Ketika benua Amerika Latin dilanda gelombang kebangkitan rakyat yang hebat dalam menentang kerajaan yang mengamalkan dasar neoliberal, negara Colombia dengan kerajaan yang sangat rapat dengan kuasa imperialis Amerika Syarikat beberapa dekad kebelakangan ini juga tidak ketinggalan.
Pada 21 November 2019, mogok umum yang hebat telah melumpuhkan seluruh negara Colombia. Aksi mogok terbaru ini merupakan yang terbesar di Colombia sejak tahun 1977. Demonstrasi besar-besaran melanda bandar-bandar di seluruh negara itu. Demonstran menyekat jalanraya utama dan terminal pengangkutan. Mobilisasi massa diadakan di bandar-bandar seperti Bogotá, Cali, Medellín, Popayán, Cúcuta, Santander de Quilichao, Barrancabermeja, Soacha, Ocaña, Sibundoy, Buenaventura dan Manizales. Rakyat yang berprotes di tempat awam membunyikan periuk dan kuali – sejenis bentuk protes yang dikenali sebagai cacerolazos.
Mogok terbaru di Colombia dianjurkan untuk menentang dasar neoliberal yang dibawa oleh kerajaan berhaluan kanan yang dipimpin oleh Iván Duque, termasuk serangan terhadap undang-undang buruh, penghakisan terhadap pencen, dan pengurangan peruntukan untuk pendidikan. Rakyat yang menyertai aksi protes turut membantah politik perang dan dasar meminggirkan rakyat bawahan yang dibawa oleh golongan berkuasa.
Kerajaan Colombia merespon dengan ancaman dan penindasan, tetapi gagal mematahkan kebangkitan rakyat.
Protes telah berlarutan untuk 3 hari sekarang ini. Kerajaan Colombia mengerahkan pasukan keselamatan dalam jumlah banyak di Bogotá, ibu negara Colombia. Perintah kurung dikenakan di Bogotá dan bandar-bandar lain untuk menyekat perebakan gelombang protes. Dengan pencetusan mogok umum dan protes besar-besaran ini, Colombia telah “menyertai” gelombang pemberontakan rakyat Amerika Latin terbaru yang telah kita saksikan di Ecuador dan Chile. Gelombang kebangkitan rakyat pada skala yang begitu besar di sebuah negara yang dianggap sebagai benteng politik pro-imperialis berhaluan kanan yang paling reaksioner di rantau Amerika Latin, membawa makna yang amat penting. Ini merupakan satu tamparan hebat kepada mereka yang mencipta mitos “gelombang konservatif” yang sedang melanda Amerika Latin beberapa tahun kebelakangan ini. Realitinya adalah kerajaan berhaluan kanan yang berkuasa, yang hanya memulihkan kuasa oligarki yang rapat dengan kuasa imperialis AS dan membawa dasar neoliberal yang mengancam kehidupan rakyat biasa, sudahpun menimbulkan ketidakpuasan hati yang hebat di kalangan rakyat. Di Colombia, Presiden Iván Duque yang berkuasa sejak tahun 2018, telah begitu tidak popular, dengan tinjauan pendapat menunjukkan sebanyak 69% responden menentangnya pada ketika belum lagi tercetus gelombang protes.
Aksi mogok terbaru ini telah mendapat sokongan daripada kesatuan-kesatuan sekerja, gerakan sosial, masyarakat orang asal, pertubuhan-pertubuhan komuniti, peminat-peminat bola sepak, kolektif tahanan politik, golongan feminis, kumpulat LGBTQI dan sebagainya. Malah, ratu kecantikan di negara itu juga memberi sokongan kepada aksi protes.
Colombia merupakan negara yang kedua paling tidak samarata di Amerika Latin, dengan indeks Gini 0.53 (pada tahun 2017), di belakang Honduras. Walaupun ekonomi negara itu bertumbuh dengan pesat, tetapi rakyat miskin masih miskin malah situasi menjadi lebih teruk.
Kerajaan Colombia juga menggunakan kekerasan yang terus terhadap golongan yang tidak sehaluan dengannya. Dianggarkan lebih 800 orang pemimpin komuniti, pelindung hak asasi manusia dan bekas pejuang kumpulan pemberontak berhaluan kiri Angkatan Tentera Revolusioner Colombia (FARC) serta ahli keluarga mereka telah dibunuh sejak tahun 2016. Menurut Pertubuhan Orang Asal Nasional Colombia (INIC), sejah Duque menjadi Presiden pada bulan Ogos 2018, seramai 134 orang anggota gerakan masyarakat orang asal di negara itu telah dibunuh. Kebanyakan jenayah pembunuhan terhadap mereka yang tidak sehaluan dengan kerajaan Colombia dilakukan oleh Tentera Colombia dan Polis Nasional, serta kumpulan separa tentera dan geng penjenayah yang berkaitan dengan kuasa kanan di negara itu.
Kerajaan pimpinan Duque juga cuba untuk mensabotaj perjanjian pendamaian yang dicapai pada tahun 2016 antara FARC dengan Kerajaan Colombia yang dipimpin oleh Juan Manuel Santos pada masa itu. Demonstran yang berprotes telah menyatakan sokongan mereka terhadap proses pendamaian dan mendesak Kerajaan Colombia untuk berpegang pada janji pendamaian.
Walaupun menghadapi penindasan yang kejam daripada kerajaan dan juga penjenayahan terhadap gerakan sosial, rakyat Colombia masih mengambil risiko untuk berjuang demi mempertahankan maruah kehidupan mereka, akses untuk kesihatan, pendidikan, makanan yang sihat, perumahan selesa, tanah dan keamanan. Perjuangan rakyat Colombia ini merupakan sebahagian daripada gelombang perjuangan rakyat Amerika Latin untuk menentang dasar neoliberal yang menekan rakyat bawahan dan mempertahankan hak asasi rakyat untuk hidup secara bermaruah.
5 thoughts on “Colombia: Rakyat bangkit untuk keamanan dan lawan neoliberalisme”