Hong Kong Xi's Dilemma
(foto oleh Vincent Yu / AP)

Sejak beberapa bulan yang lalu, tercetusnya gelombang perjuangan massa hebat di Hong Kong yang mendapat perhatian dunia. Sosialis.net menemuramah aktivis sosial tempatan di Hong Kong, untuk membolehkan pembaca dapat memahami krisis politik dan gerakan perjuangan rakyat yang sedang berlaku di Hong Kong, di luar kaca mata media aliran utama.

Selepas temuramah dengan aktivis muda dengan nama samara “D” yang diterbitkan pada 10 September 2019, Sosialis.net kali ini menemuramah Au Loong Yu, seorang aktivis kiri di Hong Kong.

S – Sosialis.net

Au – Au Loong Yu, seorang guru bersara dan penulis kiri di Hong Kong, buku terbarunya “China’s Rise: Strength and Fragility” diterbitkan dalam Bahasa Inggeris, Bahasa Perancis, Bahasa Jepun dan Bahasa Tionghua.

==================== 

S: Adakah gerakan yang terbaru ini memberi apa-apa kesan kepada imbangan kuasa politik di Hong Kong?

Au: Komposisi utama gerakan ini – salah satunya ialah generasi milenial dan sayapnya yang paling radikal; dan satu lagi ialah parti-parti Pan-Demokrat (termasuk golongan Lokalis berhaluan kanan dan golongan penentuan nasib sendiri yang berada di pinggiran) dengan “Fron Hak Asasi Manusia Sivil” (Civil Human Rights Front, CHRF) sebagai wakilnya dan juga organisasi-organisasi sosial yang lain. Sememangnya golongan yang pertama itu ialah pemimpin kepada gerakan ini. Ketegasan mereka untuk tidak berkompromi, membawa gerakan ini ke kemuncak dan akhirnya memaksa Ketua Eksekutif Hong Kong Lam Cheng Yuet-ngor pada awalnya menangguhkan kemudian menarik balik usul pindaan Undang-undang Ekstradisi yang penuh dengan kontroversi itu. Namun, kita juga tidak boleh menafikan peranan golongan yang kedua. Mereka telah membantah usul kerajaan sejak bulan Mac tahun ini, dan berusaha gigih untuk berkempen selama beberapa bulan yang lalu, sementara golongan “militan” belum lagi muncul pada masa itu. Perarakan anjuran CHRF yang disertai jutaan orang pada 9 Jun 2019 dan 16 Jun 2019, secara objektifnya memainkan peranan sokongan yang penting. Sementara itu, sikap kedua-dua golongan yang “tidak memisahkan diri sesama sendiri”, membolehkan gerakan anti-ekstradisi ini memiliki sifat popular yang sebenar. Perkara ini tidak dapat dilakukan oleh Gerakan Payung sebelum ini. Penyatuan kedua-dua aliran besar inilah, membolehkannya menggugat rang undang-undang ekstradisi yang diperkenalkan oleh Lam Cheng Yuet-ngor, malah selepas kerajaan berkompromi, masih dapat menyokong perkembangan gerakan ini seterusnya sehingga kini.

Walau bagaimanapun, untuk halatuju selepas ini, sememangnya generasi milenial memainkan peranan yang lebih kritikal. Dalam sejarah Hong Kong, 150 tahun yang pertamanya sebagai tanah jajahan British; 20 tahun kemudiannya, ia menjadi tanah jajahan Parti Komunis China. Hubungan antara Parti Komunis China dengan Hong Kong, adalah kolonialisasi secara dalaman. Ia mewarisi hubungan antara pusat dengan pinggiran yang diamalkan sejak zaman British, untuk memenuhi objektif ekonomi negara penaung / Beijing melalui kawalan politik. Oleh yang demikian, kedua-dua pihak penjajah (sama ada British atau Beijing) tidak membenarkan bandar ekonomi Hong Kong ini (iaitu peranan yang diberikan oleh kolonialisme sejak awalnya) berubah menjadi bandar politik. Jadi, tidak boleh membenarkan penduduknya menjalankan pemerintahan sendiri yang sebenar. Generasi Pan-Demokrat sudi menunggu pihak Parti Komunis China untuk menunaikan janjinya, tetapi apabila generasi milenial muncul, orang Hong Kong sudahpun menunggu selama 40 tahun. Sekarang ini generasi milenial berkata, “Engkau menipu, kami tidak akan menunggu lagi!” Parti Komunis China hanya tahu mengutuk anak muda yang terlibat dalam gerakan anti-ekstradisi itu sedang melawan untuk “kemerdekaan Hong Kong”, tetapi tidak sedar bahawa tindakannya yang bersikap “guna dan buang” terhadap Hong Kong dan memungkiri janjinya untuk membolehkan pemerintahan sendiri Hong Kong, serta mempercepatkan usaha penguasaan terus terhadap Hong Kong itulah, yang menyebabkan generasi anak muda bangkit memberontak terhadapnya.

“Menentang ancaman luar” ialah pemangkin kepada pembentukan rasa kepunyaan, identiti malah sentimen nasional. Ini adalah sesuatu yang universal. Hong Kong juga tidak berkecuali daripadanya. Jadi, mana-mana ahli politik yang cuba mendampingi massa Reben Kuning selepas ini, hampir tidak mungkin tidak membuat kerja di bawah identiti “orang Hong Kong”. Identiti ini mewakili keinginan orang Hong Kong untuk menentukan nasib sendiri dan tidak lagi dibuli oleh orang lain. “Lagu Hong Kong” (iaitu lagu bertajuk “Moga Hong Kong Gemilang” yang menjadi amat popular di kalangan orang Hong Kong dalam tempoh amat singkat) boleh dikatakan lambang kepada perasaan sedemikian.

(Nota pengarang: Reben Kuning merujuk kepada penyokong golongan Pan-Demokrat atau golongan bukan berkuasa yang menyokong pelaksanaan pengundian sejagat dalam pilihanraya; Reben Biru pula merujuk kepada penyokong kerajaan atau golongan berkuasa di Hong Kong.)

Akan tetapi, saya tidak bersetuju dengan pandangan yang menganggap “identiti orang Hong Kong” itu sebagai Nasionalisme Hong Kong. Sudah tentunya orang yang menggunakan istilah ini sekarang tidak semestinya mengikut definisi yang lebih ketat, malah hanya menggunakannya tanpa memikir secara mendalam. Namun, saya berpandangan bahawa perbincangan yang lebih rapi tentang ini akan membawa lebih nilai analisis.

Anda boleh berkata bahawa sekarang ramai massa Reben Kuning sudah memiliki sejenis rasa kepunyaan Hong Kong malah sentimen nasional Hong Kong, tetapi ia tidak bersamaan dengan “Nasionalisme”. Menjadikan “identiti nasional” itu mengatasi segala nilai, barulah Nasionalisme. Namun, massa Reben Kuning sekarang ini, termasuk sebahagian generasi milenial, sebenarnya tidak semestinya mahukan kemderdekaan Hong Kong, apatah lagi menjadi nasionalis. Bagi mereka, kemerdekaan Hong Kong hanyalah “mimpi” yang jauh. Jadi, matlamat gerakan hari ini, masih terhad kepada 5 tuntutan utama. Jika ada orang mengibarkan panji kemerdekaan Hong Kong ataupun melaungkan slogan berkaitan, akan dihalang oleh orang lain. Orang dewasa tahu bahawa kemerdekaan Hong Kong itu tidak praktikal (besar kemungkinan hanya boleh difikirkan sekiranya Kerajaan Beijing ditewaskan Amerika Syarikat). Anak muda yang radikal pula sudi untuk berkompromi demi bergabung dengan massa Reben Kuning dalam jumlah jutaan, dan menuntut tahap autonomi yang tinggi, ataupun hanya menuntut untuk penentuan nasib sendiri bukannya kemerdekaan, lebih-lebih lagi tidak mengejar kemerdekaan tanpa mempedulikan segalanya.

Walau apapun, ini adalah lonjakan hebat dalam pemikiran dan subjektiviti orang Hong Kong. Semangat menuntut autonomi ini akan menentukan nasib gerakan massa Reben Kuning selepas ini. Oleh itu, walaupun gerakan kali ini dipanggil “Gerakan Anti-Ekstradisi”, tetapi pada hakikatnya gerakan ini telah jauh melangkaui bantahan terhadap undang-undang ekstradisi ke China. Dari segi pengaruh selepas ini, gerakan ini boleh dipanggil sebagai “Gerakan Generasi Milenial Menentukan Nasib Sendiri”, untuk membezakannya daripada gerakan demokratik sebelum ini.

**********

S: Apakah impak gerakan ini terhadap rakyat biasa dan masyarakat sivil di Hong Kong?

Au: Salah satu sumbangan “Gerakan Generasi Milenial Menentukan Nasib Sendiri” adalah mempolitikkan rakyat biasa secara signifikannya, termasuk massa Reben Biru. Oleh sebab kolonialisme tidak pernah inginkan golongan yang dijajah memberi perhatian pada politik, dan sebaliknya mahukan mereka sentiasa tunduk kepada pemerintah, maka wujudnya slogan daripada ahli politik seperti “Jangan bincang pasal politik, hanya buat kerja praktikal” semasa pilihanraya. Pilihanraya itu sememangnya bersifat politik. Politik yang tidak membincang pasal politik ini, maksud tersirat sebenarnya mahu semua orang hanya tumpukan perhatian pada “pencarian rezeki”, politik diserahkan sepenuhnya kepada golongan pemerintah. Ini sememangnya sepadan dengan mentaliti rendah diri ramai warga kaum cina kelas menengah dan bawah: kekalkan ketenteraman masyarakat, biar mereka mencari rezeki tanpa kerisauan. Ini juga asas pemikiran massa Reben Biru sekarang ini. Sebenarnya, kebanyakan warga Hong Kong berfikir seperti ini pada masa dahulu lagi. Ini adalah salah satu hasil daripada pemerintahan autokratik mutlak sepanjang 2000 tahun tambahan pula dengan sejarah penjajahan selama 170 tahun. Sejarah penyebaran Gerakan Demokratik Hong Kong sebenarnya amat pendek, dengan yang terutamanya dilahirkan kerana rangsangan daripada Gerakan Demokratik tahun 1989 di China. Apabila gabungan politik United Democrats of Hong Kong (UDHK) memenangi paling banyak kerusi dalam pilihanraya dewan perundangan pada tahun 1991, kemudiannya meminta pada kerajaan penjajah supaya membenarkan mereka memasuki kabinet, tetapi mereka dimaki oleh warga Hong Kong: kami memilih kamu untuk memantau kerajaan, bukannya mahu kamu menjadi sebahagian daripada kerajaan. Ramai warga bandar Hong Kong yang mempunyai aspirasi untuk demokrasi masih mengekalkan banyak mentaliti subjek yang diperintah. Oleh itu, peralihan kuasa kepada pemerintahan Parti Komunis China dapat berlangsung dengan begitu lancar sekali.

Namun, apabila Kerajaan Hong Kong mahu menggubal undang-undang berkaitan dengan Perkara 23 Undang-undang Dasar Hong Kong (iaitu peruntukan undang-undang yang berkaitan dengan “keselamatan negara”, termasuk pengkhianatan, pemisahan, hasutan dan subversi terhadap Kerajaan Pusat Beijing) pada tahun 2003, ia telah mencetuskan mentaliti hebat di kalangan rakyat Hong Kong untuk mempertahankan autonomi bandar ini, dengan seramai 500,000 orang turun berdemonstrasi di jalanan pada tahun itu. Walaupun Parti Komunis China menarik balik rang undang-udang itu, tetapi masih menggunakan pelbagai cara untuk mengurangkan kuasa autonomi Hong Kong, misalnya pelaksanaan “Pendidikan Nasional”, ataupun pengenalan Putonghua (Bahasa Mandarin) sebagai medium pengajaran di sekolah. Oleh sebab generasi muda lebih sensitif, maka mereka menentang secara berterusan, sehingga berkembang menjadi Gerakan Payung pada tahun 2014. Jika imbas kembali dari sekarang, Gerakan Payung seolah-olah raptai kepada “Gerakan Generasi Milenial Menentukan Nasib Sendiri” pada tahun 2019.

2 juta orang turun berdemonstrasi di jalanan pada 16 Jun, menunjukkan bahawa gerakan kali ini memang memiliki sifat popular. Ini merupakan kali kedua wujudnya gerakan demokrasi yang begitu besar di kawasan Tiongkok Raya selepas pendemokrasian Taiwan. Massa Reben Kuning yang biasa, juga berkembang daripada bersimpati secara pasif terhadap golongan minoriti anak muda radikal yang melawan polis secara kekerasan kepada simpati dan menyokong secara aktif. Ini merupakan letusan yang hebat sekali selepas massa rakyat mempelajari daripada pengajaran dan pengalaman selama berpuluh-puluh tahun. Dengan adanya letusan ini, masyarakat sivil Hong Kong baru adanya versi 2.0 yang diperkuatkan. Masyarakat sivil Hong Kong sebelum ini tidak kuat langsung. Memang terdapatnya banyak parti politik, kesatuan sekerja, organisasi sukarelawan dan sebagainya di Hong Kong, tetapi kebanyakannya ditunjangi oleh kakitangan sepenuh masa, dan anggotanya kurang semangat penyertaan. Dalam Gerakan Payung pada awalnya, dan kemudiannya dalam Gerakan Anti-Ekstradisi kali ini, barulah nampak aksi secara spontan dan kerja-kerja kesukarelawan hebat yang bersifat massa. Ini merupakan satu gerakan demokrasi massa yang hebat.

**********

S: Apakah komposisi kelas dalam kalangan peserta gerakan ini? Apakah bezanya dengan gerakan demokrasi di Hong Kong sebelum ini?

Au: Gerakan kali ini boleh dikatakan gerakan seluruh rakyat selain kapitalis atasan dan golongan korporat kewangan. Pesertanya termasuk golongan borjuasi kecil, kelas menengah, kelas buruh dan anak muda serta pelajar. Jika bercakap tentang yang memimpin, semestinya yang paling utama ialah anak muda dan pelajar. Saya menyebut anak muda dan pelajar di sini, kerana adanya di kalangan golongan militan atau penyokong aktifnya walaupun muda, tetapi tidak semestinya pelajar, malah sudah bekerja. Anak muda dan pelajar lebih cenderung kepada model gerakan bersifat anarkis – tanpa pemimpin, tanpa organisasi, penekanan pada kespontanan, sangat mudah alih. Ini adalah sesuatu yang universal, bukannya sesuatu yang unik untuk Hong Kong. Namun, model ini tidak sesuai untuk golongan pekerja. Golongan militan sedar tidak lama kemudian bahawa tanpa penyertaan golongan pekerja, adalah amat sukar untuk berjaya dengan bergantung pada kekuatan sendiri. Oleh itu, gerakan kali ini lebih mementingkan mogok kerja dan mogok perniagaan berbanding Gerakan Payung sebelum ini.

Seruan mogok politik yang pertama selepas mogok politik anjuran Komunis Hong Kong pada tahun 1967, adalah mogok bertiga (mogok pekerja, mogok pelajar dan mogok perniagaan) yang dirancang oleh Hong Kong Alliance in Support of Patriotic Democratic Movements in China pada 7 Jun 1989. Namun, perakaran besar-besaran yang dirancang pada hari itu dibatalkan secara tiba-tiba akibat ketakutan terhadap kononnya sabotaj oleh ejen Parti Komunis China, maka secara tidak langsung membatalkan aksi mogok. Ini juga menentukan selepas itu gerakan pekerja di Hong Kong hanya menjadi pengikut kepada parti-parti Pan-Demokrat yang bersifat kelas menengah, dan tidak mempunyai suara politik sendiri yang bebas. Ini juga sebabnya walaupun kesatuan sekerja menyeru untuk mogok ketika Gerakan Payung tetapi tidak berjaya akhirnya. Semasa Gerakan Anti-Ekstradisi, kesatuan sekerja pernah menyeru untuk mengadakan aksi mogok pada 12 Jun 2019, tetapi tidak mendapat apa-apa sambutan. Dua bulan selepas itu apabila gerakan semakin memasuki kemuncaknya, terjadilah mogok politik yang pertama di Hong Kong sejak tahun 1967. Anak muda/pelajar yang radikal, kesatuan sekerja dan golongan pekerja biasa, ketiga-tiga pihak membentuk gabungan yang sebenar. Terdapat ratusan ribu orang bekerjasama secara pro-aktif atau pasif (kerana kelumpuhan separa lalu-lintas), dengan tidak pergi bekerja. Separuh daripada industri penerbangan dilumpuhkan kerana separuh daripada anggota kesatuan pekerja Cathay Pacific mengadakan mogok. Mogok politik kali itulah yang membawa gerakan ini ke kemuncak baru. Namun, selepas pihak majikan Cathay Pacific melancarkan serangan balas terhadap pekeja, mogok pada 2 dan 3 September 2019 tidak begitu berjaya. Walau bagaimanapun, kejayaan mogok pada 5 Ogos 2019 sudah melatih anak muda dan golongan pekerja generasi muda. Mereka sudah dapat merasai kekuatan kolektif mereka sebagai pekerja.

Namun, masa hadapan untuk pempolitikkan gerakan pekerja masih sangat sukar. Ramai rakan-rakan berhaluan kiri dari luar negara bertanya: 5 tuntutan utama itu tidak merangkumi satu perkara pun tentang keadilan pengagihan, adakah masalah kemiskinan di Hong Kong sudah selesai? Memang belum lagi, malah semakin teruk.

Gerakan pekerja Hong Kong walaupun mempunyai wakil rakyat dan parti politik, tetapi tidak pernah mengambil inisiatif untuk menentukan agenda politik. Oleh itu, gerakan pekerja Hong Kong tidak pernah mengemukakan program pekerja dalam gerakan demokrasi politik. Ini bukannya sesuatu yang kebetulan, juga bukan salah organisasi pekerja sepenuhnya. Golongan pekerja Hong Kong terlalu dipengaruhi oleh ideologi seperti pasaran bebas, “miskin kaya tanggungjawab seseorang itu sendiri” dan sebagainya, maka memang kekurangan kesedaran kelas. Terdapat tinjauan pendapat baru-baru ini yang menunjukkan bahawa rakyat biasa sangat peka pada perbalahan politik pada masa kini, tetapi tidak begitu mengambil perhatian terhadap sama ada kebajikan sosial mencukupi atau tidak. Pada masa yang sama, ada sebahagian anak muda berhaluan kiri cuba membangkitkan perbincangan tentang Tuntutan Keenam dalam forum online LIHKG, dengan permintaan untuk memberi perhatian kepada isu kehidupan rakyat yang dipengaruhi oleh monopoli korporat, tetapi tidak mendapat balasan dan perbincangan yang sepatutnya. Pempolitikan gerakan pekerja masih merupakan satu jalan yang berpanjangan. Namun, “perjalanan beribu batu bermula dari kaki selangkah”, di mana gerakan ini sedikit sebanyak mendatangkan peluang untuknya.

**********

S: Bolehkah kita bandingkan gerakan ini dengan perjuangan semasa Rusuhan 1967?

Au: Dari segi keintensifan kekerasan, sekarang ini masih jauh kurang hebat berbanding tahun 1967. Pada ketika itu, Komunis Hong Kong memasang bom di seluruh bandar Hong Kong. Sekarang ini paling serius pun hanya melontarkan bom petrol ke arah polis semasa demonstrasi. Aksi yang dahulu itu mencederakan ramai orang yang tidak bersalah, aksi sekarang ini menimbulkan kecederaan yang jauh amat kurang, dan kuasa mencederakan orang memang tidak setanding langsung berbanding tahun 1967.

Namun, perbezaan yang paling ketara adalah dari segi politik. Rusuhan 1967 adalah lanjutan daripada pergolakan perjuangan politik di Beijing, bukannya hasil daripada intensifikasi konflik kelas tempatan di Hong Kong. Titik permulaan Rusuhan 1967 ialah mogok pekerja di sebuah kilang bunga tiruan, tetapi seluruh gerakan pada tahun 1967 dipanggil sebagai “Anti-British Anti-Tirani”. Kenapa peristiwa mogok di sebuah kilang yang kecil boleh berkembang menjadi perjuangan bersenjata yang mensasarkan Kerajaan Penjajah? Apabila Komunis Hong Kong bercakap tentang Rusuhan 1967, mereka suka mengatakan bahawa oleh kerana kerajaan penjajah sangat teruk maka mengakibatkan intensifikasi gerakan. Ini bukannya hakikat sebenar. Selepas Peristiwa 4 Jun 1989, sebahagian daripada pemimpin tinggi dalam kem Komunis Hong Kong, seperti Jin Yaoru, telah menceritakan semula peristiwa yang sebenar secara terperinci. Pada ketika kemuncak Revolusi Budaya di China, pemimpin tinggi dalam Agensi Berita Xinhua di Hong Kong mempergunakan mogok pekerja yang kecil untuk melancarkan rusuhan politik di Hong Kong, demi mengambil hati Geng Berempat yang berkuasa di Beijing. Peristiwa itu merupakan lanjutan Revolusi Budaya di Hong Kong. Rakyat bawahan di Hong Kong pada masa itu memang tidak mempunyai apa-apa perasaan positif terhadap kerajaan penjajah, tetapi percanggahan kelas pada masa itu juga belum lagi menunjukkan simtom-simtom semakin serius. Jadi, keadaan pada masa itu tidak membenarkan penentangan politik pekerja secara berleluasa. Komunis Hong Kong mewujudkan satu perjuangan politik massa secara tiruan, akhirnya menggadaikan asas sokongan massanya sendiri, dan menyebabkan rakyat biasa menjauhkan diri daripada Komunis Hong Kong sejak itu.

Gerakan Anti-Ekstradisi kali ini pula, merupakan hasil daripada intensifikasi percanggahan kelas tempatan, iaitu hasil daripada konflik antara pemerintah dengan yang diperintah, antara kumpulan proksi Parti Komunis China di Hong Kong dengan kebanyakan warga bandar Hong Kong.

**********

S: Kita sering nampak penampilan sesetengah simbol yang agak berhaluan kanan dalam Gerakan Anti-Ekstradisi ini, seperti adanya demonstran yang mengibarkan bendera zaman penjajahan, bendera British atau bendera Amerika Syarikat, malah adanya orang melaungkan slogan meminta campurtangan Amerika Syarikat. Bagaimana anda melihat perkara ini? Adakah wujudnya kecenderungan ideologi pelampau kanan dalam kalangan demonstran? Jika ada, sejauh mana pengaruh kuasa ini? Lagipun, ada orang mendakwa bahawa imperialis Amerika Syarikat ialah dalang di sebalik gerakan protes ini. Apakah pandangan anda?

Au: Persoalan ini sebenarnya agak kompleks dan boleh dipecahkan kepada beberapa tahap untuk dibincangkan. Semua orang tahu bahawa, dalam gerakan terbaru ini, orang yang mengibarkan bendera Amerika Syarikat walaupun sudah bertambah, tetapi untuk sebuah gerakan dengan penglibatan melebihi sejuta orang ini, mereka hanyalah minoriti yang sangat kecil. Kita boleh mempersoalkan dengan lebih lanjut lagi, kenapa massa yang melihatnya di berdekatan tidak menghalang mereka. Tidak menghalang adalah kerana kebanyakan orang memang berasa tidak ada keperluan khas untuk membantah, atas anggapan bahawa musuh kepada musuh ialah kawan kita. Ini adalah pandangan praktikal ramai orang. Namun, ini ada bezanya dengan menyokong secara aktif terhadap tindakan berkenaan.

Yang kedua, orang Hong Kong biasanya tidak sensitif tentang bendera kebangsaan dan lambang negara. Sekarang ini hanya sensitif terhadap benda yang berkaitan dengan Parti Komunis China. Pengalaman orang Hong Kong sangat berbeza dengan bekas tanah jajahan yang lain di dunia. Selepas Perang Dunia II, kami tidak pernah wujudnya gerakan anti-penjajah yang lahir secara tempatan. Komunis Hong Kong pernah melakukan perjuangan anti-penjajah pada tahun 1967, tetapi selepas ia gagal berbuat demikian, ia kembali mengamalkan dasar yang “mempergunakan Hong Kong dalam jangka masa panjang”, bekerjasama dengan Britain untuk mengekalkan “kemakmuran dan kestabilan” Hong Kong. Golongan kiri muda yang mula muncul pada tahun 1970-an, seperti kami ini, sangat benci pada tindakan Komunis Hong Kong yang bekerjasama dengan pemerintah British. Slogan kami pada masa itu adalah “Anti-Kapitalis, Anti-Penjajah, Anti-Birokrasi”. Namun, golongan kiri generasi baru pada masa itu sangat kecil, dan tiada pengaruh langsung. Orang Hong Kong pada masa itu secara umumnya tidak berminat dengan politik. Mereka menerima secara pasif status mereka sebagai golongan yang diperintah di tanah jajahan dan tidak berfikir lagi. Kekurangan pengalaman anti-penjajah menyebabkan orang Hong Kong biasanya sangat tidak sensitif terhadap bendera kebangsaan yang mewakili identiti nasional, tidak seperti negara yang lain. Selain itu, ketidaksensitifan juga disebabkan oleh kejahilan terhadap makna politik yang diwakili bendera kebangsaan masing-masing, kecuali bendera lima bintang negara China.

Yang ketiga, sesungguhnya kita perlu mengakui bahawa orang Hong Kong biasanya pro-Barat. Ini tidak menghairankan langsung, kerana pengaruh kuasa lunak (soft power) Barat. Sejak tahun 1950-an, semua orang suka menonton filem dari Eropah, Amerika Syarikat dan Jepun. Keadaan sebegini wujud terutamanya selepas Revolusi Budaya. Tidak ramai orang Hong Kong suka menonton filem dari Tanah Besar China. Komunis Hong Kong dan syarikat filem patriotik yang dipengaruhinya, memang membikin filem yang mendapat lebih sambutan daripada rakyat bawahan sebelum Revolusi Budaya. Namun, apabila berlakunya Revolusi Budaya, kuasa lunak sedikit yang ada padanya itu juga dihancurkan sendiri. Selepas tahun 1970-an, filem yang dikatakan filem patriotik lesap di semua panggung wayang. Di sebalik fenomena ini adalah akibat yang tidak dapat dielakkan daripada kegagalan sepenuhnya apa yang digelar Sosialisme oleh Parti Komunis China, dan berubah sifatnya kepada Kapitalisme yang paling teruk. Pimpinan tinggi Parti Komunis China juga sangat pro-Barat, maka mereka menghantar anak-anak mereka untuk belajar di Eropah dan Amerika Syarikat, sementara mereka sendiri juga ghairah mengalihkan kekayaan ke Eropah dan Amerika Syarikat. Fenqing (“anak muda yang marah” merujuk pada orang muda China yang menunjukkan tahap sentimen nasionalis yang tinggi) di Tanah Besar China hari ini tidak tahu tentang sejarah busuk kepimpinan tertinggi mereka, maka barulah mendukung patriotisme mereka secara membuta tuli. Orang Hong Kong memerhati Tanah Besar dengan sikap acuh tak acuh untuk 70 tahun, amat sukar tidak menjadikan mereka pro-Barat dan menjauhkan diri daripada Beijing. Enggan mengakui perkara ini adalah tidak mengakui hakikat sebenar.

Yang terakhir, kononnya kuasa asing. Beijing masih bercakap setiap hari tentang “berwaspada dengan kuasa asing”. Namun, Beijing sendiri bukannya menentang segala bentuk campurtangan kuasa asing, sebaliknya hanya melakukannya secara amat selektif. Beijing amat memahami tentang kebaikan kuasa asing, maka tahu menarik sokongan daripada negara autokratik seperti Korea Utara untuk bersorak baginya. Mereka juga tidak kisah tentang pegawai polis berwarganegara Britain dalam pasukan polis Hong Kong yang memukul secara ganas demonstran orang cina Hong Kong. Kenapa Hong Kong masih ada ratusan anggota polis yang berwarganegara Britain? Ini perlu kembali kepada asalnya, kembali kepada Deng Xiaoping dan Undang-undang Dasar Hong Kong. “Satu Negara, Dua Sistem” ialah perkara hasil daripada kompromi Deng Xiaoping dengan kuasa asing. Parti Komunis China mahu melepaskan diri daripada kemiskinan, mahu mengambil jalan kapitalis untuk kekayaan diri, maka perlu berkompromi dengan kuasa British dan Amerika Syarikat. Deng tidur dengan musuhnya, maka melahirkan bayi kesayangannya yang digelar Undang-undang Asas Hong Kong. Undang-undang Asas Hong Kong memberi perlindungan yang terutama kepada kepentingan British dan Amerika Syarikat di Hong Kong: sama ada kekal menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi, ataupun kekal menggunakan sistem common law, ataupun membenarkan mahkamah Hong Kong melantik hakim dari luar negara, ataupun membenarkan orang Hong Kong memiliki pasport British, ataupun Perkara 101 Undang-undang Asas yang menetapkan bahawa warga asing boleh terus dilantik sebagai penjawat awam atau penasihat yang sebenarnya bersamaan dengan janji tidak akan menjalankan pembersihan terhadap penjawat awam yang sedia ada. Dan maka wujudnya satu sisi lain dalam perkara ini, iaitu membenarkan polis berwarganegara British “memukul orang cina seperti kami”. “Satu Negara, Dua Sistem” yang dijanjikan oleh Beijing, pada asasnya membolehkan kuasa asing terus bertapak di sini, membenarkan Britain dan Amerika Syarikat terus mengekalkan pengaruh mereka yang kuat, termasuk pengaruh terhadap parti-parti Pan-Demokrat, media dan kelas menengah yang bekerja sebagai profesional. Ini ialah hak istimewa sejarah yang dijanjikan oleh Beijing kepada kuasa Eropah dan Amerika Syarikat. Kita jangan hanya membaca propaganda negara China, perlu melihat pada kepentingan sebenar Parti Komunis China, iaitu mereka bergantung pada kuasa asing untuk mengasimilasikan diri ke dalam kapitalisme global dan menjadi kaya kerananya. Sekarang Xi Jinping ingat negara China sudah kuat, maka boleh guna dan buang, boleh membuang dasar Deng Xiaoping, oleh itu memperkenalkan undang-undang ekstradisi, mengamalkan penguasaan secara langsung sepenuhnya terhadap Hong Kong. Namun, apabila Parti Komunis China mengoyakkan janjinya pada Eropah dan Amerika Syarikat tetapi pada masa yang sama mengharapkan pihak lain tidak membalas dendam, bukankah ia sesuatu yang terlalu bodoh?

Dari segi pandangan golongan Kiri, kami tidak menyokong Parti Komunis China mengambil jalan kembali kepada kapitalisme sejak awal lagi. Kepentingan sejarah golongan buruh adalah melepasi kapitalisme, dan membina masyarakat yang samarata. Apa yang dimaksudkan samarata, yang terutamanya adalah jentera negara dan logik kapitalisme hilang secara beransur-ansur bukannya diperkuatkan lagi. Namun, golongan Kiri juga tidak sepatutnya menjadi utopian, atau berangan-angan kosong. Golongan Kiri harus menjadi pejuang yang realistik. Berdepan dengan perebutan kekuasaan antara China dan Amerika Syarikat, kami tentunya tidak menyokong kedua-dua pihak. Akan tetapi, sekiranya meletakkan diri dalam keadaan Hong Kong yang konkrit, memang Parti Komunis China lebih teruk daripada kerajaan penjajah British. Saya bukannya seorang yang merindukan penjajahan, sebaliknya saya anti-penjajah selama ini sejak berusia belasan tahun. Namun, sekurang-kurangnya Britain tidak memaksa kami menyanyikan negara kebangsaan mereka, apatah lagi hendak menggubal undang-undang mengenai lagu kebangsaan (nota pengarang: Kerajaan Hong Kong telah menggubal undang-undang lagu kebangsaan dengan menghukum orang yang “tidak menghormati” lagu kebangsaan China). Parti Komunis China berdegil untuk melakukan sedemikian, dan tindakan kejinya ini hanya sebahagian kecil daripada banyak dasar yang lebih keji.

Ini berbalik kepada satu persoalan yang asas: kami tidak menyokong kapitalisme pasaran bebas. Namun, kapitalisme versi Parti Komunis China sememangnya lebih teruk lagi. Saya memanggilnya Kapitalisme Birokratik. Kapitalisme Birokratik ini menggabungkan dua kuasa yang paling penting dalam masyarakat, iaitu kuasa pemaksaan negara dan kuasa pengumpulan modal yang tidak terhad, dalam tangan penguasaannya sendiri, memberikan nafas baru yang jauh lebih dahsyat untuk istilah “totalitarianisme”. Totalitarianisme ini lebih hodoh daripada kapitalisme pasaran bebas. Khususnya bagi kami yang sedang berada di Hong Kong, semestinya menggunakan 90% tenaga kami untuk melawan Parti Komunis China, termasuk tahu menggunakan geo-politik antarabangsa secara taktikal. Ini sememangnya tidak bersamaan degan kami mempersetujui khayalan yang menganggap Kerajaan Amerika Syarikat itu adalah jaguh demokrasi yang sebenar. Kuasa pro-Amerika Syarikat di Hong Kong sekarang sedang berkempen untuk Kongres Amerika meluluskan Rang Undang-undang Hak Asasi Manusia dan Demokrasi Hong Kong. Saya pernah menulis dalam satu rencana yang diterbitkan dalam akhbar Ming Pao baru-baru ini, yang menghujahkan masalah tentang rang undang-undang ini, iaitu mengaitkan hak asasi manusia Hong Kong dengan dasar luar Amerika Syarikat.

**********

S: Apakah impak krisis politik Hong Kong kali ini kepada geo-politik serantau? 

Au: Impak yang paling utama adalah terhadap rakyat Tanah Besar China. Kita semua tahu melalui media, bahawa Parti Komunis China menyekat berita secara selektif dan mewujudkan berita palsu, sehingga menghasut ramai orang China benci pada orang Hong Kong. Namun, setiap perkara adanya dua sisi – apabila anda menghasut secara berketerlaluan, akan menimbulkan situasi yang tidak dapat ditangani. Apabila Lam Cheng Yuet-ngor menarik balik rang undang-undang ekstradisi yang kontroversi, nampaknya memalukan Kerajaan China dan terpaksa menanganinya secara tidak menonjol. Tetapi adanya orang mempersoalkan “kenapa mahu berkompromi dengan pengganas”, “bukankah ini pengkhianatan kepada polis Hong Kong yang anti-rusuhan” dan sebagainya. Tidak hairanlah kenapa Kerajaan Beijing sekarang ini tidak lagi begitu giat menganjurkan aksi demonstrasi seperti gerakan anti-Jepun sebelum ini, dan hanya sekadar melakukan perang saraf di media. Kelemahan politik Kerajaan Beijing sudah sampai ke tahap di mana ia mahu mengapi-apikan nasionalisme sempit, tetapi terpaksa was-was terhadap nasionalisme sempit yang diapi-apikan itu hilang kawalan.

Ada lebih ramai lagi orang tidak menyokong pendirian kerajaan, tetapi untuk melindungi diri mereka sendiri maka berdiam diri. Kemudian adanya sesetengah pendukung demokrasi di Tanah Besar China, walaupun menanggung risiko yang tinggi tetapi masih menyokong gerakan di Hong Kong secara terbuka.

Pilihan strategi yang paling kritikal untuk orang Hong Kong selepas ini, adalah sama ada mendapatkan sokongan rakyat Tanah Besar China sebagai sekutu, untuk memperjuangkan demokrasi di Tanah Besar dan Hong Kong secara bersama; ataupun masih berpegang pada doktrin “air sungai tidak bercampur dengan air telaga” (iaitu tidak mengganggu sesama sendiri), atau lebih teruk lagi mengambil pendirian golongan lokalis berhaluan kanan, iaitu menganggap semua orang China sebagai “belalang” dan menyerang mereka. Memilih jalan yang pertama, adalah satu jalan besar yang luas, sebaliknya memilih jalan yang kedua adalah memilih jalan mati sendiri.

Mengimbas balik gerakan kali ini, ciri khususnya adalah tiada parti politik memainkan peranan kepimpinan: halatuju gerakan ini dibentuk oleh massa bersifat spontan yang tidak mempunyai banyak pengalaman politik dan tiada latar belakang. Melihat pada aktiviti sebenar mereka, kedua-dua kecenderungan yang disebut di atas wujud secara tidak jelas. Pernah adanya satu perarakan besar-besaran untuk memujuk pelancong dari Tanah Besar China supaya memahami objektif gerakan rakyat Hong Kong kali ini. Pada masa yang sama, terdapat juga sebahagian aktiviti tempatan yang mensasarkan orang dari Tanah Besar China yang menjalankan aktiviti perdagangan selari (iaitu membeli barangan di Hong Kong dan menjual semula di Tanah Besar dengan harga lebih tinggi; dan aktiviti ini menimbulkan beberapa masalah kepada penduduk Hong Kong seperti kekurangan barangan keperluan harian, kesesakan kerana ramai pedagang masuk, gangguan kepada kehidupan harian dan sebagainya), di mana adanya penggunaan bahasa yang bersifat diskriminasi terhadap orang dari Tanah Besar.

Tugas golongan Kiri adalah mendorong kecenderungan politik yang progresif, pada masa yang sama membendung segala kecenderungan yang buruk. Mereka yang hanya tahu memberi arahan di tepi tanpa melibatkan diri terus dalam gerakan adalah yang paling tidak berguna.

Demonstration demanding Hong Kong's leaders to step down and withdraw the extradition bill, in Hong Kong
( foto oleh Athit Perawongmeth / Reuters)

**********

S: Selepas protes dan kebangkitan massa selama 3 bulan, Ketua Eksekutif Hong Kong Lam Cheng Yuet-ngor telah pun menarik balik rang undang-undang ekstradisi yang penuh kontroversi itu, tetapi nampaknya tidak membantu dalam meredakan keadaan. Ini kerana masih adanya tuntutan penting lain yang belum lagi direalisasikan, khususnya pengundian sejagat untuk pilihanraya Ketua Eksekutif dan Dewan Perundangan. Pada pandangan anda, apakah kedudukan gerakan ini pada masa kini? Bagaimanakah perkembangan gerakan selepas ini?

Au: Sejak pencetusannya sehingga kini, terdapatnya dua komponen penting dalam Gerakan Anti-Ekstradisi: massa Reben Kuning dan anak muda radikal. Anak muda radikal menjadi perintis aksi, sementara massa Reben Kuning menjadi barisan pertahanan. Penyatuan kedua-dua kuasa ini, membawa kepada kemuncak, dan sebaliknya akan membawa kepada kemerosotan. Sejak bulan Jun lalu, kedua-duanya menuju penyatuan. Bermula dari penghujung bulan Ogos, gerakan ini nampaknya sedang melepasi satu lagi halangan, iaitu orang awam biasa juga mula bersimpati dengan anak muda radikal yang bertempur dengan polis. Sekiranya satu hari nanti orang awam biasa juga melibatkan diri dalam penentangan secara keras yang sebenar, maka berkemungkinan akan wujudnya situasi revolusioner di mana “pihak pemerintah tidak dapat lagi memerintah mengikut wajah yang asal, dan rakyat juga tidak lagi dapat bertolak ansur dengan kerajaan ini”. Namun, sekarang ini masih tidak dapat melihat kesungguhan orang ramai untuk melepasi halangan ini, kerana perlu mengorbankan banyak perkara sekiranya mahu melangkaui halangan ini sepenuhnya. Masih tidak dapat tahu berapa ramai orang awam sanggup menanggung risiko yang amat besar ini.

Selain itu, walaupun mogok politik pada 5 Ogos 2019 agak berjaya pada awalnya, tetapi mogok pada 2 dan 3 September 2019 tidak berjaya. Ini menunjukkan bahawa sangat tidak mudah untuk gerakan pekerja terus mara menuju kemuncak. Dengan ini, gerakan menghadapi jalan buntu, walaupun belum lagi merosot, tetapi juga tidak dapat berkembang ke tahap lebih tinggi. Jika tidak dapat berkembang ke tahap yang lebih tinggi, maka akan menjadi lebih sukar untuk memenangi 4 tuntutan yang tinggal itu. Ini kerana Beijing hari ini tidak akan berkompromi dengan mudah. Di bawah keadaan begini, sekiranya golongan militan mempertingkatkan kekerasan untuk melawan, mereka akan menghadapi krisis bertempur secara sendiri tanpa sokongan.

(Nota pengarang: 5 tuntutan utama gerakan protes Hong Kong yang terbaru ini ialah – 1. Menarik balik sepenuhnya rang undang-undang ekstradisi; 2. Menarik balik pencirian protes rakyat Hong Kong sebagai “rusuhan”; 3. Membebaskan demonstran yang ditahan dan menggugurkan pendakwaan terhadap mereka; 4. Menubuhkan sebuah jawatankuasa bebas untuk menyiasat keganasan dan salahguna kuasa polis; 5. Pelaksanakan pengundian sejagat untuk pilihanraya Majlis Perundangan (Legco) dan Ketua Eksekutif Hong Kong.)

**********

S: Apakah harapan anda untuk gerakan ini seterusnya? 

Au: Pada pendapat saya, gerakan ini patut melihat pada masa kini, bahawa kesukaran untuk maju ke tahap yang lebih tinggi adalah disebabkan kekurangan yang sedia wujud dalam gerakan ini. Pada hakikatnya, jika boleh maju ke tahap yang lebih tinggi, berkembang menjadi revolusi, di dalam sebuah bandaraya, sebenarnya akan dihancurkan oleh Parti Komunis China dengan cepatnya. Dalam keadaan tiadanya perubahan politik mendadak di Tanah Besar China, revolusi di sebuah bandarayaHong Kong sahaja tidak akan dapat berjaya. Oleh sebab inilah kenyataannya, maka jika mahu orang dewasa dan golongan pekerja menggulingkan Kerajaan Hong Kong tanpa mempedulikan apa-apa, adalah sesuatu yang tidak realistik. Kami patut membuang pemikiran “pertempuran terakhir”, jelas tentang sifat jangkamasa panjang perjuangan demokrasi, dan bertukar strategi kepada perjuangan berpanjangan dari sekarang, di samping mengekalkan kekuatan dan memperkasakan penyelarasan serta organisasi, khususnya memperjelaskan apakah penyusunan strategi gerakan ini – sama ada bergabung dengan gerakan demokrasi di Tanah Besar China, ataupun membikin satu gerakan demokrasi yang bersempadankan Sungai Shenzhen? (nota pengarang: Sungai Shenzhen ialah sempadan semulajadi Hong Kong dengan Tanah Besar China.)

3 thoughts on “Gerakan Milenial untuk menentukan nasib sendiri (Tembual khas tentang krisis politik dan gerakan perjuangan rakyat Hong Kong)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *