20191125-phpoVv8f2

Pilihanraya tempatan di Hong Kong yang berlangsung pada 24 November 2019, menjadi “referendum” terhadap pemerintahan Kerajaan Hong Kong pimpinan Ketua Eksekutif Carrie Lam Cheng Yuet-ngor selepas gelombang protes rakyat yang berterusan untuk hampir setengah tahun. Kem pro-demokrasi mendapat kemenangan besar sementara kem pro-Beijing menemui kekalahan yang paling teruk dalam sejarah pilihanrayanya.

Pilihanraya tempatan Hong Kong diadakan 4 tahun sekali untuk 18 Majlis Daerah (District Council) di seluruh Hong Kong. Sebanyak 452 kerusi dipertaruhkan dalam pilihanraya tempatan Hong Kong kali ini (ada pertambahan kerusi berbanding 431 kerusi dalam pilihanraya tempatan 2015).

Dalam suasana politik yang penuh hangat dengan gelombang protes yang berterusan untuk beberapa bulan yang lalu, pilihanraya tempatan di Hong Kong kali ini telah mencipta beberapa rekod dalam sejarah pilihanraya di bandaraya tersebut. Seramai 1,090 orang calon telah bertanding dalam pilihanraya tempatan kali ini, dengan tiada satu kerusi pun dimenangi tanpa bertanding seperti yang pernah berlaku dalam pilihanraya-pilihanraya tempatan yang sebelum ini. Peratusan keluar mengundi ialah 72.1%, satu peratusan keluar mengundi yang paling tinggi dalam sejarah pilihanraya Hong Kong (termasuk semua pilihanraya tempatan dan pilihanraya Dewan Perundangan yang pernah diadakan sebelum ini). Hampir 3 juta orang pengundi telah keluar mengundi, mencatatkan rekod yang tertinggi dalam sejarah Hong Kong. Jumlah orang yang keluar mengundi dalam pilihanraya tempatan kali ini adalah 2 kali ganda berbanding tahun 2015, iaitu pilihanraya tempatan yang diadakan setahun selepas Gerakan Payung 2014. Peratusan keluar mengundi untuk Pilihanraya Dewan Perundangan pada tahun 2016 yang menyaksikan persaingan sengit pun hanya 58.28% (dengan jumlah pengundi yang keluar mengundi lebih kurang 2.17 juta orang) .

Kem pro-demokrasi telah memenangi 388 kerusi, bertambah sebanyak 263 kerusi berbanding tahun 2015. Kem pro-Beijing pula hanya mendapat 59 kerusi, hilang sebanyak 240 kerusi. Terdapat beberapa lagi kerusi yang dimenangi oleh calon yang tidak jelas kecenderungan politiknya. Kem pro-demokrasi telah mendapat majoriti dalam 17 Majlis Daerah di seluruh Hong Kong. Hanya Majlis Daerah Kepulauan yang mempunyai anggota ex-officio terbanyak (seramai 8 orang ahli majlis yang dilantik daripada kuasa tempatan kawasan luar bandar) walaupun kem pro-demokrasi menang 7 daripada 10 kerusi yang dipertandingkan. Terdapat 2 Majlis Daerah, iaitu Majlis Daerah Tai Po (19 kerusi) dan Majlis Daerah Wong Tai Sin (25 kerusi), disapu habis oleh calon kem pro-demokrasi. Kem pro-Beijing juga tidak menang satu kerusi pun dalam Majlis Daerah Sai Kung, di mana 3 daripada 26 kerusi yang dimenang oleh calon bukan kem pro-demokrasi mengisytihar diri mereka sebagai calon bebas yang bukan pro-Beijing.

Kem pro-Beijing menguasai 17 daripada 18 Majlis Daerah dalam pilihanraya tempatan 2015 (dengan hanya Majlis Daerah Shum Shui Po yang mendapat nisbah kerusi 11:11), maka keputusan kali ini adalah satu tsunami hebat yang membolehkan kem pro-demokrasi menyapu habis penguasaan terhadap Majlis-majlis Daerah di seluruh Hong Kong. Jelasnya ini adalah petunjuk daripada pengundi Hong Kong bahawa mereka sangat tidak berpuas hati dengan pemerintahan Kerajaan Hong Kong pimpinan Carrie Lam yang bukannya dipilih secara demokratik melalui pengundian sejagat.

Kem pro-demokrasi mendapat sokongan 57% undi popular secara keseluruhannya, berbanding 41% sokongan untuk kem pro-Beijing. Kem pro-demokrasi dapat menguasai hampir 86% kerusi dalam majlis-majlis daerah adalah kerana sistem pengundian “undian pemenang undi terbanyak” (first-past-the-post) dan kem pro-demokrasi yang terdiri daripada spektrum politik yang berbeza dapat mengelakkan pertandingan pelbagai penjuru di banyak kawasan hasil daripada usaha penyelarasan calon. Nisbah 60-40 yang berpihak kepada kem pro-demokrasi masih kekal. Oleh itu, kemenangan besar kem pro-demokrasi dalam pilihanraya tempatan, tidak bermakna kem pro-demokrasi akan mendapat kemenangan besar dalam pilihanraya Dewan Perundangan Hong Kong pada tahun depan, kerana pilihanraya Dewan Perundangan Hong Kong menggunakan sistem perwakilan berkadar untuk 40 kerusi yang dipilih secara pengundian sejagat daripada jumlah 70 kerusi. Walau bagaimanapun, sokongan yang mantap kepada kem pro-demokrasi menunjukkan bahawa gelombang protes untuk beberapa bulan kebelakangan ini dan reaksi polis yang ganas terhadap demonstran, memperkukuhkan kepercayaan ramai rakyat Hong Kong untuk menolak pengaruh politik Beijing terhadap bandaraya tersebut.

Kem pro-demokrasi di Hong Kong bukannya satu kumpulan politik yang homogenus, tetapi terdiri daripada parti-parti politik dan individu yang datang daripada spekturm politik yang meluas, sama adaliberal, demokrat sosial, pro-buruh, hinggalah lokalis yang berhaluan kanan. Persamaan untuk mereka dalam kem pro-demokrasi adalah menolak pengaruh politik Beijing dan mengambil posisi menyokong gelombang perjuangan massa terbaru yang tercetus daripada bantahan terhadap rang undang-undang ekstradisi ke Tanah Besar China.

20191125 - 20191124000132M.jpg

Parti yang terbesar dalam kem pro-demokrasi, Parti Demokratik, menang dalam 91 kerusi daripada 99 kerusi yang ditandinginya, diikuti dengan Parti Sivik yang memenangi 32 kerusi daripada 36 kerusi yang ditandinginya. Parti Buruh menang dalam kesemua 7 kerusi yang ditandinginya. Liga Demokrat Sosial menang 2 daripada 3 kerusi yang ditandinginya. Leung Kwok-hung, pemimpin Liga Demokrat Sosial yang dibatalkan kelayakannya sebagai Ahli Dewan Perundangan Hong Kong pada tahun 2016, bertanding di kawasan To Kwa Wan Utara untuk Majlis Daerah Kowloon City, mencabar Starry Lee selaku Pengerusi parti pro-Beijing terbasar “Pakatan Demokratik untuk Pembaikan dan Progres Hong Kong” (DAB), tetapi kalah dengan perbezaan hanya 343 undi.

Majlis-majlis Daerah di Hong Kong tidak mempunyai banyak kuasa kecuali pengurusan hal ehwal perbandaran tempatan, tetapi pengundi Hong Kong telah menggunakan kesempatan pilihanraya tempatan kali ini menyampaikan mesej yang jelas bahawa mereka sangat tidak berpuas hati dengan Kerajaan yang sedang memerintah. Tuntutan untuk pelaksanaan pengundian sejagat sepenuhnya untuk pilihanraya Dewan Perundangan dan Ketua Eksekutif merupakan tuntutan politik yang paling utama yang belum ditunaikan. Sekiranya pemerintah di Beijing dan proksinya yang memegang kuasa pemerintahan di Hong Kong masih enggan memberi respon positif kepada tuntutan demokratik yang telah disuarakan begitu lantang khususnya dalam gelombang protes selama beberapa bulan kebelakangan ini, sudah pastinya bandaraya Hong Kong akan terus bergolak dengan perjuangan yang berterusan dalam pelbagai bentuk.

20191125 - cen_zi_jie_
Jimmy Shan Tsz Kit, calon Liga Demokrat Sosial yang bertanding untuk kerusi Lek Yuen dalam Majlis Daerah Sha Tin, yang menggantikan rakan seperjuangannya Raphael Wong yang mempunyai sekatan kerana menjalani hukuman penjara (pertuduhan berkaitan penglibatannya dalam aksi protes Gerakan Payung 2014), menang dengan mendapat 3,283 undi (57.33%). Jimmy Shan ialah salah seorang aktiviti Fron Hak Asasi Manusia Sivil yang memainkan peranan penting dalam penganjuran aksi perarakan yang membantah Rang Undang-undang Ekstradisi ke China.

 

One thought on “Hong Kong: Pilihanraya tempatan jadi “referendum” terhadap Kerajaan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *