17 November 2019 menandakan ulangtahun pertama pencetusan gerakan “Jaket Kuning” (Gilet Jaunes) di Perancis.
Lebih kurang 600 orang aktivis gerakan Jaket Kuning dari seluruh negara Perancis telah mengadakan satu perhimpunan baru-baru ini pada 1-3 November 2019 di bandar Montpelier, untuk membincangkan masa depan gerakan Jaket Kuning menjelang ulangtahun yang pertama untuk gerakan rakyat yang hebat ini.
Menurut Christophe Chapuis, jurucakap yang dilantik oleh perhimpunan tersebut, “Kami bermula di tengah-tengah represi yang berat… dengan perasaan terdesak untuk menyelesaikan masalah. Sekarang adalah masanya untuk kerja jangkamasa panjang yang dibuat atas asas yang kukuh.”
Gerakan Jaket Kuning bermula pada 17 November 2018, sebagai satu pemberontakan terhadap kerajaan Perancis pimpinan Emmanuel Macron yang menaikkan cukai bahan api pada ketika itu. Kenaikan cukai bahan api itu walaupun dikatakan sebagai langkah untuk menangani perubahan iklim, tetapi ia menjadi pencetus kepada kemarahan rakyat Perancis yang sudah tidak dapat tahan lagi dengan “pembaharuan” bersifat anti-rakyat miskin yang dibawa oleh kerajaan Macron yang neoliberal. Lebih 300,000 orang berprotes pada 17 November 2018, dengan sekatan jalan didirikan oleh demonstran di merata tempat. Sejak itu, demonstrasi besar-besaran diadakan setiap hari Sabtu, dan sehingga kini sudah 50 hari Sabtu berturut-turut berlangsungnya aksi protes Jaket Kuning. Gerakan ini diberikan nama “Jaket Kuning” kerana ramai peserta aksi memakai jaket kuning yang dikehendaki disimpan dalam kereta menurut undang-undang Perancis.
Walaupun kerajaan Macron menarik balik keputusan untuk menaikkan cukai bahan api pada bulan Disember 2019, tetapi mobilisasi jalanan telah diteruskan setiap minggu untuk menuntut perletakan jawatan Macron sebagai Presiden. Faktor utama berlakunya protes Jaket Kuning adalah kenaikan kos hidup yang membebankan rakyat biasa sementara kerajaan melaksanakan “pembaharuan cukai” yang mengalihkan beban cukai daripada golongan mahakaya kepada kelas pekerja dan kelas menengah. Selain pengurangan cukai bahan api dan perletakan jawatan Presiden Macron, gerakan Jaket Kuning juga mengemukakan tuntutan seperti cukai ke atas golongan kaya, peningkatan gaji minimum dan pelaksanaan referendum inisiatif warganegara. Gerakan Jaket Kuning juga bekerjasama dengan gerakan kesatuan sekerja di Perancis dalam beberapa aksi protes menentang kerajaan.
Namun demikian, momentum gerakan Jaket Kuning nampaknya telah merosot beberapa bulan kebelakangan ini dengan jumlah penyertaan yang berkurangan secara beransur-ansur. Kedudukan pemerintahan Macron yang tergugat pada awalnya ketika tercetus gerakan Jaket Kuning, telah diperkukuhkan semula. Kerajaan Perancis juga mengerahkan polis dan menindas secara keras terhadap demonstran yang menyertai aksi Jaket Kuning. Kerajaan Perancis telah menggubal undang-undang baru untuk mengharamkan sesetengah aksi demonstrasi, khususnya mensasarkan protes Jaket Kuning.
Gerakan Jaket Kuning tercetus daripada kebangkitan rakyat secara spontan, dan tiada satu kepimpinan yang jelas. Peserta aksi Jaket Kuning datang daripada pelbagai latar belakang, tetapi mereka bermobilisasi secara bersama untuk melawan dasar kerajaan Macron yang anti-rakyat.
Beberapa aliran dalam gerakan Jaket Kuning telah meletakkan senarai calon untuk bertanding dalam Pilihanraya Parlimen Eropah pada bulan Mei 2019, tetapi prestasinya amat mengecewakan. Terdapat dua senarai calon yang terdiri daripada semuanya anggota gerakan Jaket Kuning: salah satunya, “Pakatan Kuning, Pemberontakan Melalui Undi”(Alliance jaune, la révolte par le vote) yang dipimpin oleh penyanyi Francis Lalanne hanya meraih 121,209 undi (bersamaan 0.54% undi); sementara “Evolusi Warganegara” (Évolution citoyenne) yang dipimpin oleh Christophe Chalençon hanya meraih sekadar 0.01% undi. Terdapat sebahagian besar daripada penyokong gerakan Jaket Kuning mengundi “Barisan Nasional” (Rassemblement national,RN) yang berhaluan pelampau kanan dengan hasrat untuk menewaskan kuasa politik yang dipimpin oleh Macron. Namun, senarai Macron masih mendapat sokongan undi yang kuat dan menduduki tangga kedua dalam perolehan undi, berada di belakang RN.
Walaupun gagal untuk menyingkirkan Macron daripada kekuasaannya, gerakan Jaket Kuning masih menunjukkan kehebatannya dalam memobilisasi rakyat Perancis yang tidak berpuas hati dengan status quo untuk bangkit melawan dasar “penjimatan” (austerity) yang dibawa oleh kerajaan yang bersifat neoloberal. Sekurang-kurangnya gerakan ini telah mencapai beberapa kemenangan sektoral, termasuk pembatalan keputusan kerajaan untuk menaikkan cukai bahan api. Walapun jumlah penyertaan yang sudah berkurangan, tetapi protes mingguan yang telah berlarurat untuk 50 minggu berturut-turut adalah sesuatu yang menakjubkan. Gerakan Jaket Kuning juga menjadi sebahagian yang tidak dapat dipisahkan daripada gelombang kebangkitan rakyat menentang dasar neoliberal dan protes melawan kezaliman pemerintah yang sedang melanda seluruh dunia.
4 thoughts on “Setahun sudah Gerakan Jaket Kuning”