20191027 - 14708148_10157611743275103_6403098282368683524_n.jpg

32 tahun dahulu, pada 27 Oktober 1987, Kerajaan Barisan Nasional yang dipimpin oleh Mahathir Mohamad pada masa itu (iaitu Perdana Menteri Kerajaan Pakatan Harapan hari ini) melancarkan Operasi Lalang, satu operasi penangkapan polis secara besar-besaran dengan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Lebih 100 orang pemimpin politik (kebanyakannya daripada parti pembangkang pada masa itu) dan aktivis masyarakat sivil ditahan tanpa bicara. Selain itu, lesen penerbitan untuk akhbar seperti The Star, Sin Chew Jit Poh, The Sunday Star dan Watan telah ditarik balik oleh Kementerian Dalam Negeri (dengan Mahathir Mohamad juga memegang jawatan Menteri Dalam Negeri pada masa itu!).

Operasi Lalang merupakan detik hitam dalam sejarah Malaysia kerana ruang demokrasi yang sudah agak kecil pada masa itu dikecutkan lagi oleh pihak pemerintah yang mahu mengekalkan kekuasannya. Parti pemerintah pada masa itu, UMNO, sedang menghadapi perpecahan dan berada dalam krisis politik yang mendalam. Sentimen politik perkauman telah diapi-apikan oleh golongan politikus sehingga suasana politik menjadi begitu tegang pada masa itu, dan digunakan sebagai alasan oleh mereka yang berkuasa untuk melakukan penindasan dengan menggunakan akta zalim ISA supaya melenyapkan suara yang mengkritik golongan berkuasa pada masa itu.

ISA yang berkuatkuasa mulai tahun 1960 selepas tamatnya Darurat selama 12 tahun yang diisytiharkan oleh pihak penjajah British, telah menyambung warisan penjajah dan digunakan sebagai alat politik untuk melenyapkan suara-suara yang mencabar kekuasaan golongan pemerintah. Ramai ahli politik pembangkang, aktivis sosial dan mereka yang dianggap mengancam kekuasaan golongan pemerintah pernah ditahan sewenang-wenangnya di bawah ISA. ISA ini dimansuhkan pada tahun 2012 semasa Najib Razak menjadi Perdana Menteri, selepas kerajaan pada masa itu mendapati bahawa penggunaan penahanan tanpa bicara sudah tidak lagi berkesan untuk melenyapkan suara pembangkang dan menghalang kebangkitan rakyat (khususnya kehebatan mobilisasi kuasa rakyat yang ditunjukkan dalam aksi BERSIH 2.0 pada tahun 2011). Namun, sejurus ISA dimansuhkan, ia telah digantikan dengan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (atau dikenali dengan singkat SOSMA). Walaupun SOSMA tidak seteruk ISA, iaitu tempoh penahanan tanpa bicara telah dikurangkan kepada 28 hari, tetapi ia masih mengandungi unsur-unsur represif yang boleh digunakan oleh golongan penguasa bila-bila masa. Apa-apa bentuk penahanan tanpa bicara adalah pencabulan hak asasi manusia yang serius, kerana menafikan hak seseorang untuk dibawa ke hadapan muka pengadilan untuk apa-apa pertuduhan yang dilempar terhadapnya.

Pada hari ini, Kerajaan Barisan Nasional telah digantikan oleh Kerajaan Pakatan Harapan berikutan Pilihanraya Umum ke-14 pada tahun 2018. Ramai di kalangan pemimpin dalam Kerajaan Pakatan Harapan hari ini pernah ditahan tanpa bicara di bawah ISA.  Yang ironi juga, pemimpin politik lama yang menjadi Perdana Menteri semasa Operasi Lalang itu telah diangkat menjadi Perdana Menteri dalam era “Malaysia Baru” ini. Pelik tapi benar. Bayangan Operasi Lalang 32 tahun dahulu masih berkeliaran sekitar kita…

Pakatan Harapan dalam manifesto pilihanrayanya semasa PRU-14, pernah menjanjikan pemansuhan peruntukan-peruntukan yang zalim dalam SOSMA (Janji 27: Menghapuskan undang-undang yang zalim). Namun, apa yang kita dapat perhatikan pada masa kini, SOSMA yang sama masih wujud lagi dengan peruntukan-peruntukan zalim yang sama seperti yang digubal pada tahun 2012.

Lebih teruk lagi pada hari ini adalah, kerajaan masih menggunakan SOSMA untuk menahan orang tanpa bicara. Baru-baru ini, 12 orang ditahan di bawah SOSMA dengan pertuduhan bahawa mereka ada kaitan dengan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), sebuah kumpulan militan di Sri Lanka yang memperjuangkan kemerdekaan Tamil Eelam tetapi sudah tidak aktif lagi sejak 10 tahun dahulu. Antaranya yang ditahan di bawah SOSMA baru-baru ini ialah dua orang wakil rakyat daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP). Tahanan SOSMA yang dikatakan berkaitan dengan LTTE ini masih dalam tahanan, dan mereka tidak dapat menyambut Hari Deepavali bersama keluarga mereka pada musim perayaan ini. Perayaan cahaya tahun ini amat malap…

Walaupun pihak polis mengatakannya ada bukti yang mengaitkan mereka yang ditahan di bawah SOSMA itu, tetapi yang peliknya mereka masih belum lagi didakwa di mahkamah, sebaliknya ditahan tanpa di bawa ke mahkamah.

Penahanan tanpa bicara adalah bertentangan dengan prinsip demokrasi yang menegakkan hak asasi manusia. Setiap orang berhak mendapatkan proses perbicaraan yang sewajar di bawah sistem kehakiman yang bebas dan adil. Jika seseorang itu didapati bersalah, dia perlu dibawa ke hadapan muka pengadilan untuk didakwa, bukannya disimpan dalam lokap tanpa apa-apa bicara.

Sepanjang kewujudan ISA, dan sekarang ini SOSMA, undang-undang yang membenarkan penahanan tanpa bicara ini sentiasa digunakan untuk mencapai motif politik tertentu, bukannya untuk keselamatan negara.

Pertubuhan hak asasi manusia SUARAM telah menyeru pada Kerajaan supaya mengenakan moratorium terhadap penggunaan SOSMA baru-baru ini. Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) turut menyatakan kebimbangannya terhadap penahanan tanpa bicara di bawah SOSMA kerana ia bertentangan dengan prinsip teras hak asasi manusia.

Dalam sidang akhbar yang diadakan oleh SUARAM pada 23 Oktober 2019, Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM) S. Arutchelvan mengatakan bahawa SOSMA mempunyai DNA yang sama dengan ISA.

“SOSMA disalahgunakan seperti ISA dan sebab itu Pakatan Harapan hendak memansuhkannya dalam manifesto pilihanrayanya. Tetapi hari ini, pendirian ini sudah menjadi kabur,” kata Arutchelvan.

Arutchelvan juga berkata, “Polis biasanya cakap ada bukti yang kukuh. Jika ada, maka dakwa sahaja di bawah Kanun Keseksaan, kerana di bawah Kanun Keseksaan hukumannya adalah lebih berat berbanding dengan SOSMA.” Arutchelvan juga menyeru untuk menubuhkan sebuah tribunal untuk menyiasat kes penyalahgunaan kuasa oleh polis dalam penggunaan SOSMA.

Penahanan tanpa bicara adalah saki baki rejim yang represif dan perlu dibuang sama sekali. Kerajaan Pakatan Harapan perlu mengambil langkah yang sewajarnya untuk memansuhkan akta yang zalim jika benar-benar ingin melakukan pembaharuan institusi.

One thought on “Bayangan Operasi Lalang 32 tahun dahulu masih berkeliaran…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *