Lebih 1 juta orang membanjiri ibu negara Chile, Santiago, pada 25 Oktober 2019, untuk memprotes terhadap dasar ekonomi neoliberal yang diamalkan oleh kerajaan pimpinan Presiden Sebastián Piñera yang berhaluan kanan.
Gelombang protes yang melanda Chile sejak dua minggu kebelakangan ini, tercetus akibat daripada ketidakpuasan hati rakyat terhadap kenaikan tambang pengangkutan awam, kos sara hidup yang membebankan, ketidaksamarataan ekonomi, skandal korupsi pemimpin politik dan keganasan pihak berkuasa dalam mematahkan protes rakyat. Krisis yang sedang berlaku di Chile sekarang ini merupakan pergolakan sosial dan politik yang paling hebat di negara itu sejak berakhirnya zaman pemerintahan kediktatoran Augusto Pinochet pada tahun 1990.
Protes yang pada awalnya membantah kenaikan tambang pengangkutan metro di Santiago, sekarang ini telah berkembang kepada skop perjuangan yang jauh lebih luas daripada itu, sehingga menjadi pemberontakan rakyat terhadap dasar neoliberal dan ketidakadilan sosial yang disebabkannya. Bermula dengan aksi anak muda mengelakkan pembayaran tambang metro dengan slogan “¡Evade!” (“Elak!”), protes bertukar menjadi semakin hebat, dengan sekatan didirikan di stesen-stesen metro. Pihak polis menggunakan kekerasan yang hebat untuk menyuraikan demonstran. Seluruh sistem metro di bandar Santiago ditutup untuk beberapa hari akibat daripada protes ini. Kenaikan tambang metro dibatalkan berikutan aksi protes, tetapi masih tidak dapat menghentikan kebangkitan rakyat.
Kerajaan Chile mengisytihar darurat di beberapa wilayah berlainan di negara Chile, termasuk bandar Santiago. Walaupun perintah kurung dikenakan ke atas Wilayah Metropolitan Santiago, Valparaíso, Biobío dan Coquimbo, tetapi tidak dapat menghalang rakyat daripada terus berhimpun dan berprotes di jalanan.
Di bandar Santiago, pelajar-pelajar, pekerja-pekerja dan orang ramai berarak dengan memukul periuk dan kuali. Mobilisasi massa juga diadakan di bandar-bandar utama lain di Chile termasuk Concepcion dan Valparaiso. Gabungan Perpaduan Sosial yang terdiri daripada lebih 50 buah gerakan sosial, organisasi pelajar dan kesatuan sekerja telah menyeru untuk mogok umum selama dua hari pada 21-22 Oktober 2019, dengan tuntutan menggesa perletakan jawatan presiden serta-merta. Gerakan sosial di Chile mengecam Piñera atas tanggungjawabnya mengheret seluruh negara Chile ke dalam konfrontasi yang serius. Pengisytiharan darurat oleh kerajaan pimpinan Piñera telah memperdalamkan krisis sosial dan pentadbiran yang belum pernah berlaku dalam sejarah Chile. Tentera dikerahkan untuk menguatkuasakan perintah darurat, dan kereta kebal berkeliaran di jalanan bandar, sesuatu yang tidak pernah berlaku selepas tamatnya pemerintahan kediktatoran Pinochet sejak hampir 30 tahun dahulu.
Sejak 18 Oktober 2019, sekurang-kurangnya 18 orang telah mati dengan kebanyakannya akibat daripada tindakan ganas polis. Hampir 2,500 orang cedera, sementara lebih 5,000 orang telah ditangkap. Carabineros, pasukan polis nasional Chile, telah menggunakan gas pemedih mata, penyembur lada, meriam air, peluru getah, malah juga peluru hidup, dalam represi yang ganas terhadap demonstran. Keganasan jentera negara telah disifatkan oleh sesetengah aktivis sebagai pengembalian zaman kediktatoran tentera. Namun, penindasan daripada pihak berkuasa gagal untuk menghalang kemaraan gelombang protes rakyat Chile.
Antara akvitis yang ditahan baru-baru ini termasuk pemimpin-pemimpin Pemuda Komunis Chile (Juventudes Comunistas de Chile, JJCC). Valentina Miranda, salah seorang pemimpin JJCC yang merupakan jurucakap kepada Penyelaras Nasional Pelajar-pelajar Sekolah Menengah (Coordinadora Nacional Estudiantes Secundarios, CoNES), ditahan oleh Carabineros semasa berdemonstrasi secara aman di dalam sebuah bangunan di Santiago. Semasa penahanannya, Miranda dipukul, dihina dan disembur gas pemedih mata pada mukanya. Selain itu, Pablo Ferrada (aktivis JJCC yang bertanggungjawab dalam hal ehwal pendidikan tinggi) dan Anaís Pulgar (setiausaha politik JJCC di Universiti Santiago) juga ditahan dan diseksa.
Presiden Piñera telah mengumumkan pada 23 Oktober 2019 bahawa kerajaan Chile akan melakukan pembaharuan terhadap pendidikan, kesihatan dan sistem pencen, sebagai cubaan untuk meredakan keadaan, tetapi nampaknya juga tidak berkesan, kerana rakyat Chile sudah bosan dan muak dengan janji politikus yang tidak ikhlas ini.
Selain menuntut perletakan jawatan Piñera sebagai Presiden Chile, rakyat Chile yang berprotes juga menuntut penubuhan Perhimpunan Perlembagaan Nasional untuk membangunkan secara partisipatori asas struktur baru untuk masyarakat Chile, dan membuka jalan kepada model pembangunan nasional yang menamatkan model neoliberal sekarang yang tidak adil dan menganiayai rakyat biasa. Perlembagaan Chile sekarang ini masih mengandungi banyak warisan pemerintahan rejim kediktatoran Pinochet (1973-1990).
Negara Chile merupakan makmal eksperimen yang paling awal untuk pelaksanaan dasar ekonomi neoliberal berikutan kudeta ketenteraan pada tahun 1973 yang membolehkan Augusto Pinochet berkuasa. Ekonomi Chile dibangunkan di atas penindasan terhadap mereka yang mengkritik kerajaan berhaluan kanan yang rapat dengan kuasa imperialis Amerika Syarikat dan pelebaran jurang kekayaan. Walaupun Chile merupakan salah sebuah negara yang terkaya di rantau Amerika Latin, tetapi ia juga ialah negara dengan masyarakat yang paling tidak samarata. Tahap kesamarataan pendapatan Chile adalah paling teruk di kalangan 36 buah negara anggota Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).
Kadar pertumbuhan ekonomi Chile pada takat ini ialah 1.5%, merosot dengan hebatnya berbanding 6% pada tahun 1992. Pengeksportan tembaga merupakan sumber pendapatan utama negara itu, tetapi dengan eksport tembaga merudum, ekonominya turut merosot. Pekali Gini untuk Chile berada pada pada 0.50, iaitu pada kadar ketidaksamarataan yang agak teruk. 10% golongan terkaya di negara Chile memperoleh pendapatan 26 kali ganda berbanding 10% golongan termiskin. Jika mengambil kira kekayaan yang dimiliki golongan 10% terkaya, jurangnya jauh lebih hebat. Sistem percukaian di Chile amat regresif, dengan golongan kaya mudah melepaskan diri daripada cukai dengan cara merasuah, sementara rakyat biasa menanggung kos sara hidup yang tinggi akibat daripada dasar kerajaan yang anti-rakyat. Tambang metro di bandar Santiago (yang digunakan oleh 3 juta orang atau 1/6 daripada jumlah penduduk seluruh negara Chile) telah dinaikkan sebanyak 20 kali sejak tahun 2007. Kenaikan tambang yang terbaru ini menjadi pencetus kepada protes pelajar sekolah menengah yang kemudiannya berkembang menjadi pemberontakan rakyat terhadap dasar ekonomi yang anti-rakyat.
Gelombang protes rakyat Chile membentuk sebahagian daripada kebangkitan hebat menentang dasar neoliberal yang sedang merebak di beberapa buah negara yang lain termasuk Ecuador, Haiti dan Lubnan. Perjuangan rakyat Chile ini sedang mencabar kekuasaan kelas pemerintah yang mengamalkan dasar mengkayakan golongan kaya dengan memiskinkan rakyat miskin selama ini.
6 thoughts on “Chile: Rakyat bangkit lawan neoliberalisme”