20191104_114713.jpg

GEORGETOWN, PULAU PINANG – 4 NOVEMBER 2019: Laungan slogan “Tolak tambak!”, “Hidup nelayan!” dan sebagainya telah menggegarkan Padang Kota Lama pada hari ini apabila ratusan orang berhimpun untuk menyatakan solidariti untuk nelayan-nelayan di negeri Pulau Pinang yang bakal terjejas oleh cadangan penambakan laut di bahagian selatan Pulau Pinang.

Dataran Pidato di Padang Kota Lama dihiasi dengan sepanduk yang berwarna-warni semasa aksi Hari Solidariti Nelayan ini, yang dianjurkan bersempena dengan persidangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang , untuk menyampaikan suara bantahan nelayan-nelayan dan masyarakat umum yang prihatin terhadap projek penambakan laut yang bakal menjejaskan kehidupan nelayan dan alam sekitar. Ramai nelayan tidak turun ke laut untuk menangkap ikan hari ini sebagai tanda protes terhadap projek penambakan laut.

20191104_105417.jpgWakil daripada kumpulan masyarakat seperti Penang Forum, Gerakan Pembebasan Akademik, Persatuan Aktivis Sahabat Alam, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Klima Action Malaysia (KAMY) dan banyak lagi, bersama-sama dengan nelayan-nelayan dari Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan Kedah, telah hadir dalam aksi perhimpunan Hari Solidariti Nelayan ini.

Khoo Salma selaku jurucakap Penang Forum yang hadir dalam aksi perhimpunan hari ini berkata semasa menyampaikan ucapannya, “lama-kelamaan cucur udang dan char koay teow tidak akan ada lagi udang, kerana penambakan laut akan menjejaskan bekalan makanan laut.” Khoo Salma menegaskan bahawa kita perlu melawan penambakan secara habis-habisan, kerana projek penambakan sekarang ini hanya mengkayakan golongan peniaga besar, pemaju dan ahli politik yang rapat dengan mereka, sedangkan nelayan dan ikan akan menjadi pupus.

Mohideen Abdul Kader, selaku Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), turut hadir memberi sokongan dan menyampaikan ucapan. Beliau menegaskan bahawa nelayan adalah sangat penting untuk masyarakat kita, tetapi bakal dimusnahkan oleh projek penambakan.

 

20191104_111413.jpg
Peserta-peserta aksi mengiringi Nazri Ahmad selaku Pengerusi Persatuan Nelayan Pulau Pinang untuk menyerahkan memorandum di Dewan Undangan Negeri.

 

Selepas beberapa ucapan daripada wakil masyarakat sivil dan kumpulan nelayan, mereka yang berhimpun di Dataran Pidato berarak menuju ke Dewan Sri Pinang, iaitu tempat di mana persidangan DUN Pulau Pinang diadakan pada hari ini, untuk mengiringi wakil masyarakat nelayan yang hendak menyerahkan satu memorandum kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Namun, rombongan perarakan telah dihalang oleh polis jauh dari pintu masuk ke Dewan Sri Pinang, dan hanya 5 orang wakil dibenarkan untuk menghampiri Bangunan Dewan Sri Pinang bagi menyerahkan memorandum kepada wakil Ketua Menteri.

Perhimpunan diteruskan selepas penyerahan memorandum, dengan acara termasuk persembahan daripada anak muda masyarakat nelayan.

Nazri Ahmad selaku Pengerusi Persatuan Nelayan Pulau Pinang berkata, “Nelayan bukannya menentang pembangunan, sebenarnya kami menyokong pembangunan di Pulau Pinang, tetapi apa yang kami tentang adalah kemusnahan yang bakal dilaksanakan atas nama pembangunan, itulah yang kita tentang.” Nelayan-nelayan dengan jelasnya membantah projek pembangunan yang didominasikan oleh golongan pemaju hartanah dan yang bakal memusnahkan rezeki serta kehidupan mereka.

20191104_115740.jpgKerajaan Negeri Pulau Pinang telah bercadang untuk melakukan penambakan laut di bahagian selatan Pulau Pinang yang melibatkan penambakan laut di selatan Pulau Pinang melibatkan tebusguna kawasan laut seluas 4,500 ekar untuk mewujudkan 3 buah pulau buatan manusia. Sejak awal lagi, projek ini dibantah oleh masyarakat sivil dengan kebimbangan bahawa ia akan mendatangkan kesan yang buruk kepada kehidupan penduduk setempat dan alam sekitar. Namun, kerajaan yang dipengaruhi pemaju hartanah telah berdegil untuk melaksanakan projek ini.

Projek penambakan laut akan menghancurkan rezeki nelayan. Pada ketika syarikat pemaju mengaut keuntungan lumayan, ramai nelayan yang bergantung pada laut di sekitar kawasan penambakan akan kehilangan punca pendapatan. Cadangan kerja-kerja alternatif untuk nelayan seperti menjadi pengawal keselamatan dan pemandu Grab yang dikemukakan dalam Laporan Penilaian Alam Sekitar, adalah tidak masuk akal, malah sesuatu yang menghina untuk nelayan. Projek penambakan laut yang mengambil masa berpuluh tahun bermakna nelayan yang sedang mencari nafkah di laut hari ini akan hilang di permukaan air sama sekali.

Di samping itu, ekologi persisiran laut yang kaya dengan pelbagai hidupan semula jadi juga akan dihancurkan akibat daripada penambakan laut yang didominasi oleh kepentingan pemaju.

Nelayan-nelayan pernah berprotes di hadapan Parlimen pada 11 Julai 2019, untuk menyampaikan memorandum kepada Majlis Perancangan Fizikal Kebangsaan yang mengandungi tuntutan seperti membatalkan projek Penambakan Selatan Pulau Pinang (PSR).

Masyarakat nelayan yang terjejas kerana penambakan laut dan masyarakat sivil yang prihatin akan meneruskan usaha menyuarakan bantahan terhadap projek yang bersifat kemusnahan ini.

 

20191104_102726.jpg
Dr. Jeyakumar Devaraj (kiri), Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM) turut hadir untuk memberi sokongan kepada perjuangan nelayan dan masyarakat Pulau Pinang untuk membantah projek penambakan laut.
20191104_123652.jpg
Mahasiswa-mahasiswi daripada beberapa buah institusi pengajian tinggi turut hadir memberi solidariti kepada nelayan.

 

20191104_111859.jpg
Nelayan berprotes di tengah laut.

 

3 thoughts on ““Nelayan bukannya tolak pembangunan, tetapi bantah kemusnahan yang dibuat atas nama pembangunan!” – Aksi Hari Solidariti Nelayan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *