KUALA LUMPUR – 5 NOVEMBER 2019: Pekerja-pekerja ladang akan bermobilisasi ke Parlimen pada 3 Disember 2019 untuk menyampaikan tuntutan mereka kepada kerajaan supaya melaksanakan skim perumahan untuk pekerja ladang dan meningkatkan gaji untuk pekerja ladang. Pengumuman ini dibuat oleh Jawatankuasa Sokongan Masyarakat Ladang (JSML) dalam satu sidang akhbar pada hari ini.
“Kami berharap Menteri Sumber Manusia, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan pemimpin kerajaan yang lain akan hadir untuk menerima memorandum kami,” kata R. Karthiges, selaku Penyelaras JSML semasa sidang akhbar hari ini.
JSML merupakan satu inisiatif yang dimulakan sejak tahun 1993. JSML ditubuhkan untuk memperjuangkan tuntutan masyarakat ladang di Malaysia yang tidak diendahkan oleh kaum majikan mahupun golongan pemerintah. Selama tempoh 26 tahun yang lalu, JSML telah memperjuangkan pelbagai isu berkenaan pekerja-pekerja ladang dan mengadakan beberapa kempen yang penting, termasuk kempen Sertakan Masyarakat Ladang dalam Rancangan Pembangunan Luar Bandar, kempen Gaji Bulanan untuk Pekerja Ladang, dan perjuangan untuk perumahan tetap bagi pekerja ladang. Sekarang ini JSML mewakili pekerja dari 80 buah ladang di 6 buah negeri, dan disertai oleh pekerja-pekerja ladang dan aktivis-aktivis yang memperjuangkan isu pekerja ladang daripada kumpulan masyarakat seperti Alaigal, Pusat Pembangunan Masyarakat (CDC), Pertubuhan Perkhidmatan Rakyat (PSO) dan sebagainya.
Berikut ialah ringkasan perkembangan isu-isu yang berkaitan dengan masyarakat ladang di negara kita dan persoalan yang timbul untuk lebih 4 dekad yang lalu.
- 1973:Dasar Tun Razak yang menjanjikan skim perumahan, namun sehingga hari ini, dasar tersebut tidak pernah dijadikan akta atau enakmen kerajaan. Di bawah skim ini, sepatutnya majikan ataupun pemilik ladang dikehendaki untuk memperuntukkan sebahagian tanah ladang bagi tujuan membina rumah baru untuk pekerja ladang yang masih bekerja di ladang berkenaan dan bayaran untuk rumah itu akan dipotong daripada gaji pekerja setiap bulan. Malangnya sekali, skim ini gagal dilaksanakan secara meluas.
- 1990: Timbalan Menteri Sumber Manusia ketika itu, Pathmanaban,menubuhkan Jawatankuasa untuk Pemilikan Rumah bagi Pekerja dan Jawatankuasa Pembangunan Kebangsaan Skim Kemudahan Awam. Apa terjadi dengan jawatankuasa ini?
- 27 Ogos 1991: Kerajaan Negeri Selangor memutuskan bahawa akan mengambil tanah ladang jika majikan atau pemilik ladang gagal membina ruma untuk pekerja. Apa terjadi dengan keputusan ini?
- 7 Oktober 1992: Pindaan kepada Akta Pengambilan Tanah. Namun, apa terjadi selepas itu?
- 23 November 1994: Notis daripada Kerajaan Negeri Selangor untuk mengimplementasi Skim Perumahan Pekerja Ladang dan Perlombongan, dikeluarkan oleh Ahli Exco Kerajaan Selangor pada masa itu, Apakah perkembangan selepas itu?
- 11 April 1995: Menteri Besar Negeri Selangor pada masa itu,Muhammad Taib, berkata, “Kami akan menggunakan Akta Pengambilan Tanah sebagai usaha terakhir untuk memaksa agensi-agensi yang degil untuk membina rumah bagi pekerja.” Apa berlaku selepas itu?
- 1997: Menteri Besar Selangor Abu Hassan Omar berkata, “Layanan yang tidak berhati perut sebegini tidak akan lagi dibenarkan.”
- 29 April 1999: Kementerian Sumber Manusia mengatakan bahawa akan mengemukakan satu kertas kabinet mengenai perumahan untuk pekerja ladang. Menteri Sumber Manusia ketika itu ialah Lim Ah Lek. Namun, apa terjadi selepas itu? Adakah kertas cabinet itu masih dalam proses penyediaan selepas 20 tahun dengan Menteri Sumber Manusia telah bertukar beberapa orang.
- 10 Jun 1999: Dilaporkan bahawa Menteri Sumber Manusia akan mengetuai satu jawatankuasa nasional untuk mengimplementasi dan memantau dasar untuk pekerja ladang dapat perumahan sendiri. Di mana dasarnya? Di mana jawatankuasa pemantau itu sekarang?
- 2001: Masih tiada apa-apa enakmen atau dasar di peringkat Kerajaan Negeri Selangor dalam menyediakan rumah untuk pekerja ladang.
- 2012: PSM telah berusaha untuk bekerjasama dengan Kerajaan Pakatan Rakyat sejak tahun 2008 dalam membentangkan suatu enakmen di peringkat negeri Selangor supaya mengkehendaki majikan atau pemilik ladangmembina rumah untuk pekerja ladang. Walaupun cadangan enakmen sudah diserahkan, namun sehingga kini tiada perkembangan daripada Kerajaan Negeri Selangor.
- 2012:Skim Pembiayaan Perumahan Pekerja Kos Rendah untuk Pekerja-pekerja Estet (SPPKR-PPE) diperkenalkan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 untuk menawarkan kualiti kehidupan kepada pekerja ladang. Skim ini adalah usaha kerajaan pusat BN untuk pemilikan rumah di kalangan pekerja-pekerja estet. Peruntukan sebanyak RM50 juta yang disalurkan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) sebagai geran berbentuk dana pusingan kepada Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) sebagai agensi penyelaras.
- Manifesto Pakatan Harapan antara lainnya turut menyatakanbahawa kerajaan akan mengarahkan agensi perumahan negara untuk membina perumahan bagi pekerja kaum India yang tergolong dalam golongan B40 dan bekas pekerja ladang. Selain itu, ia juga mensyaratkan pemaju membina perumahan bagi bekas pekerja ladang.
- 26 Februari 2019: Kenyataan Ahli Exco Kerajaan Selangor Ganabatirau membuktikan bahawa sehingga kini tidak wujud apa-apa perundangan di peringkat Parlimen atau enakmen di peringkat negeri sepertimana yang diceritakan sejak tahun 1990-an.
Tuntutan untuk skim perumahan pekerja ladang di peringkat nasional amat diperlukan oleh masyarakat ladang di negara itu. JSML telah bertekad untuk memperjuangkan tuntutan ini dan mendesak Kerajaan Pusat supaya menggubal satu akta untuk memastikan semua pekerja ladang diberikan skim perumahan mampu milik dan harus memastikan skim ini dilaksanakan oleh kerajaan sendiri dan bukannya diswastakan kepada pemodal yang bermotifkan keuntungan.