20190808CB039-Huruf-Jawi-A.jpg

 oleh S. Arutchelvan 

Pertama sekali, saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang berkenaan kerana berjaya mempopularkan perkataan khat atau seni khat. Sebenarnya, sebelum ini saya tidak pernah mendengar perkataan ini. Samalah seperti saya tidak pernah mendengar istilah “Bahasa Baku” sebelum Anwar Ibrahim perkenalkannya sebagai Menteri Pendidikan, atau perkataan “liwat” yang menjadi popular sekitar tahun 1998.

Isu Khat ini nampaknya berjaya menyatukan semua rakyat Malaysia untuk sama-sama berpecah pandangan mengenai 6 daripada 162 mukasurat buku teks Bahasa Melayu. Tahniah kerana ia hanya memerlukan 6 mukasurat dalam tulisan jawi untuk mendedahkan betapa rapuhnya perpaduan masyarakat di negara kita setelah 62 tahun mencapai kemerdekaan.

Isu ini berjaya seketika untuk mengalihkan fokus kita daripada isu-isu yang lebih besar seperti isu alam sekitar dan pencemaran udara walaupun jerebu kembali menyelebungi langit kita sejak beberapa minggu kebelakangan ini. Isu ini juga berjaya seketika untuk mengalihkan fokus kita daripada isu-isu seperti harga barangan yang meningkat, gaji yang masih rendah dan masalah pokok lain yang dihadapi oleh rakyat setiap masa.

Walaupun Parti Sosialis Malaysia (PSM) pada masa ini cuba mencelah dengan melontarkan isu mengenai MySalam dan Tongkat Ali, iaitu dua isu yang jauh lebih penting di mana kepentingan golongan korporat sedang menafikan hak rakyat biasa. Namun, isu-isu ini tidaklah sesensasi isu khat atau isu video seks, yang menjadi naratif utama dalam politik negara kita hari ini. Dalam seminggu yang lepas ini, isu khat berjaya menumpukan perhatian rakyat dari semua kaum dan agama, dan didebat secara meluas walaupun pandangan mereka berpecah mengikut kaum dan agama masing-masing.

Melihat mesej-mesej dalam kumpulan-kumpulan perbulan WhatsApp, termasuk kumpulan WhatsApp yang diikuti oleh ahli-ahli PSM, maka saya menulis satu hujah pendek kepada ahli-ahli PSM, Saya rasa isu khat ini seperti semua isu lain, sudah pun menjadi isu politik dan perkauman. PSM harus fokus kepada isu-isu yang boleh membawa rakyat Malaysia bersama seperti isu gaji, alam sekitar, kenaikan kos hidup, harga rumah dan sebagainya kerana isu-isu ini adalah isu penting. Selalunya isu macam khat, kuil Seafield dan sebagainya diberi publisiti yang meluas kerana ia dapat memecah-belahkan rakyat dan tidak akan menguntungkan rakyat majoriti. Kita kena selalu fokus pada isu-isu yang boleh menyelesaikan masalah ekonomi dan kehidupan kita. Isu perkauman dan agama hanyalah isu yang memesong kita daripada melihat isu-isu yang sebenar.” 

Apabila kekuatan kepelbagaian menjadi rapuh

Semasa saya di sekolah rendah, seronok juga saya belajar tulisan Jawi. Ada buku tulisan dengan garisan biru berselang merah. Seronok kita sebut huruf alif, bah, tah, jim, cah dan sebagainya, manakala kawan-kawan Melayu dan Cina seronok juga mengira dalam bahasa Tamil dengan Oṉṟu iraṇṭu mūṉṟu nāhlu, dan kami pula seronok mengira dalam bahasa Cina (kantonis) yat yi sam sei (mati). Namun, hari ini semua kepelbagaian dan kemajmukan dalam masyarkat kita sudah menjadi senjata persengketaan yang mengundang memorandum, protes, sidang akhbar dan buangan telur. Apa sudah jadi kepada negaraku… tanah tumpah darahku?

Mengapa kepelbagaian dan kemajmukan dalam masyakat kita yang merupakan sesuatu kekuatan itu boleh menjadi begitu rapuh apabila menghadapi ujian-ujian seperti 6 mukasurat seni khat dalam buku teks. Di mana silapnya? Untuk memahami masalah ini secara serius, kita perlu meninjau pengalaman sistem pendidikan dan isu bahasa sejak zaman Merdeka. Masalah yang kita hadapi sekarang ini adalah lanjutan masalah yang sudah mula bertapak sejak zaman penjajanan lagi. Kita kena meneliti sedikit sejarahnya. Kita kena meneliti sedikit tentang sistem pendidikan negara yang bermula dengan Laporan Barnes 1951 diikuti dengan oleh Penyata Razak 1956, Ordinan Pelajaran 1957, Laporan Rahman Talib 1960 , Akta Pelajaran 1961, sehinggalah AKta Pelajaran 1996 dan seterusnya

Misi muktamad – “Matlamat Akhir”

Bagi orang Melayu, ekonomi negara kita sejak dulu lagi dimonopoli oleh orang Cina walaupun pada hakikatnya pihak penjajah memiliki 70% ekonomi negara pada zaman sebelum merdeka. Dasar pecah dan perintah oleh Inggeris, sistem segregasi pekerjaan dan penempatan, juga membantu dalam melebarkan jurang antara kaum. Rasa kesangsian dan ketidakpercayaan oleh masyakatan Cina dan India sudah mula berbenih dari dulu lagi dalam isu persoalan bahasa ibunda dan sekolah Cina dan Tamil.

Sebelum merdeka lagi, Laporan Barnes mengusulkan untuk menghapuskan sekolah Tamil dan Cina. Mukasurat 23-24, Laporan Barnes 1951 menyatakan, “In principle, we recommend the end of the separate vernacular schools for the several racial communities and the replacement by a single type of primary school common to all.

Penyata Razak 1956 yang diterbit sejenak sebelum Merdeka mengatakan bahawa matlamat akhir adalah membawa semua pelajar dibawa satu sistem persekolahan dengan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama walaupun ada dinyatakan bahasa-bahasa lain boleh juga dikembangkan. Namun, ada satu perkataan yang menjadi amat kontroversi pada masa itu iaitu perkataan “the ultimate objective” atau Matlamat Akhir, di mana misi muktamadnya adalah membawa semua pelajar di bawaj satu sistem persekolahan dengan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama. Ia ditafsir oleh golongan pejuang bahasa ibunda sekolah Tamil dan Cina bahawa maksud Matlamat Akhir ini adalah untuk menutup sekolah Cina dan Tamil pada masa depan.

Setelah banyak protes dan bantahan di mana dikatakan sebanyak 151 memorandum telah dihantar mengenai perkara ini, maka perkataan kontroversi “ultimate objective” telah digugurkan dan digantikan dengan membenarkan pendidikan bahasa ibunda lain berkembang secara seiring. Ini kemudiannya diikuti dengan Ordinan Pelajaran 1957 yang membenarkan bahasa ibunda lain berkembang bersama dengan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama. Memetik teks asal, “ The Education policy of the Federation is to establish a national system of education acceptable to the people of the Federation as a whole which will satisfy the needs to promote their culture, social, economic and political development as a nation, with the intention of making Malay language the national language of the country whilst preserving and sustaining the growth of the language and culture of peoples other than Malays living in the country”, di mana boleh diterjemahakan sebagai “Dasar Pendidikan Persekutuan adalah untuk membentuk sistem pendidikan nasional yang dapat diterima oleh rakyat Persekutuan secara keseluruhan yang akan memenuhi keperluan untuk menggalakkan pembangunan budaya, sosial, ekonomi dan politik mereka sebagai sebuah negara, dengan niat untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara ini sambil memelihara dan mengekalkan pertumbuhan bahasa dan budaya kaum selain orang Melayu yang tinggal di negara ini”. Ordinan pelajaran 1957 mendapat sokongan daripada semua kumpulan kaum di negara kita.

Namun demikian, Laporan Rahman Talib 1960 sekali lagi menggunakan istilah matlamat akhir atau ultimate objective. Laporan ini menuntut menghapuskan bahasa ibunda di peringkat sekolah menengah. Ini diikuti pula dengan pindaan dalam Akta Pelajaran 1961 di mana apa yang ditekankan adalah Dasar pendidikan Persekutuan bertujuan untuk menubuhkan satu sistem pendidikan kebangsaan yang akan memupuk perkembangan kebudayaan, ekonomi dan politik negara ini, di samping menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, dan langsung tidak disebut mengenai mengekalkan perkembangan bahasa lain selain Bahasa Melayu. 

Jika meneliti Akta Pelajaran 1961, maka idelogi pemerintah semakin diragui oleh kaum-kaum selain kaum Melayu. Mereka bimbang tentang sekolah menengah bahasa ibunda ditukar kepada sekolah kebangsaan manakala ada keraguan bahawa pendidikan bahasa ibunda di sekolah rendah boleh ditukar bila-bila masa kepada hanya menggunakan Bahasa Kebangsaan.

Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971 yang menekankan Islam sebagai komponen penting dalam membentuk budaya kebangsaan juga telah menimbulkan kegusaran di kalangan golongan bukan Islam. Hubungan perkauman menjadi lebih renggang lagi setelah Dasar Ekonomi Baru diperkenalkan, di mana wujudnya isu-isu berkaitan dengan Dasar Bumiputera seperti sistem kuota, diskriminasi dalam memberi bantuan kewangan pendidikan atau biasiswa, pekerjaan dalam perkhidmatan awam dan kuota perumahan.

Apabila ketelusan pemerintah diragui, semua inisiatif perpaduan akan disangsi

Apabila isu khat dibincangkan hari ini, sebenarnya hanya segelintir kecil yang berbicara tentang isu seni dan sebagainya, manakala majoriti rakyat yang sudahpun dihasut dengan fahaman perkauman yang tebal, hanya melihat ini sebagai satu langkah untuk memperjuangkan imej dan identiti kaum masing-masing. Orang Bukan Melayu dan pejuang pendidikan sekolah vernakular melihat ini sebagai satu langkah tersirat untuk melaksanakan sedikit demi sedikit matlamat akhir kerajaan yang akan menguburkan pendidikan sekolah Cina dan Tamil. Orang Melayu pula melihat ini sebagai satu lagi tindakan oleh kaum minoriti untuk mencabar “Ketuanan Melayu”. Keadaan ini menjadi lebih parah lagi dengan adanya parti-parti politik dan NGO yang berlandaskan sentimen kaum dan agama masing-masing. Ia menjadi tidak terkawal pula dengan alam siber di mana pelbagai berita boleh menjadi viral.

Jadi, setiap kali sesuatu cuba diperkenalkan oleh Kerajaan walaupun betapa murni hasratnya, seperti Sekolah Wawasan dulu, ia akan mendapat tentangan hebat kerana langsung tiada kepercayaan kepada motif dan misi sebenar kerajaan. Pelbagai cubaan seperti slogan 1Malaysia, Budaya Kebangsaan dan sebagainya, langsung tidak dapat menyatukan masyarakat. Isu khat adalah satu contoh baik bagaimana 6 mukasurat dalam buku teks boleh menjadi satu kontroversi yang begitu hebat dan luas.

Tugas pemerintah untuk membina kepercayaan 

Dari dulu lagi, satu isu pokok tidak selesai adalah kita gagal mempunyai satu identiti Malaysia tetapi kita berpegang kuat kepda identiti kaum masing-masing. Perlu ada satu proses pembentukan idelogi dan keutamaan nasional melalui penyertaan rakyat daripada semua kaum dan agama untuk membentuk identiti bersama ini. Perlu adanya satu proses yang melibatkan rakyat berbilang kaum, jantina, agama, usia, pekerjaan dan daerah serta negeri dalam pembentukan ideologi dan pembinaan semula keutamaan-keutamaan nasional agar mewujudkan persefahaman yang lebih jitu di kalangan kaum, agama dan budaya.

Selain itu, setiap rakyat Malaysia harus mendapat hak pendidikan yang sama rata di mana adalah menjadi tugas pemerintah untuk menyediakan peluang pendidikan percuma di semua peringkat dengan mewajibkan pendidikan di peringkat rendah dan menengah, dan membuat perancangan sosioekonomi untuk memastikan wujudnya peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang.

PSM juga berpendirian bahawa apabila satu dasar pendidikan digubal, kita harus memastikan penyertaan guru dan pelajar dalam proses menentukan haluan sistem pendidikan nasional. Ahli-ahli politik seharusnya tidak mencampurtangan, dan membenarkan dasar pendidikan digubal oleh golongan-golongan yang mempunyai kepakaran dan kepentingan sahaja.

Untuk Dasar Bahasa pula, saya ingat hari ini semua pihak boleh bersetuju bahawa Bahasa Melayu harus dijunjung sebagai Bahasa Perantaraan, manakala semua bahasa lain berhak dan berpeluang untuk dikembangkan tanpa sekatan dan prasangka. Ini adalah posisi pada tahun 1957 yang diterima oleh semua pihak dan dan ia harus dimuktamadkan supaya isu prasangka itu boleh dikuburkan.

Ada satu psikologi masyarakat yang pernah diberitahu oleh seorang aktivis Sri Lanka kepada saya. Beliau berkata, apabila negara itu mempunyai Dasar Satu Bahasa, maka negara itu berpecah kepada dua, kerana orang yang tidak tahu bahasa itu, akan terasa tergugat dan memperjuangkan bahasa mereka, tetapi apabila tiada satu bahasa rasmi, maka semua orang akan belajar bahasa rakyat majoriti.

Saya percaya formula yang serupa sebenarnya ada kebenaran untuk negara kita. Apabila Kerajaan mengatakan Matlamat Akhir adalah menjadikan sistem satu jenis sekolah, maka sekolah Cina dan Tamil akan terasa tergugat dan mereka akan membuat kempen dan sebagainya untuk memastikan sekolah mereka akan terus kekal. Jika pemerintah tidak ada misi agenda matlamat akhir, maka saya rasa akan ada proses secara semulajadi untuk belajar pelbagai bahasa dan seni tanpa was-was dan prasangka. Dalam suasana itulah, perkara seperti seni khat dalam buku teks akan dapat diterima tanpa prasangka.

Saya sesunguhnya percaya bahawa hanya ada satu bahasa sahaja yang dapat menjadi bahasa perantaraan semua kaum di negara kita dan ia adalah Bahasa Melayu. Ini adalah sesuatu yang benar berdasarkan fakta dan realiti. Apabila orang biasa India, Melayu dan Cina bertutur, mereka akan menggunakan Bahasa Melayu dan Bahasa Melayu adalah Bahasa Kebangsaan. Mungkin adanya orang berpendidikan tinggi biasa bercakap dalam Bahasa Inggeris, tetapi bahasa yang digunakan oleh majoriti rakyat kita masih adalah Bahasa Melayu.

Namun, untuk melaksanakan ini, perlu ada komitmen tinggi daripada parti pemerintah. Masalahnya adalah parti pemerintah terus bermain politik kaum dan agama demi kepentingan masing-masing. Andaikata sistem ekonomi kita berlandaskan sistem kuota berlandasan keperluan dan bukannya kaum, maka anak semua rakyat berpendapatan rendah mempuyai peluang yang sama untuk maju ke depan tanpa rasa diskriminasi dan terpinggir. Mereka akan mempunyai peluang untuk melibatkan diri dalam membina negara dengan budaya dan kepentingan nasional yang lebih kukuh.

Biar saya akhiri tulisan ini dengan memetik perbilangan adat perpatih yang indah ini :

Jika berdiri sama tinggi

Jika duduk sama rendah

Hilang sama dicari

Cicir sama dipungut

Hutang sama dibayar

Piutang sama diterima

Ringan sama dijinjing

Berat sama dipikul

Bukit sama didaki

Lurah sama dituruni

Hati kuman sama dicicah

Hati gajah sama dilapah

Bulat air kerana pembentung

Bulat manusia kerana muafakat

Adat lalu ditempat terang

Muafakat lalu dalam gelap

Adat di atas tumbuhnya

Muafakat di atas buahnya

==========

S. Arutchelvan ialah Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM).

One thought on “Kontroversi Khat: 6 mukasurat yang ancam perpaduan?

  1. Syabas Tuan atas artikel di atas. Saya amat bersetuju sekali bahawa isu yang pada pandangan saya ini hanyalah isu polisi, telah di’hijack’ atau dijadikan isu bangsa/agama oleh sesetengah pihak. Saya kecewa dengan komen sesetengah pihak yang menggunakan alasan ‘perkauman/agama’ untuk protes pengajaran jawi/khat di sekolah.

    Bagi saya, isu ini boleh sahaja dijawab dengan cara ber’diplomasi’ (diplomatic reply) iaitu menggunakan hujah seperti:
    (1) fokus kepada kepentingan yang lebih utama iaitu penguasaan bahasa kebangsaan dari jawi (walaupun jawi berkait rapat dengan bahasa Melayu) yang masih menjadi isu walaupun bahasa Melayu diajar & digunakan secara meluas di Malaysia;
    (2) fokus kepada kedudukan jawi pada masa kini seperti “oleh kerana jawi tidak lagi digunakan secara meluas, kami merasakan bahawa mempelajari jawi mungkin menjadi ‘beban’ bagi pelajar bukan Melayu kerana perlu mengalih pandangan (walaupun sementara) dari bahasa itu sendiri kepada skrip jawi yang tidak mempunyai kegunaan yang meluas. Jika jawi digunakan meluas seperti aksara Cina (chinese characters), maka kami berpendapat bahawa jawi patut diajar di sekolah kerana kepentingannya yang digunakan secara meluas.
    (3) isu pandangan semua pihak: “oleh kerana semua pihak tidak diajak berbincang & diberi peluang untuk memberi pendapat mengenai polisi ini, kami rasa lebih baik jawi/khat ditangguhkan sehingga semua pihak telah berbincang dengan lebih mendalam.”

    Dari 3 segi di atas, saya rasa sudah cukup bagi semua pihak untuk menyuarakan ‘protes’ mereka tanpa membangkitkan isu kaum/bangsa/agama..

    Isu yang dibangkitkan oleh sesetengah pihak seperti isu Islamisasi orang bukan Islam, pelanggaran undang-undang berkaitan agama & tiada kaitan jawi dengan identiti Malaysia adalah isu yang bahaya untuk dibangkitkan, terutama sekali dengan keadaan sosial di Malaysia yang mengambil berat isu agama & kaum.

    Pada pandangan saya, 3 hujah di atas dapat dijawab seperti dibawah:
    1. Isu Islamisasi orang bukan Islam: Walaupun isu agama memang perlu diambil berat oleh semua, tetapi cara hujah ini digunakan adalah salah. Memang tidak dinafikan bahawa jawi & lebih-lebih lagi khat adalah berkait rapat dengan identiti Melayu & dari sinilah berkait dengan Islam. Jawi merupakan adaptasi skrip Arab bagi masyarakat Melayu manakala khat ialah penggunaan skrip Arab (secara am) atau Jawi di Malaysia bagi menulis ayat dengan cantik (seni tulisan tangan). Terdapat perbezaan penting di antara keduanya seperti yang disebut, tetapi yang lebih penting bagi orang bukan Melayu/Islam, khat bukan eksklusif kepada Islam sahaja. Khat boleh digunakan untuk menulis apa sahaja selagi dalam skrip Arab/Jawi. Contohnya, logo syarikat penyiaran Al-Jazeera, syarikat penerbangan Emirates, sesetengah badan di Malaysia seperti MARA. Penggunaan jawi juga digunakan oleh syarikat asifn di Malaysia seperti bank dari Singapura seperti OCBC/UOB yang meletakkan aksara jawi bersama aksara cina & huruf rumi. Ini menunjukkan bahawa jawi hanyalah suatu aksara/huruf/sistem tulisan sahaja tanpa kaitan agama.

    Bagi isu agama pula, walaupun khat sinonim dengan ayat-ayat al-Quran, tidak semestinya khat eksklusif kepada Islam. Persepsi ini hanya berlaku kerana:
    (1) hampir keseluruhan contoh & penggunaan khat itu tertumpu kepada ayat-ayat al-Quran & kurang contoh/penggunaan terhadap penggunaan ‘sekular’ iaitu bukan berkaitan agama seperti untuk menulis sajak/puisi/surat/dan lain-lain
    (2) kurangnya ilmu tentang perbezaan di antara ayat al-Quran & ayat biasa jika dilihat dalam jawi. Sama juga bagi orang Melayu/India, tiada keupayaan untuk membezakan aksara cina dari segi ayat biasa (sekular) & ayat berunsurkan agama (seperti contoh, ‘sutra’ agama Buddha yang ditulis dalam aksara cina). Contoh yang sama bagi masyarakat Melayu/Cina terhadap penggunaan huruf/aksara India: adakah ianya hanya ayat biasa atau berkaitan dengan agama (seperti menulis ayat/ungkapan dari kitab Veda)? Masalah ini hanya memberi peluang kepada isu kaum/agama yang kita hadapi hari ini apabila semua yang ditulis dalam jawi dilihat dari kaca mata agama.

    2. Pelanggaran undang-undang berkaitan agama: Di sini saya rasa tiada isu kerana apa yang berkaitan dengan isu ini hanyalah skrip/cara tulisan & bukan pembelajaran agama. Walaupun khat yang disebut oleh orang ramai berkaitan dengan islam walaupun boleh digunakan asing dari agama (sekular), ianya bukanlah suatu medium untuk mengajar agama. Seperti sesetengah pihak berkata, jawi/khat diajar hanya 3 muka surat sahaja & sudah pasti tidak mengambil masa yang lama. Sudah pasti guru tiada masa untuk menyampaikan ajaran agama melalui masa yang sangat singkat itu, lagi-lagi jika diajar melalui sistem tekap & tiru (dotted line system). Sekalipun guru menggunakan ayat al-Quran untuk mengajar, guru itu lebih cenderung untuk menekankan aspek huruf & cara menulis berbanding maksud & unsur keagamaan ayat tersebut. Namun, kebimbangan orang bukan Islam dari segi ‘Islamisasi’ adalah benar, cuma bukan dari segi jawi/khat kerana huruf yang penting dalam isu ini, bukan maksud & unsur agama tersebut.

    3. Jawi & identiti Malaysia: Jawi sudah digunakan masyarakat Melayu sejak zaman-berzaman. Terdapat banyak bukti dalam sejarah tentang penggunaan jawi di Malaysia. Mengatakan sebaliknya perlulah disokong oleh kajian & hasil selidik ahli sejarah, kerana, jika ingin mengatakan sesuatu yang ‘bercanggah’ dengan sejarah, sudah pasti perlu disokong dengan bukti. Jika tidak, adakah kenyataan tersebut boleh diterima?

    Contoh di mana jawi diakui sebagai skrip penulisan bahasa Melayu ialah melalui aplikasi ‘swiftkey keyboard’ di mana jawi merupakan salah satu dari skrip tulisan yang ditawarkan. Jika jawi tidak penting kepada identiti Melayu, mengapa aplikasi yang dibangunkan oleh orang bukan Melayu menawarkannya? Adakah hanya sekadar gurauan? Atau hanya sekadar menunjukkan bahawa aplikasi itu bagus dari segi menawarkan pelbagai sistem tulisan berbanding pesaing mereka? Atau hanya sekadar untuk menunjukkan bahawa mereka menyokong ‘diversity’ dengan menawarkan semua bahasa/sistem tulisan & tidak menolak/meninggalkan mana-mana bahasa/sistem tulisan?

    Dari segi identiti Malaysia, apakah yang dapat dikatakan sebagai ‘identiti Malaysia’? Jika bahasa Melayu ialah identiti Malaysia, maka jawi ialah identiti Melayu. Bagi membina sebuah negara berbilang kaum, kita tidak boleh memilih satu aspek & menolak satu aspek yang lain bagi sesuatu perkara. Menerima bahasa Melayu tetapi menolak jawi adalah salah & menghilangkan identiti masyarakat Melayu.

    Jika bahasa Melayu adalah identiti Malaysia, apakah yang dapat diperkatakan bagi rakyat Malaysia yang tidak mahir bertutur bahasa Melayu? Adakah mereka kurang identiti Malaysia? Berapa ramai rakyat negara ini yang kurang mahir berbahasa kebangsaan, bolehkah mereka dikatakan kurang ‘Malaysian’ berbanding orang lain? Memang tidak dapat dinafikan bahawa sebagai rakyat Malaysia, penguasaan bahasa kebangsaan merupakan suatu identiti penting rakyat negara ini, malah bagi semua negara di dunia ini, namun, ironinya, dengan hujah bahawa hanya bahasa Melayu yang penting kepada identiti Malaysia, mereka telah menuding jari kepada lebih ramai orang yang tidak fasih bahasa kebangsaan, yang kebanyakan bukan orang Melayu.

    Alasan bahawa jawi adalah sistem tulisan ‘import’ dari negara/budaya asing & tidak digunakan lagi atau sekurang-kurangnya secara meluas tidak dapat diterima. Apakah perkara di dunia ini yang tidak mempunyai kaitan dengan budaya/kaum lain? Jika alasan ini diterima, adakah kita patut menolak rumi kerana bukan identiti Malaysia, di mana ianya berdasarkan budaya Barat? Jika ditolaknya jawi kerana kurangnya penggunaan dalam masyarakat, adakah kita patut menolak semua yang tidak digunakan secara meluas? Contoh, pakaian tradisional yang hanya digunakan sekali setahun & bukan secara meluas, adakah patut kita menolak pakaian tersebut kerana bukan ‘identiti Malaysia’?

    Ada juga yang mengatakan bahawa mengajar khat/jawi di sekolah membawa perpecahan kaum. Ini adalah suatu kenyataan yang tidak benar kerana mana mungkin pembelajaran suatu sistem tulisan menjadi penyebab perpecahan dalam sesuatu negara. Jika ya, bagaimanakah penggunaan bahasa selain bahasa kebangsaan bukan suatu perkara yang membawa perpecahan? Sebagai contoh, orang Cina berbahasa Cina & menggunakan aksara Cina menyebabkan orang yang tidak memahami & mahir dalam bahasa/skrip tersebut, ‘ditinggalkan’. Begitu juga jika orang India bertutur dalam bahasa Tamil manakala orang lain yang tidak dapat bertutur dalam Tamil ‘dikecualikan’.

    Seperti konsep ‘ingroup-outgroup’, di sini berlakunya ‘perpecahan’ kerana bukan semua pihak ‘diterima’ & ada yang akan ‘dikecualikan’. Rakyat Malaysia sudah pasti pernah mengalami situasi ini, di mana ahli sesuatu kaum/kumpulan akan bertutur dalam bahasa mereka sendiri & orang lain akan ‘dikecualikan’ kerana tidak dapat bertutur dalam bahasa yang sama. Bukankah ini juga suatu perkara yang membawa kepada ‘perpecahan’? Namun, oleh kerana rakyat negara ini amat bertoleransi & memahami bahawa bahasa & aksara/huruf/sistem tulisan sesuatu kaum itu merupakan identiti kaum tersebut, semua kaum dibenarkan untuk menggunakannya tanpa sekatan.

    Jika kita lihat negara-negara lain, terdapat isu bagi pihak minoriti untuk menggunakan bahasa mereka sendiri malah ada yang dikenakan tindakan oleh kerajaan untuk menyekat penggunaan bahasa selain bahasa kebangsaan. Adakah negara ini perlu mengambil tindakan seperti itu untuk memastikan rakyatnya ‘bersatu’ & mahir dalam bahasa kebangsaan? ‘Mengharamkan’ penggunaan bahasa & sistem tulisan selain bahasa kebangsaan yang menyebabkan sesuatu kaum hanya fasih dalam bahasa ibunda masing-masing sementara bahasa kebangsaan ditinggalkan? Bagaimanakah rakyat sesuatu negara dapat bersatu jika setiap kaum hanya menggunakan bahasa ibunda sendiri tanpa adanya suatu bahasa yang ‘mengaitkan’ semua orang? Sudah pasti tidak, jadi semua pihak perlu bersyukur bahawa bahasa ibunda masing-masing dapat diguna pakai secara meluas tanpa sekatan di Malaysia.

    Realitinya, bagi negara yang mempromosikan dirinya sebagai negara ‘Truly Asia’ yang berbilang kaum & agama, menolak identiti sesuatu kaum adakah suatu kehilangan besar & juga suatu penipuan kepada dunia. Jika jawi tidak dipelihara, dan entah apa lagi pada masa hadapan, apakah budaya yang ada di Malaysia? Adakah masih ‘Truly Asia’ atau hanya ‘Truly Malay/China/India’ apabila hilangnya identiti sesuatu kaum yang menjadi tunjang negara. Dunia sekarang sudah menjurus kepada ‘mono-culture’ dari segi semuanya ‘menjadi’ sama, dari segi pakaian, makanan, pertuturan, dan sebagainya. Budaya sesuatu kaum semakin hilang apabila dikatakan ‘kuno’ & ‘tidak relevan’, lalu ditinggalkan. Akan sampai suatu masa di mana orang Melayu/Cina/India tidak akan lagi tahu adat & budaya mereka sendiri, sebaliknya lebih tahu akan budaya Barat atau kontemporari. Mahukah kita rakyat Malaysia sampai ke tahap ini?

    Saya rasa sedih bahawa isu polisi yang ‘remeh’ ini bertukar menjadi isu kaum/agama dengan orang membuka topeng mereka dengan melemparkan komen perkauman & anti-agama. Betapa lemahnya kita sebagai rakyat Malaysia apabila hubungan antara kaum, adab (seperti dalam pertuturan) & penggunaan akal fikiran & logik dalam membicarakan sesuatu isu telah hilang, sebaliknya, menggunakan perasaan yang akhirnya membawa kepada perbuatan/perilaku rasis. Lebih teruk lagi bagi saya, tiada pihak yang mengutuk perbuatan/perkataan perkauman ini & jika ada yang menyokong/membantah pengajaran jawi/khat di sekolah, menggunakan perasaan & bukan logik serta tidak dilakukan secara beradab/sivil. Di manakah pemimpin ‘Malaysia Baru’ yang mempromosikan keharmonian & toleransi antara kaum? Malangnya, pemimpin tersebut juga terlibat dalam isu ini.

    Walaupun isu ini amat menyakitkan & menyedihkan hati, terdapat juga hikmah di sebaliknya:
    1. Malaysia dapat melihat sendiri betapa lemahnya hubungan antara kaum & perilaku pemimpin yang memalukan (seperti mengeluarkan kenyataan kurang tepat yang bersifat perkauman/’anti-agama’ & seperti mengeruhkan lagi keadaan dan bukannya meredakan isu ini). Banyak lagi perkara yang perlu dilakukan untuk memperbaiki hubungan antara kaum di negara ini.

    2. Isu ini juga membuka mata bagi semua masyarakat/kaum untuk menjaga budaya & adat mereka sebelum hilang seperti penggunaan jawi yang kini hampir dilupakan serta pentingnya untuk mengenali budaya lain seperti jawi kepada identiti Melayu dan perbezaan di antara agama & kaum (seperti perbezaan dan penggunaan jawi & khat) serta makna sebenar ‘identiti Malaysia’.

    Diharapkan bahawa isu ini dapat diselesaikan dengan aman kerana isu yang remeh ini telah menjejaskan hubungan antara kaum & keharmonian negara, lebih-lebih lagi memberi peluang bagi mereka yang ‘rasis’ untuk bersuara. Jika tidak diselesaikan dengan cepat & dengan penuh cermat, tidak mustahil untuk masalah lebih besar berlaku. Perbezaan pendapat memang ada & patut diberi peluang untuk di suarakan, namun, cara menyuarakan pendapat itu juga penting. Jangan pula dalam kegopohan untuk bersuara, hilang segala adab & tatacara seperti yang sedang berlaku.

    Akhir kata, salam perpaduan kepada semua!

    Like

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s