20191217 - Ramzi Boudina - Reuters 867883e8ca084ca887ba45733b6c819f_18.jpg
(foto oleh Ramzi Boudina / Reuters)

Pilihanraya Presiden Algeria yang pertama sejak kejatuhan Presiden Abdelaziz Bouteflika telah diadakan pada 12 Disember 2019, tetapi peratusan keluar mengundi adalah sangat rendah dan undi rosak juga amat banyak kerana pemboikotan oleh rakyat Algeria yang berprotes terhadap sistem politik yang masih belum berubah untuk beberapa bulan yang lepas.

Daripada lebih 24 juta pengundi yang berdaftar di Algeria, hanya lebih kurang 9.8 juta orang pengundi keluar mengundi, sementara jumlah undi rosak mencecah lebih 1.2 juta! Peratusan keluar mengundi yang dicatatkan hanya 39.88%, jauh lebih rendah lagi berbanding zaman pemerintahan Abdelaziz Bouteflika (paling tinggi pada tahun 2009 dengan 74.56% dan paling rendah pada tahun 2014 dengan 51.70%). Peratusan undi rosak pula ialah 12.7%.

Angka rasmi keputusan Pilihanraya Presiden Algeria, menunjukkan bahawa “calon bebas” tetapi berkait dengan rejim Bouteflika sebelum ini, Abdelmadjid Tebboune, muncul sebagai pemenang dengan memperoleh sebanyak 58.15% undi yang sah. Abdelmadjid Tebboune pernah memegang jawatan tinggi kerajaan yang berlainan pada zaman pemerintahan Abdelaziz Bouteflika, dan dilantik oleh Abdelaziz Bouteflika sebagai Perdana Menteri untuk tempoh kurang daripada 3 bulan pada tahun 2017. Pesaing terdekatnya, Abdelkader Bengrina daripada Parti El Binaa, sebuah parti berfahaman Islamis, hanya meraih 17.38% undi. Terdapat 3 orang calon yang bertanding, Ali Benflis (pernah jadi Perdana Menteri Algeria pada tahun 2000-2003), Azzedine Mihoubi dan Abdelaziz Belaïd, masing-masing mendapat 10.55%, 7.26% dan 6.66% undi.

Abdelmadjid Tebboune yang dipilih sebagai Presiden, hanya mendapat sokongan 20% daripada jumlah pengundi yang berdaftar di Algeria, hasil daripada tindakan memboikot pilihanraya oleh peserta aksi yang menjatuhkan pemerintahan Presiden Abdelaziz Bouteflika sebelum ini, kerana semua calon yang bertanding dikatakan berkait dengan rejim Abdelaziz Bouteflika yang telah dijatuhkan.

Abdelaziz Bouteflika yang berkuasa sebagai Presiden Algeria selama 20 tahun, telah dijatuhkan pada 2 April 2019 selepas gelombang protes rakyat yang hebat selama 7 minggu. Berikutan perletakan jawatan Abdelaziz Bouteflika sebagai Presiden, protes jalanan masih berterusan dan tuntutan rakyat yang berprotes telah diperluaskan kepada seruan untuk melakukan pembaharuan secara menyeluruh pada sistem politik yang sedia ada.

20191217 - algeria-elections-1024x576.jpg
(foto oleh al-Monitor)

Selepas keputusan Pilihanraya Presiden terbaru diumumkan, aksi protes yang baru tercetus di seluruh negara. Demonstran telah mengecam Pilihanraya Presiden terbaru ini sebagai satu “penipuan”, kerana dipercayai bahawa pihak tentera yang berkuasa secara tidak langsung di Algeria untuk sekian lama, telah memanipulasi pilihanraya untuk memenangkan Abdelmadjid Tebboune supaya menyambung sistem politik yang wujud sejak kemerdekaan Algeria pada tahun 1962.

Abdelmadjid Tebboune sudah pasti akan menghadapi cabaran yang hebat sebagai Presiden baru Algeria, kerana ekonomi negara itu sedang mengalami masalah serius sementara ramai orang tidak lagi mempunyai kepercayaan terhadap sistem politik yang sedia ada.

Selepas kejatuhan pemerintahan Abdelaziz Bouteflika pada bulan April lalu, pihak tentera dan elit pemerintah dalam Fron Pembebasan Nasional (FLN), parti politik yang berkuasa di Algeria sejak kemerdekaannya, enggan menerima tuntutan rakyat untuk perubahan sistem dan cuba mengadakan pilihanraya yang berada di bawah kawalannya untuk peralihan kuasa secara aman tanpa menjejaskan struktur kuasa yang sedia ada. Cubaan untuk mengadakan pilihanraya lebih awal sebelum ini pada bulan Julai 2019 tidak berjaya dan terpaksa ditangguhkan kerana tidak dapat mencari calon yang “berwibawa”. Kerajaan sementara yang masih dikuasai elit pemerintah lama telah mengambil langkah-langkah yang represif untuk mematahkan suara yang menuntut pembaharuan sebenar dan menangkap beberapa aktivis politik yang penting. Namun, dalam cubaan untuk meredakan kemarahan rakyat yang inginkan perubahan sebenar, pihak tentera telah memulakan kes pendakwaan berkaitan dengan pertuduhan rasuah terhadap beberapa orang ahli politik yang pernah memegang jawatan tinggi semasa rejim Abdelaziz Bouteflika, termasuk dua orang bekas Perdana Menteri, iaitu Ahmed Ouyahia dan Abdelmalek Sellal, di samping beberapa orang lagi pegawai tinggi. Namun, pihak pembangkang yang memprotes untuk pembaharuan sebenar telah mengatakan tindakan ini hanyalah gimik populis untuk mengaburkan fokus rakyat.

Mobilisasi rakyat di jalanan Algeria akan diteruskan untuk memperjuangkan pembaharuan yang sebenar kepada sistem politik yang membiak ketidakadilan sosial.

20191217 - Ryad Kramdi—AFP Getty Images GettyImages-1187906046.jpg
(foto of Ryad Kramdi / AFP / Getty Images)

One thought on “Algeria: Presiden baru dipilih dalam pilihanraya yang diboikot ramai

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s