Ada satu hantu berkeliaran di sekitar Najib – hantu Altantuya… dari masanya masih Timbalan Perdana Menteri hingga menjadi bekas Perdana Menteri.

Selepas 13 tahun Altantuya Shaariibuu dibunuh secara kejam di kawasan hutan berdekatan Puncak Alam, Shah Alam, Selangor, kontroversi yang menyelubungi kes pembunuhan ini masih menghantui Najib Razak apabila Azilah Hadri, salah seorang dijatuhkan hukuman selepas disabit bersalah kerana membunuh Altantuya, telah menuduh dalam akuan bersumpahnya yang disertakan dalam permohonannya untuk semakan kehakiman terhadap pensabitan kesalahannya baru-baru ini, bahawa Najib Razak yang mengarahkannya untuk membunuh Altantuya!

Najib Razak mengatakan bahawa pendedahan terbaru daripada Azilah Hadri terbaru ini adalah konspirasi oleh Kerajaan Pakatan Harapan untuk memfitnahnya dan “membuka jalan kepada kerajaan Pakatan Harapan untuk menahan dan memenjarakannya tanpa jaminan”. Malah, Najib juga bertungkus-lumus mahu melakukan “sumpah laknat” untuk menafikan dakawaan yang terkandng dalam Akuan Bersumpah Azilah Hadir. Namun, Najib akan sukar untuk melepaskan dirinya daripada dakwaan yang dinafikannya berulang kali ini selagi motif kes pembunuhan Altantuya masih kekal menjadi misteri.

Altantuya Shaariibuu, seorang warganegara Mongolia, telah didapati hilang pada 19 Oktober 2006, kemudian mayatnya ditemui pada 7 November 2006, didapati dibunuh dan diletupkan dengan bahan letupan. Dua orang suspek telah didakwa di bawah tuduhan membunuh, iaitu Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar. Kedua-dua orang ini ialah anggota Unit Tindakan Khas (UTK) di bawah Polis Di-Raja Malaysia, dan juga ditugaskan sebagai pengawal pengiring kepada Najib Razak yang merupakan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan pada masa itu. Sementara itu, Abdul Razak Baginda, pembantu rapat kepada Najib pada masa itu, juga dituduh bersubahat dalam pembunuhan Altantuya. Namun, Abdul Razak Baginda dibebaskan daripada pertuduhan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam kerana dikatakan tiada kes prima facie terhadapnya. Abdul Razak Baginda dikatakan mempunyai hubungan intim dan sulit dengan Altantuya, Menurut surat Altantuya yang ditemui selepas kematiannya, Altantuya cuba memeras ugut Abdul Razak Baginda untuk jumlah wang sebanyak USD500,000, dan dibunuh selepas Abdul Razak Baginda mendapatkan bantuan daripada Musa Safri (pegawai atasan untuk Azilah dan Sirul) untuk menghalang Altantuya daripada terus mengganggunya.

Azilah dan Sirul disabit kesalahan membunuh dan dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 9 April 2009. Walaupun Azilah dan Sirul didapati bersalah, tetapi Mahkamah Tinggi Shah Alam pada masa itu tidak dapat mengenalpasti motif pembunuhan itu. Malah, Azilah dan Sirul dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan pada 23 Ogos 2013. Salah seorang daripada panel hakim 3-orang di Mahkamah Rayuan yang memutuskan mereka berdua tidak bersalah ialah Mohamed Apandi Ali, yang dilantik sebagai Peguam Negara pada tahun 2015 sehingga digantikan selepas Barisan Nasional kalah dalam Pilihanraya Umum 2018. Namun begitu, Mahkamah Persekutuan menolak keputusan tersebut pada 13 Januari 2015 dan menjatuhkan hukuman mati ke atas kedua-dua orang kena tuduh sekali lagi.

Sirul telah melarikan diri ke Australia dan ditahan di situ, sementara Azilah telah ditangkap semula dan dimasukkan ke Penjara Kajang. Usaha kerajaan Malaysia untuk mengekstradisi Sirul balik ke Malaysia tidak berjaya kerana undang-undang Australia melarang ekstradisi individu ke negara yang mempunyai hukuman mati.

Kes pembunuhan Altantuya berkait rapat dengan skandal pembelian kapal selam Scorpene yang melibatkan pembayaran komisen berjuta-juta ringgit, satu skandal yang menghantui Najib ketika masih menjadi Timbalan Menteri sehingga diatasi oleh skandal 1MDB. Selepas Barisan Nasional hilang kuasa di Putrajaya selepas Pilihanraya Umum ke-14 pada tahun 2018, Najib Razak menjadi bekas Perdana Menteri yang pertama di negara kita dihadap ke mahkamah atas pertuduhan jenayah kerana menyeleweng kuasa.

Walaupun dua orang yang terlibat dalam kes pembunuhan Altantuya telah disabitkan kesalahan, tetapi terdapat banyaknya persoalan yang masih belum dijawab. Persoalan yang paling utama dalam mana-mana kes pembunuhan, adalah motif membunuh. Kenapa dua orang anggota polis yang menjadi pengawal pengiring kepada pemimpin tertinggi negara kita membunuh seorang warganegara asing?

Pertubuhan hak asasi manusia Suara Rakyat Malaysia (SUARAM)telah menyeru untuk penubuhan satu Suruhanjaya Di-raja Siasatan untuk menyiasat pembunuhan Altantuya, termasuk menyiasat motif di sebalik pembunuhannya dan kaitannya dengan perjanjian pembelian kapal selam Scorpene.

Kes Altantuya tidak akan selesai dan keadilan untuk si mati masih belum ditegakkan selagi motif dan dalang di sebalik pembunuhan ini belum dikenalpasti serta dibawa ke muka pengadilan. Dan ia diselesaikan sepenuhnya, Najib akan tetap dihantui kes Altantuya.

One thought on “Najib masih dihantui Altantuya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *