20190726 - petani3Berikutan penyerahan memorandum oleh 7 orang petani dari Tanah Hitam kepada Pejabat Menteri Besar Perak pada 25 Julai 2019, Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu berkata bahawa masalah berkenaan sudah lama diselesaikan kerajaan sebelum pengumuman pemberian tanah kepada pemain pasukan bola sepak negeri Perak (menurut laporan Sinar Harian Online – 28 Julai 2019).

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Dr. Jeyakumar Devaraj, Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM) pada 30 Julai 2019, PSM menolak dakwaan Menteri Besar Peraj bahawa isu yang melibatkan 7 orang petani kecil di kawasan Tanah Hitam itu adalah satu isu yang direka-reka dan dihebohkan oleh PSM untuk kepentingan politik.

Dr. Jeyakumar berkata, “Itu bukan cara kerja kami! Hakikatnya adalah sampai sekarang, ketujuh-tujuh orang petani yang terlibat masih belum mendapat sebarang tawaran daripada Kerajaan Negeri Perak berkaitan tanah gantian. Mereka telah pergi ke Pejabat Tanah Kinta pada 8 Julai 2019 dan meninggalkan nombor telefon mereka kepada pihak Penolong Pegawai Daerah untuk dihubungi, tetapi sampai sekarang masih tiada sebarang panggilan untuk bermesyuarat.”

“Pada 17 Julai 2019 pula, para petani yang berkenaan telah berjumpa dengan Muhamad Arafat Varisai Mahamad selaku ADUN Hulu Kinta, tetapi beliau hanya berkata bahawa beliau boleh membantu dalam menangguhkan pengusiran untuk tempoh dua bulan. Beliau tidak menyebut berkaitan tanah gantian yang disediakan untuk petani-petani kecil berkenaan!”

Dalam kenyataan Dr. Jeyakumar, beliau mengatakan bahawa PSM menerima baik kenyataan Menteri Besar Perak bahawa bahawa Kerajaan Negeri Perak sedang amalkan polisi di mana petani kecil akan diberi tanah gantian supaya mereka dapat meneruskan dengan aktiviti pertanian mereka. “Mengikut kenyataan Menteri Besar, jika tanah petani perlu diambil untuk pembangunan, mereka akan ditawar tanah alternatif yang sesuai untuk meneruskan pertanian di lokasi baru. Ini adalah satu polisi yang bijak kerana bukan sahaja memberi perlindungan kepada petani kecil, tetapi juga memelihara bekalan makanan untuk rakyat jelata, di samping merangsang pasaran tempatan dan berpotensi untuk membuka lebih peluang lagi kepada peniaga-peniaga di negeri Perak.”

“Mungkin maklumat tentang polisi baru Kerajaan Negeri Perak berkaitan petani kecil yang mengusahakan tanah kerajaan di Perak belum sampai lagi untuk pengetahuan pada peringkat Pejabat Tanah Kinta dan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Pakatan Harapan?” Dr. Jeyakumar bertanya.

Dr. Jeyakumar mengulas, “Ini bukannya satu masalah yang rumit. Ia mudah diperbetulkan. Apa yang boleh dilakukan oleh Kerajaan Negeri Perak adalah menjemput 7 orang petani yang terlibat untuk bermesyuarat dengan Pejabat Tanah supaya butiran berkaitan tanah yang ditawarkan kepada mereka dapat disampaikan secara langsung kepada mereka.  Namun, janganlah menawarkan tanah yang sedang diusahakan oleh petani kecil yang lain ataupun tanah yang dianggap oleh masyarakat Orang Asli sebagai tanah adat mereka. Kita harus mengelak daripada mewujudkan percanggahan di kalangan rakyat! Sementara itu, Kerajaan juga harus memastikan bahawa tanah yang ditawarkan adalah sesuai untuk pertanian.”

Dr. Jeyakumar menggesa Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu supaya betul-betul merealisasikan polisi Kerajaan yang memberi tanah gantian kepada petani yang diusir dan melaksanakan janji penyelesaian kepada masalah berkenaan dengan mengadakan mesyuarat dengan petani-petani yang terlibat.

One thought on “Mana tanah gantian untuk petani jika isu dah selesai?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *