20190711_091828.jpg

KUALA LUMPUR – 11 JULAI 2019: Laungan slogan “Tolak Tambak!”, “Tolak Pulau Palsu!”, “Bantah projek bodoh!”, “Hidup nelayan!” menggegarkan jalan menuju ke Bangunan Parlimen pada hari ini. Lebih kurang 200 orang yang prihatin pada isu penambakan laut mengadakan protes di hadapan Parlimen untuk menggesa kerajaan supaya menghentikan rancangan projek penambakan laut di Selatan Pulau Pinang.

Adanya nelayan membawa periuk yang diisi dengan pasir dan ikan kering, melambangkan impak penambakan laut kepada kehidupan dan rezeki nelayan.

Para peserta yang terdiri daripada nelayan dan anggota masyarkat sivil yang kebanyakannya datang jauh dari Pulau Pinang dan Perak, telah berhimpun berdekatan Tugu Negara sejak awal pagi tadi sebelum berarak menuju ke Bangunan Parlimen. Aktivis-aktivis sosial daripada organisasi seperti Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Sahabat Alam Malaysia (SAM), Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA), Persatuan Nelayan Pulau Pinang dan sebagainya telah hadir dalam aksi hari ini. Aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) turut hadir untuk bersolidariti dengan para nelayan.

66488784_10157350276719493_5590051290391511040_n.jpg

“Projek Penambakan Selatan Pulau Pinang (PSR) ialah satu projek mega yang akan menghancurkan kehidupan nelayan dan bio-diversiti dalam kawasan itu, serta akan mengakibatkan kenaikan harga ikan bagi rakyat biasa… Hak rakyat dikorbankan supaya satu golongan kecil orang boleh mengaut keuntungan daripada projek ini. Ini mesti kita tolak,” begitu katanya Mohideen Abdul Kader, Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang, semasa menyampaikan ucapan kepada para peserta aksi protes.

Projek penambakan laut di selatan Pulau Pinang melibatkan tebusguna kawasan laut seluas 4,500 ekar, dengan lebih kurang 10,000 orang nelayan di Pulau Pinang dan Perak akan dijejaskan oleh projek ini. Perlombongan pasir di luar pesisir pantai Perak untuk projek penambakan di Pulau Pinang, akan turut menjejaskan kehidupan nelayan di situ.

Rancangan penambakan laut di Selatan Pulau Pinang baru-baru ini telah mendapat kelulusan Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) daripada Jabatan Alam Sekitar dengan meletakkan 72 syarat sebelum projek tersebut boleh dimulakan, tetapi masih tidak dapat memberi keyakinan kepada masyarakat sivil dan nelayan-nelayan kerana beberapa isu penting yang dibangkitkan masih belum ditangani dalam laporan EIA.

20190711_092353.jpg

Dalam memorandum yang ditujukan kepada Perdana Menteri Mahathir Mohamad, wakil organisasi masyarakat sivil menyatakan bahawa projek penambakan laut di Selatan Pulau Pinang akan menghancurkan tapak perikanan yang paling kaya di bahagian Barat Laut Semenanjung Malaysia. “Menambak kawasan ini adalah serupa dengan menjejaskan jaminan makanan kita.”

Wakil masyarakat sivil dan nelayan menyampaikan dua petisyen dengan tandatangan daripada sejumlah 165,000 orang kepada pihak kerajaan, dengan tuntutan kepada Majlis Perancangan Fizikal Kebangsaan supaya:

  • Membatalkan projek Penambakan Selatan Pulau Pinang (PSR);
  • Mengkaji semula Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang oleh pakar pengangkutan dan profesional perancangan yang bebas. Dalam era Malaysia Baru ini, Kita perlu mengamalkan ketelusan yang sepenuhnya dalam perkara perancangan pengangkutan dan guna tanah yang berkaitan;
  • Batalkan rancangan pembinaan Lebuhraya Pan-Island Link;
  • Jika projek-projek ini tidak boleh dibatalkan serta-merta, kerajaan perlu membuat Penilaian Impak Sosial (SIA) terhadap setiap komponen untuk mengurangkan impak;
  • Mengenakan syarat yang sama untuk “Forest City” terhadap projek PSR, iaitu mengharamkan penjualan hartanah kepada pembeli luar negeri.

Aksi protes pada hari ini boleh dikatakan protes nelayan yang terbesar di hadapan Parlimen setakat ini. Kerajaan perlu mendengar dan memberi perhatian kepada seruan nelayan yang menolak projek penambakan yang menjejaskan kehidupan mereka.

Bacaan lanjut: Tambak Laut untuk siapa?

Tandatangani petisyen “Selamatkan Pulau Pinang! Tolak Tambak 3 Pulau!” di sini.

Sekitar aksi protes tolak tambak di hadapan Parlimen:

20190711_091016.jpg

20190711_092541.jpg

20190711_091506.jpg
“Jangan gadai punca rezeki kami!”
20190711_091607.jpg
“Rezeki nelayan di laut, bukan tanah tambak!”
20190711_091920.jpg
“Rakyat Pulau Pinang tolak tambak!”
20190711_091522.jpg
“Lindungi habitat dan hidupan marin!”
20190711_090615.jpg
“Tauke makan lobster, rakyat makan ikan toksik!”
20190711_091453.jpg
“Nelayan tolak tambak”

 

2 thoughts on “Jangan taburkan pasir dalam periuk nasi nelayan! – Protes tolak tambak di depan Parlimen

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *