KUALA LUMPUR – 8 OGOS 2019: Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) bersama dengan wakil pekerja pembersihan di sekolah kerajaan yang diberhentikan kerja baru-baru ini, menyerahkan memorandum kepada ibupejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di Jalan Ampang pada hari ini, untuk menyatakan bantahan terhadap penolakan permohonan faedah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) daripada pekerja-pekerja pembersihan atas pelbagai alasan yang remeh.
Turut hadir bersama dengan pekerja-pekerja pembersihan yang berkenaan semasa penyerahan memorandum hari ini ialah Timbalan Pengerusi PSM S. Arutchelvan, Setiausaha Agung PSM A. Sivarajan dan Ahli Jawatankuasa Pusat PSM merangkap Penyelaras JPKK M. Sivaranjani.
Beribu-ribu pekerja pembersihan di sekolah-sekolah kerajaan telah diberhentikan kerja secara tiba-tiba oleh kontraktor pembersihan pada 31 Mei 2019. Mengikut Persatuan Kontraktor-kontraktor Bumiputera Sisa Pepejal dan Pembersihan (Kosppem), seramai 45,000 orang pekerja telah terbabit dalam pemberhentian kerja ini. Alasan yang diberikan untuk pemberhentian kerja ini adalah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengurangkan peruntukan untuk kerja-kerja pembersihan di sekolah, maka pengurangan pekerja dilakukan secara tiba-tiba. Pekerja-pekerja pembersihan yang bekerja selama bertahun-tahun di sesebuah sekolah diberhentikan tanpa notis dan tidak dibayar apa-apa pampasan.
Sebahagian daripada pekerja-pekerja yang hilang kerja ini, iaitu lebih kurang 125 orang pekerja, telah memfailkan kes di Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP) di seluruh Malaysia untuk menuntut pemulihan kerja di bawah seksyen 20 Akta Perhubungan Perusahaan. Proses runding damai sedang berjalan untuk kes-kes ini.
Sementara itu, pekerja-pekerja yang hilang kerja ini juga memohon faedah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) daripada PERKESO. Ramai pekerja pembersihan sekolah yang diberhentikan ini masih belum mendapat kerja dan sedang menganggur. Oleh itu, mereka mengharapkan bahawa pencaruman mereka dalam SIP sebelum ini dapat membantu sedikit sebanyak pada ketika kehilangan kerja. Namun, mereka menghadapi pelbagai masalah dalam proses permohonan untuk faedah SIP ini.
Dalam memorandum yang diserahkan kepada pihak PERKESO, PSM dan JPKK telah menyenaraikan masalah yang dihadapi oleh pekerja pembersihan dalam memohon faedah SIP, dan mengemukakan cadangan untuk mengatasi masalah ini, seperti berikut:
- Keperluan dokumen untuk permohonan seperti slip gaji untuk 6 bulan, notis pemberhentian, kontrak kerja atau bukti pekerjaan. Segelintir pekerja tiada sebarang dokumentasi pekerjaan dan ada yang tidak mempunyai dokumentasi yang cukup seperti slip gaji untuk 6 bulan, dan semua pekerja ini diberhentikan tanpa notis pada 31 Mei 2019. Mereka hanya diberitahu tentang pemberhentian kerja pada hari mereka dipecat, iaitu satu lagi kesalahan kontraktor kerajaan yang tidak mematuhi Akta Kerja 1955.
Cadangan PSM:
- Perkeso mengambil kenyataan pekerjaan melalui aduan polis.
- Perkeso boleh semak nama kontraktor melalui Pejabat Pendidikan Daerah, Kementerian Pendidikan atau Suruhanjaya Syarikat Malaysia.
- Ada juga pejabat PERKESO menolak permohonan pekerja dengan alasan bahawa sekarang permohonan adalah dilakukan secara online dan bukan manual. Hampir 99% pekerja ini kurang berpelajaran, dan buta komputer. Bagaimana mereka boleh membuat permohonan online?
Cadangan PSM:
- PERKESO menerima permohonan dalam bentuk manual atau membantu pekerja untuk memasukkan butir-butir secara online secara duduk bersama dengan pekerja. PERKESO tidak harus bersikap birokrasi dalam perkara ini.
- Faedah SIP ditolak kerana pekerja berstatus kontrak dan permohonanya dibuat selepas habis kontrak. Ini adalah satu ketidakadilan yang besar bagi golongan pekerja ini. Pekerja-pekerja ini bekerja berterusan di sekolah yang sama walaupun kontrak ditukar 3 tahun sekali. Walhal, pemberian kontrak 3 tahun sekali untuk kerja tetap sebegini adalah satu penyalahgunaan sistem kontrak tempoh tetap untuk pekerja. Pekerja-pekerja ini tidak diberhentikan setiap 3 tahun, tetapi mereka terus bekerja walaupun kontraktor bertukar. Bagaimanapun, pekerja-pekerja ini telah dipotong gaji untuk caruman SIP sepanjang pekerjaan mereka. Jika mereka adalah pekerja berstatus kontrak, mengapa potongan SIP dibuat?
Cadangan PSM:
- Sehingga Kerajaan menyelesaikan masalah sistem kontrak yang tidak adil untuk pekerja-pekerja sokongan di premis kerajaan ini, semua pekerja pembersihan harus diiktiraf sebagai pekerja tetap seperti dalam definisi sebenar sifat pekerjaan mereka yang sememangnya tetap dan bukan sementara. Justeru, mereka harus diberi hak untuk mendapatkan faedah SIP dan PERKESO tidak harus memangsakan pekerja ini, kerana mereka sudahpun dimangsakan sebagai pekerja kontrak tanpa jaminan kerja.
- Faedah SIP ditolak kerana perlu menunggu penyelesaian pertikaian antara pekerja dengan majikan di Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP). Mengapa ia harus dikaitkan dengan kes di JPP? Bukankah fungsi SIP adalah berbeza dengan urusan JPP. Jika kes di JPP mengambil masa satu tahun untuk selesai, dan dalam masa tersebut pekerja itu sudahpun mendapat satu kerja baru, maka dia tidak layak lagi untuk mendapat faedah SIP. Maka, apa motif SIP ini sebenarnya, jika tidak dapat membantu pekerja semasa hilang kerja?
Cadangan PSM:
SIP ialah satu perlindungan kecemasan bagi pekerja yang hilang kerja untuk menyokong mereka semasa mencari pekerjaan baru. SIP berfungsi untuk memberikan mereka pendapatan sementara menunggu untuk mendapatkan pekerjaan baru, dan sumber sokongan kewangan ini akan mendorong mereka supaya mencari pekerjaan secara aktif. Satu mekanisme harus memastikan dalam kes sebegini, mereka dilayakkan dan berhak untuk mendapat faedah SIP.
- Faedah SIP ditolak kerana Orang Berinsurans (OB) yang tidak mencukupi syarat kelayakan caruman minimum 2 tahun. PSM dan JPKK amat kecewa dengan penetapan syarat sebegini. Pada tahun 2018 apabila SIP mula diperkenalkan, kerajaan telah mengamalkan tuntutan interim sebanyak RM600 kepada pekerja yang hilang kerja untuk tempoh 3 bulan kerana pada masa itu pekerja tidak akan layak untuk syarat ini. Maka, dalam situasi ini, mengapa kefleksibelan seperti itu tidak diamalkan?
Cadangan PSM:
- Setiap pekerja yang hilang kerja harus dapat menikmati faedah SIP. Syarat kelayakan yang menetapkan tempoh minimum caruman harus dihapuskan, kerana SIP ialah sejenis perlindungan sosial untuk membantu pekerja dalam keadaan kehilangan pekerjaan.
Menteri Pendidikan sedar tentang masalah pemberhentian pekerja kontrak
Pada 27 Mac 2019, PSM dan JPKK telah mengadakan perjumpaan dengan Menteri Pendidikan Dr. Maszlee Malik untuk membangkitkan isu tentang penindasan pekerja di bawah sistem kontrak yang sedang diamalkan di premis sekolah kerajaan. Menteri Pendidikan mengakui bahawa adanya masalah dalam pemberhentian pekerja-pekerja ini oleh kontraktor, dan dalam jangkamasa pendek Kementerian Pendidikan telah meminta lebih banyak dana daripada Kementerian Kewangan untuk mengatasi masalah ini. Untuk jangkamasa panjang, Kementerian Pendidikan akan meneliti cadangan PSM untuk mengambil pekerja pembersihan secara terus dan tidak lagi melalui kontraktor sebagai orang tengah. Kementerian Pendidikan juga berjanji untuk mengambil tindakan menyenaraihitamkan kontraktor-kontraktor yang menganiayai pekerja kontrak.
Jadikan SIP betul-betul melindungi pekerja
Pada awalnya, apabila SIP diperkenalkan, pihak PSM dan JPKK amat gembira kerana ini adalah hasil perjuangan pekerja di Malaysia dan satu bentuk perlindungan kepada pekerja yang hilang kerja secara tiba-tiba. Dengan semangat yang sama, pekerja-pekerja pembersihan ini membuat permohonan untuk faedah SIP tetapi permohonan mereka ditolak dengan pelbagai alasan.
PSM dan JPKK menggesa PERKESO supaya jangan menggunakan alasan remeh untuk menolak permohonan faedah SIP daripada golongan B40 yang hilang kerja secara tiba-tiba. Satu dasar yang dilaksanakan untuk memberi perlindungan kepada pekerja, tidak harus dihalang dengan syarat-syarat yang tidak munasabah.
PSM juga menggesa PERKESO supaya mengkaji semula permohonan pekerja-pekerja pembersihan sekolah yang sudah ditolak dan membuat pertimbangan yang berbeza dalam kes sebegini semasa membuat keputusan.
Pekerka-pekerja pembersihan sekolah merupakan golongan B40 yang berpendapatan mereka. Mereka hilang kerja secara tiba-tiba bukan kerana mereka melakukan apa-apa kesalahan, tetapi disebabkan tindakan kerajaan yang mengurangkan peruntukan. Mereka ialah mangsa kepada tindakan kerajaan yang tidak bertanggungjawab. Sudah dua bulan berlalu dan kebanyakan mereka masih belum ada kerja baru. Bukankah PERKESO sebagai sebuah badan yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga perlindungan sosial bagi pekerja patut lebih berprihatin?