Romagna merupakan salah sebuah “wilayah merah” yang menjadi kubu kuat kepada parti-parti berhaluan kiri sejak tamatnya Perang Dunia II, tetapi Gabungan Kanan-Tengah yang terdiri daripada Liga Utara dan Forza Italia yang dipimpin oleh bekas Perdana Menteri Silvio Berlusconi telah muncul sebagai kuasa politik terbesar di wilayah tersebut, satu petanda perluasan pengaruh politik populis kanan yang semakin ketara di negara Itali.

Selepas perhimpunan di Bologna, aksi Gerakan Sardin merebak ke bandar-bandar seperti Modena, Milan, Turin, Florence, Napoli dan Palermo. Gerakan Salvini bukan sahaja bertujuan untuk melawan kemaraan Salvini, tetapi juga untuk menegakkan demokrasi di Itali, di mana rakyat Itali tegas dalam menentang fasis, xenofobia dan homofobia.

20191217- sardinesardine-modena
Perhimpunan Gerakan Sardin yang pertama di Bologna. 

Sebulan selepas perhimpunan pertamanya, Gerakan Sardin mengadakan demonstrasi di bandaraya Rom yang disertai oleh hampir 100,000 orang. Pemimpin de facto Gerakan Sardin, Mattia Santori, telah menyeru pada kerajaan pusat pimpinan Giuseppe Conte untuk memansuhkan undang-undang anti-migran yang diluluskan oleh kerajaan sebelum ini ketika Salvini memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Pernah wujudnya banyak gelombang mobilisasi massa akar umbi di Itali untuk melawan kuasa berhaluan kanan, termasuk Girontondi pada tahun 2002 dan “Rakyat Ungu” (Il Popolo Viola) pada tahun 2006 yang mencabar kerajaan pimpinan Silvio Berlusconi ketika itu. Kemunculan Gerakan Sardin adalah penting pada saat-saat genting menangkis kemaraan politik pelampau kanan di Itali dan Eropah.

Gabungan Kanan-Tengah yang diterajui oleh parti politik pelampau kanan seperti Liga Utara dan Forza Italia muncul sebagai blok politik dengan kerusi terbanyak dalam pilihanraya umum Itali pada 4 Mac 2018, dengan memperoleh 265 daripada 630 kerusi di Dewan Rakyat Itali, di mana Liga Utara sendiri memenangi 125 kerusi (pertambahan sebanyak 109 kerusi!). Gerakan Lima Bintang (M5S), sebuah parti populis yang menampilkan dirinya sebagai anti-golongan kuasa, memperoleh undi terbanyak dalam pengagihan undi senarai-parti perwakilan berkadar dalam pilihanraya umum tersebut. Selepas rundingan yang berlarutan selama hampir 3 bulan berikutan pilihanraya umum 2018, satu kerajaan campuran yang terdiri daripada M5S dan Liga Utara (Forza Italia dikecualikan) dibentuk pada 1 Jun 2018, dengan Giuseppe Conte, seorang ahli politik “bebas” yang berhubungkait dengan M5S, dilantik sebagai Perdana Menteri. Kedua-dua pemimpin Liga Utara Matteo Salvini dan pemimpin M5S Luigi Di Maio dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri. Salvini juga memegang jawatan Menteri Dalam Negeri. Namun, kerajaan pimpinan Conte menghadapi krisis pada bulan Ogos 2019, apabila Salvini cuba membawa usul ketidakpercayaan terhadap Conte. Conte meletak jawatan sebagai Perdana Menteri pada 20 Ogos 2019, namun berjaya membentuk kabinet baru dengan gabungan antara M5S dengan Parti Demokratik. Salvini dan Liga Utara ditendang keluar daripada menjadi kerajaan, manakala Conte berjaya kekal sebagai Perdana Menteri dalam kerajaan baru. Walaupun Salvini tidak lagi dalam kerajaan, namun dia masih giat memperluaskan pengaruh Liga Utara dengan mempermainkan sentimen perkauman dan anti-migran.

Gerakan Sardin yang muncul sejak bulan November 2019, menawarkan nafas baru dan alternatif untuk mencabar kemaraan kuasa politik pelampau kanan, namun cabarannya adalah besar.

20191218 - sardineELctOAaXkAAm-9W.jpg

2 thoughts on “Itali: Lawan arus pelampau kanan dengan Sardin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *