oleh Sharan Raj

Pengumuman daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bahawa Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) sudah memulakan pelan tindakan bagi melaksanakan dasar penyatuan tanah sawah untuk diuruskan oleh pihak korporat, amat mengejutkan dan membimbangkan. PSM menggesa Salahuddin Ayub selaku Menteri Pertanian dan Industri Asas agar tidak mengambil jalan pintas untuk menyelesaikan masalah seperti di Eropah.

Pihak korporat lebih cenderung untuk melaksanakan pertanian moden seperti penggunaan benih organisma diubahsuai secara genetik (GMO) dan racun kimia yang berlebihan. Penggunaan kimia dan baja berlebihan khususnya “glyphosate” telah menjejaskan tanah pertanian di Eropah sehingga tanah terpaksa diabaikan. Pertanian moden akan mencemarkan kualiti air tawar dan merosakkan biodiversiti kawasan luar bandar.

Parti Sosialis Malaysia (PSM) menyokong insentif yang mampan untuk membasmi kemiskinan petani. Namun, dasar penyatuan tanah pertanian berpotensi memiskinkan petani dalam jangka masa panjang kerana pihak korporat hanya menyewa tanah untuk suatu jangka masa tertentu. Petani kita berpotensi hilang kemahiran dan ilmu untuk bertani jikalau tidak bertani untuk jangka masa panjang. Kehilangan kemahiran pertanian akan menyebabkan negara kita bergantung kepada pengimportan produk makanan pada masa akan datang.

Pihak korporat (termasuk GLC) akan membawa masuk tenaga pekerja asing dengan gaji rendah untuk kurangkan kos operasi. Kehadiran tenaga pekerja asing akan menyebabkan aliran mata wang negara yang menjejaskan ekonomi negara. Kerajaan akan dibebani dengan kos kebajikan dan pemulihan tanah selepas pihak korporat mengabaikan tanah.

PSM mencadangkan supaya tanah pertanian yang kini diusahakan oleh warga emas yang tidak berupaya lagi dimiliknegarakan dan kerajaan memberikan pencen bulanan kepada warga emas berkenaan. Tanah pertanian yang dimiliknegarakan perlu digazet sebagai rizab tetap pertanian. Tanah tersebut kemudian boleh diberikan kepada anak muda untuk bertani. Sekali gus, mengurangkan pengangguran anak muda luar bandar.

Sebagai petani yang bertani di tanah kerajaan, masa depan anak muda yang melibatkan diri dalam pertanian ini akan terjamin jika sebahagian hasil untung pertanian juga dicarumkan kepada akaun KWSP para petani, agar anak muda dapat bersara dengan selesa walaupun berkhidmat sebagai petani.  Ini mewujudkan satu kitaran di mana tenaga muda bekerja di sektor pertanian tanpa kos membeli tanah. Sebahagian tanah pertanian yang digunakan untuk komoditi perlu ditukarkan kepada pertanian.

PSM juga mencadangkan agar subsidi diberikan kepada petani secara terus dalam bentuk baucar agar petani dapat membeli benih dan baja pilihan. Pemberian subsidi kepada pihak kilang (kroni) mewujudkan sistem kartel serta menyekat kebebasan petani. Petani yang melaksanakan pertanian organik pula boleh diberikan sumbangan tunai kerana mereka tidak akan menggunakan baucar untuk membeli baja.

Demi menjamin kedaulatan makanan negara kita, PSM mengesyorkan agar kerajaan memiliknegarakan tanah pertanian negara serta mengiktiraf pekerjaan petani dan nelayan sebagai pekerja kerajaan yang bekerja dengan semangat khidmat nasional kerana dipertanggugngjawabkan untuk menjamin bekalan makanan rakyat Malaysia.

=========

Sharan Raj ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *