20191212 - streaming.jpg

6 buah syarikat gergasi di “Lembah Silikon” Amerika Syarikat, iaitu Amazon, Apple, Facebook, Google, Microsoft dan Netflix, yang juga dikenali sebagai “Silicon Six” telah mengelak diri daripada membayar lebih USD 100 bilion dalam cukai global untuk dekad ini! Pendedahan ini dibuat dalam satuanalisis yang diterbitkan baru-baru ini oleh Fair Tax Mark, satu kumpulan yang beribupejabat di UK yang berkempen untuk ketelusan cukai .

“Analisis kami terhadap kadar cukai berkesan jangka panjang untuk Silicon Six selama satu dekad hingga kini, telah mendapati bahawa terhadap perbezaan yang signifikan antara wang cukai yang dibayar dan kadar asas cukai, dan lebih penting lagi, peruntukan cukai semasa yang dilaporkan,” kata Paul Monaghan, Ketua Eksekutif Fair Tax Mark. “Kami menyimpulkan bahawa cukai korporat yang dibayar adalah lebih rendah daripada apa yang diketahui umum.”

Fair Tax Mark telah mengkaji laporan tahunan setiap syarikat gergasi ini di Amerika Syarikat – iaitu di mana syarikat gergasi ini diperbadankan, dan juga sebahagian daripada laporan suku tahun dan akaun anak syarikat untuk tempoh 10 tahun yang lalu. Menurut kajian Fair Tax Mark, didapati sepanjang tempoh tahun 2010 hingga 2019:

  • Jurang antara kadar asas cukai yang dijangkakan dan wang cukai yang dibayar sebenarnya adalah USD 155.3 bilion;
  • Jurang antara peruntukan cukai semasa dan wang cukai yang dibayar sebenarnya adalah USD 100.2 bilion.

20191212 - taxes-paid-booked-and-expected

Laporan inimenunjukkan bahawa sebahagian besar cukai yang tidak dibayar ini timbul di luar Amerika Syarikat, kerana caj cukai semasa di luar negara hanya 8.4% daripada keuntungan luar negara yang dikenalpasti. Fair Tax Mark mengatakan bahawa, “Keuntungan terus dialihkan ke tempat berlindung cukai, khususnya Bermuda, Ireland, Luxembourg dan Belanda.”

Syarikat Amazon, dengan Ketua Pegawai Eksekutifnya Jeff Bezos merupakan orang yang terkaya di dunia pada masa ini, dikenalpasti oleh Fair Tax Mark sebagai pengelak cukai yang terbesar, dengan begitu menonjol sebagai perniagaan dengan kelakuan percukaian yang paling teruk di kalangan Silicon Six. Kadar cukai korporat asas di Amerika Syarikat untuk hampir sepanjang tempoh 10 tahun yang lalu, tetapi syarikat Azamon hanya membayar USD 3.4 bilion dalam cukai pendapatan – iaitu hanya 12.7% daripada jumlah keuntungannya.

“Syarikat Amazon sedang memperkembangkan dominasi pasaranya di seluruh dunia di sebalik pendapatan yang kebanyakannya tidak dicukai, dan boleh melemahkan secara tidak adil perniagaan tempatan yang mengambil pendekatan yang lebih bertanggungjawab.” Fair Tax Mark juga memberi amaran bahawa “situasi ini tidak mungkin diterbalikkan dalam masa terdekat”.

Facebook menduduki tangga kedua sebagai pengelak cukai di kalangan Silicon Six, dengan membayar cukai bersamaan hanya 10.2% daripada keuntungannya. Facebook mempunyai nisbah caj cukai semasa luar negara yang paling rendah di kalangan Silicon Six untuk satu dekad yang lalu, iaitu hanya 5% daripada keuntungannya.

Google menduduki tangga ketiga dalam kelakuan percukaian paling teruk di kalangan Silicon Six, dengan membayar cukai hanya 15.8% daripada keuntungannya. Ini diikuti dengan Netflix, Apple dan Microsoft, di mana kesemuanya membayar cukai sebenar yang jauh lebih rendah daripada kadar cukai yang sepatut dibayar.

Merespon kepada pendedahan terbaru ini, syarikat Amazon mengatakan laporan ini memberikan gambaran yang salah, dan syarikat Amazon telah “membayar kadar cukai efektif terhadap keuntungan sebagai 24% dari tahun 2010-2018”. Amazon berkatabahawa “margin keuntungan adalah rendah” untuk syarikat itu dan maka “secara semulajadinya menghasilkan kadar cukai yang lebih rendah”. (Anda percaya kata-kata Amazon?) 

Kita perlukan keadilan cukai dan fiskal sedunia

Pengelakan cukai oleh syarikat gergasi transnasional yang menjana keuntungan lumayan setiap tahun, dan penyimpanan kekayaan di tempat berlindung cukai oleh golongan mahakaya, telah menyebabkan ketidakadilan ekonomi yang semakin serius dan memberi impak yang besar kepada masyarakat umum, khususnya di negara-negara berpendapatan rendah. Hampir semua syarikat gergasi transnasional di dunia hari ini menyembunyikan keuntungan mereka di tempat berlindung cukai. Berbilion-bilion malah bertrilion-trilion wang dollar yang tidak dicukai atau hanya dicukai sedikit telah dipindah ke tempat berlindung cukai, dan jumlah ini sedang bertambah dengan cepat.

Isu ini perlu ditangani sekiranya kita ingin mewujudkan sebuah masyarakat yang menjamin kemakmuran dan kesejahteraan bersama. Semua kerajaan di dunia memerlukan dana untuk membiayai perkhidmatan asas yang universal (termasuk kemudahan asas, kesihatan, pendidikan, perumahan sosial, pengangkutan awam, pencen warga emas, penjagaan kanak-kanak dan sebagainya) dan menjamin hak asasi rakyat untuk perlindungan sosial. Ini hanya dapat dilakukan dengan sistem percukaian progresif dan dasar fiskal yang adil.

Jaringan Keadilan Cukai (Tax Justice Network) telah mencadangkan idea untuk percukaian unitari. Di bawah sistem percukaian unitari, keuntungan sedunia untuk syarikat multinasional boleh diagihkan di kalangan negara di mana syarikat berkenaan sebenarnya menjalankan perniagaan, dan sistem ini boleh membendung tempat berlindung cukai secara efektif.

Kekayaan dicipta oleh hasil usaha rakyat pekerja, tetapi ditumpukan dalam tangan syarikat permodalan besar dan disembunyikan di tempat berlindung cukai. Inilah punca utama kepada ketidakadilan sosial di dunia kita hari ini. Kita perlu mengubah keadaan ini dengan mengubah pendekatan terhadap percukaian ke atas syarikat korporat dan golongan kaya. Kerajaan sesebuah negara hanya dapat memperkukuhkan ekonomi negaranya supaya berfungsi secara baik dan menjamin kesejahteraan rakyat, dengan memastikan syarikat gergasi multinasional dan golongan mahakaya membayar cukai yang sepatutnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *