20200206 - 2-format2020
Thomas Kemmerich (kiri) dipilih sebagai Ketua Menteri Thüringen dengan sokongan daripada parti pelampau kanan AfD yang dipimpin oleh Björn Höcke (kanan).

Walaupun Parti Demokratik Bebas (FDP) hanya menguasai 5 daripada 90 kerusi dalam Parlimen Negeri (Landtag) Thüringen, tetapi FDP telah merampas kuasa pemerintahan untuk Thüringen daripada parti berhaluan kiri yang menguasai kerusi terbanyak, hasil daripada bantuan parti pelampau kanan, Alternatif untuk Jerman (AfD)! Untuk kali pertama dalam sejarah Jerman sejak tamatnya Perang Dunia II, pantang larang untuk sesebuah kerajaan negeri di Jerman berkuasa dengan sokongan pelampau kanan telah dipecahkan!

Thomas Kemmerich, daripada Parti Demokratik Bebas (FDP), sebuah parti liberal yang mendukung fahaman pasaran bebas, dipilih sebagai Presiden Menteri (iaitu Ketua Menteri) untuk negeri Thüringen pada 5 Februari 2020, dengan sokongan daripada 45 undi dalam Parlimen Negeri Thüringen. FDP merupakan parti politik yang paling kecil dalam Parlimen Negeri Thüringen dengan hanya 5 kerusi, maka bermakna “kejayaan”nya untuk berkuasa adalah hasil sokongan daripada parti pelampau kanan AfD dan parti berhaluan kanan aliran utama Kesatuan Demokratik Kristian (CDU). Penyandang jawatan Presiden Menteri sebelum ini, Bodo Ramelow daripada parti berhaluan kiri Die Linke, terkandas kerana persekongkolan golongan liberal dengan golongan pelampau kanan yang memainkan politik perkauman dan xenofobia. Ramelow yang menjadi Presiden Menteri Thüringen sejak tahun 2014, hanya mendapat sokongan 44 undi dalam Parlimen Negeri Thüringen untuk meneruskan pentadbirannya.

Keputusan ini mengejutkan ramai orang di Jerman, kerana FDP dan CDU telah melanggar “cordon sanitaire” (kepungan kuarantin) di Jerman untuk sekian lama selepas Perang Dunia II untuk tidak bekerjasama dengan golongan pelampau kanan yang membawa warisan politik perkauman Nazi. Ini merupakan kali pertama dalam sejarah moden Jerman seorang ketua negeri berkuasa dengan sokongan undi parti pelampau kanan.

Kerjasama antara FDP dan CDU dengan AfD pelampau kanan mendapat kecaman hebat daripada orang merentasi spektrum politik di negara Jerman.

Hubertus Heil, Menteri Buruh dan Hal Ehwal Sosial Persekutuan Jerman daripada Parti Demokratik Sosial Jerman (SPD) menulis dalam hantaran twitternya, “mana-mana liberal yang waras patut berasa malu kerana seorang anggota FDP dipilih dengan undi daripada AfD.”

Tindakan FDP Thüringen juga tidak dipersetujui oleh ramai dalam FDP di peringkat Persekutuan. Salah seorang pemimpin FDP, Marie-Agnes Strack-Zimmermann, menulis dalam hantaran twitternya, “secara peribadinya saya menghormati Thomas Kemmerich. Saya faham tentang keinginannya untuk menjadi Presiden Menteri. Namun disokong oleh seorang seperti Höcke (pemimpin AfD di Thüringen yang penuh kontroversi) adalah tidak boleh diterima dan tidak boleh ditanggung oleh gologan demokrat. Maka ini adalah hari yang teruk untuk sama sebagai seorang liberal.”

Pemimpin nasional CDU Annegret Kramp-Karrenbauer turut mengkritik tindakan CDU peringkat negeri Thüringen yang melanggar kehendak CDU nasional. Annegret Kramp-Karrenbauer meminta wakil rakyat CDU di negeri Thüringen untuk berkecuali daripada menyertai kabinet pimpinan Kemmerich dan menyeru untuk pilihanraya negeri yang baru.

Pilihanraya Negeri Thüringen yang diadakan pada 27 Oktober 2019, menyaksikan Die Linke yang dipimpin oleh penyandang jawatan Presiden Menteri negeri itu Bodo Ramelow muncul sebagai parti yang terbesar dalam Parlimen Negeri Thüringen, dengan memperolehi 31.0% undi (meningkat sebanyak 2.8 titik peratusan) dan memenangi 29 daripada 90 kerusi dalam Parlimen Negeri Thüringen. Walaupun Die Linke mendapat undi dan kerusi yang lebih banyak berbanding tahun 2014, tetapi dua buah parti yang menyertai kerajaan campuran “Merah-Merah-Hijau” yang diterajui Die Linke di Thüringen, iaitu SPD dan Parti Hijau, telah mendapat undi dan kerusi yang berkurangan, menyebabkan gabungan “Merah-Merah-Hijau” kehilangan majoriti dalam Parlimen Negeri Thüringen. AfD telah menyaksikan peningkatan penguasaan kerusi yang hebat, dengan menguasai 22 kerusi, menjadikannya parti kedua terbesar dalam Parlimen Negeri Thüringen.

Bodo Ramelow yang dijangkakan untuk meneruskan pentadbirannya dengan membentuk sebuah kerajaan minoriti, telah digagalkan dalam pengundian pusingan ketiga untuk Presiden Menteri dalam Parlimen Negeri Thüringen yang diadakan pada 5 Februari 2020. Jumlah kerusi yang dikuasai oleh Die Linke, SPD dan Parti Hijau ialah 42 (Die Linke 29, SPD 8 dan Parti Hijau 5), tetapi FDP yang hanya menguasai hanya 5 kerusi sahaja (kerusi yang sama banyak dengan Parti Hijau yang memperolehi undi yang lebih banyak sedikit berbanding FDP) secara tiba-tiba memasuki pengundian pusingan ketiga dan dipilih untuk jawatan Presiden Menteri Negeri Thüringen dengan sokongan AfD dan CDU. Dalam pengundian pusingan pertama dan kedua dalam Parlimen Negeri Thüringen untuk Presiden Menteri, calon yang dicadangkan oleh AfD hanya mendapat sokongan 25 dan 22 undi masing-masing, dan semua wakil AfD tidak mengundi untuk calon mereka sendiri dalam pusingan ketiga.

Parti pelampau kanan AfD yang membawa politik perkauman, xenofobia dan anti-Islam, telah berkembang menjadi kuasa politik utama yang sedang mengancam sistem demokrasi di Jerman. AfD muncul sebagai parti ketiga besar dalam Parlimen Persekutuan (Bundestag) dalam pilihanraya umum 2017. Pada tahun 2019, selain di Thüringen, AfD turut menjadi parti kedua besar dalam Parlimen Negeri di Sachsen dan Brandenburg. Pemimpin AfD di Thüringen, Björn Höcke, merupakan politikus yang paling berhaluan kanan dalam AfD dan amat rapat dengan golongan neo-Nazi.

Kerajaan Negeri Thüringen yang dipimpin oleh Kemmerich daripada FDP yang hanya menguasai 5 daripada 90 kerusi dalam Parlimen Negeri akan merupakan sebuah kerajaan yang tidak stabil, dan pastinya akan memberi lebih banyak ruang kepada perluasan kuasa pelampau kanan. Adalah menjadi ironi kerana tindakan golongan liberal yang memperkuatkan lagi keyakinan pelampau kanan untuk berkuasa semula di Jerman selepas kejatuhan Nazi.

Die Linke dan Parti Hijau telah menolak kemungkinan untuk bekerjasama dengan Kerajaan pimpinan  Kemmerich dan menggesa untuk pilihanraya negeri yang baru.

One thought on “Jerman: Liberal rampas kuasa di Thüringen dengan bantuan pelampau kanan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *