Universities students hold the Iraqi flag as they take part in a protest over corruption, lack of jobs, and poor services, in Kerbala
(Foto oleh Abdullah Dhiaa al-Deeen/Reuters)

Gelombang protes di Iraq sedang berterusan, dengan pusingan terbaru protes bermula lagi pada 24 Oktober 2019 apabila ribuan rakyat, kebanyakannya anak-anak muda, turun ke jalanan di seluruh negara Iraq untuk menuntut perubahan menyeluruh kepada sistem politik di situ.

Pelajar-pelajar dari sekolah-sekolah dan university-universiti juga menyertai aksi protes. Demonstran mengadakan aksi duduk bantah di Dataran Tahrir di Baghdad, dan membuat sekatan di jambatan yang menuju ke Zon Hijau, iaitu pusat politik bandar Baghdad. Sesetengah demonstran juga menuntut perletakan jawatan Adil Abdul-Mahdi sebagai Perdana Menteri Iraq. Pusingan terbaru gelombang protes ini adalah lanjutan daripada aksi demonstrasi yang tercetus pada minggu pertama bulan Oktober 2019. Kerajaan Iraq yang sering bertukar sejak pencerobohan tentera Amerika Syarikat (AS) dan kejatuhan rejim Saddam Hussein pada tahun 2003, telah gagal menyelesaikan masalah-masalah rakyat seperti pengangguran, perkhidmatan awam yang teruk dan korupsi yang berleluasa, sehingga menimbulkan kemarahan rakyat. Berikutan protes pada minggu pertama bulan Oktober 2019, Perdana Menteri Adil Abdul-Mahdi telah mengumumkan beberapa langkah pembaharuan tetapi tidak dapat meredakan kemarahan rakyat. Lebih-lebih lagi, Adil Abdul-Mahdi menyokong tindakan pasukan keselamatan dengan mengatakan mereka mematuhi “standard antarabangsa” dalam menangani demonstran, sedangkan 149 orang telah mati pada 1-8 Oktober 2019. Aksi protes “berehat” seketika selepas 8 Oktober 2019, tetapi kembali membara pada 24 Oktober 2019.

Pasukan keselamatan telah menggunakan kekerasan yang hebat untuk menyuraikan demonstran yang menyertai pusingan terbaru aksi protes. Sekurang-kurangnya 94 orang mati sejak 24 Oktober 2019 akibat daripada penindasan pihak berkuasa terhadap demonstran. Tidak hairan adanya demonstran yang mengecam tindakan Kerajaan Iraq sekarang ini “lebih teruk daripada Saddam”.

20191030 - Murtaja Lateef - EPAa27c22ecb5f74de386a7baeef35f2416_18.jpg
(foto oleh Murtaja Lateef/EPA)

Antara dasar pembaharuan yang diumumkan oleh Perdana Menteri Adil Abdul-Mahdi sebagai respon kepada pusingan protes pada awal bulan Oktober 2019, termasuk pencen untuk semua keluarga tanpa pendapatan, pengagihan plot kediaman kepada golongan miskin, pinjaman kepada orang muda, dan peruntukan 50% untuk anak muda tempatan dalam semua kontrak kerajaan pada masa depan. Namun, pengumuman pembaharuan ini dianggap terlalu lambat dan sangat kurang berbanding apa yang diinginkan oleh rakyat yang terdesak untuk perubahan yang mendadak.

Negara Iraq telah mengalami kehancuran yang dahsyat kerana sekatan ekonomi dan konflik perang untuk beberapa dekad lamanya, dengan yang paling teruk semasa pencerobohan tentera AS pada tahun 2003. Ekonomi Iraq masih sedang pulih daripada kehancuran. Sejak kumpulan pengganas ISIS ditewaskan pada tahun 2017, negara Iraq berada dalam keadaan yang boleh dikatakan agak aman. Namun, kelas pemerintah yang berkuasa gagal memperbaiki kehidupan ekonomi rakyat. Ironinya untuk Iraq sebagai pengeluar minyak yang kedua besar di kalangan negara-negara anggota Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC), lebih kurang 23% penduduk negara itu hidup di bawah garis kemiskinan dan kadar pengangguran di kalangan anak muda melebihi 25%. Generasi pasca-perang di Iraq, kebanyakannya masih muda, gagal mendapatkan pekerjaan walaupun menamatkan pelajaran di universiti.

Kerajaan Iraq yang dipimpin oleh Adil Abdul-Mahdi sekarang ini dibentuk hasil sokongan daripada Pakatan Saairun, Pakatan Fatah, Al-Wataniya, Parti Demokratik Kurdistan, Tayar al-Hikmah al-Watani dan Muttahidun, dengan Pakatan Saairun sebagai blok politik yang terbesar. Pakatan Saairun terdiri daripada beberapa parti dengan spektrum politik yang agak luas, dengan Parti Integriti yang dipimpin oleh Imam Syiah Muqtada al-Sadr sebagai parti komponen utama dan disokong oleh parti seperti Parti Komunis Iraq. Adil Abdul-Mahdi ialah Ahli Parlimen dalam Majlis Perwakilan Iraq yang menang sebagai calon bebas, tetapi dinamakan sebagai Perdana Menteri sebagai calon yang boleh diterima oleh semua parti politik yang berpecah-belah dan juga kedua-dua kuasa luar yang berpengaruh di Iraq (iaitu AS dan Iran).

Kebanyakan demonstran yang berprotes di Iraq sekarang tidak yakin pada janji Adil Abdul-Mahdi untuk pembaharuan, dan melihat satu-satu solusinya adalah perubahan sepenuhnya kepada sistem politik Iraq yang sedia ada. Ketidakpercayaan ini adalah hasil daripada fragmentasi politik di bawah campurtangan kuasa luar untuk hampir dua dekad dan kegagalan kelas yang memegang kuasa politik untuk mewujudkan sokongan merentasi semua rakyat Iraq. Sistem politik di Iraq sekarang ini dibentuk pada tahun 2005 di bawah pendudukan tentera AS, tanpa mempunyai apa-apa sokongan masyarakat akar umbi yang sebenar. Walaupun sudah melalui 4 pilihanraya umum (2005, 2010, 2014 dan 2018), “demokrasi” ciptaan imperialis AS di Iraq hanya membiak perpecahan sektarian di kalangan kepimpinan politik dan tiadanya agenda untuk mewujudkan sistem politik pan-Iraq yang dapat diterima oleh semua golongan dalam masyarakat. Ini telah membawa kepada perasaan rakyat biasa yang terasing daripada sistem pilihanraya di Iraq dan kebanyakan pengundi tidak begitu peduli pada politik yang nampaknya tiada kaitan dengan mereka langsung.

Gelombang protes di Iraq yang terbaru ini tidak menunjukkan sifat sektarian setakat ini, dan aksi-aksi massa tertumpu pada isu-isu sekular seperti pekerjaan, perkhidmatan awam yang teruk dan gejala korupsi. Tekanan hebat daripada aksi protes rakyat ini juga menyebabkan blok politik terbesar dalam Majlis Perwakilan Iraq, Pakatan Saairun, untuk menyatakan sokongan terhadap tuntutan rakyat. Dua orang ahli parlimen daripada Parti Komunis Iraq dan dua orang ahli parlimen yang lain, telah meletak jawatan daripada kerusi parlimen mereka pada 27 Oktober 2019 untuk menyokong kebangkitan protes rakyat ini.

Jawatankuasa siasatan yang ditubuhkan selepas dakwaan penindasan yang berleluasa oleh anggota pasukan keselamatan pada awal bulan Oktober 2019, telah mengesahkan kematian 149 orang pada 1-8 Oktober 2019. Hasil siasatan ini telah menyebabkan kerajaan memecat kebanyakan pegawai yang bertanggungjawab. Namun, rakyat Iraq yang protes tidak berpuas hati dengan tindakan kerajaan yang dianggap tidak mencukupi ini. Lebih-lebih, apa yang dapat disaksikan untuk seminggu yang lepas adalah penindasan daripada pasukan keselamatan masih berterusan sehingga angka korban terus meningkat. Sudah pastinya, gelombang protes ini akan berterusan…

20191030 - Khalid Al-Mousily - Reuters.jpg
(foto oleh Khalid Al-Mousily/Reuters)

2 thoughts on “Iraq: Momentum gelombang protes berterusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *