20190726 - petani3.jpgIPOH, PERAK: Petani-petani kecil dari Tanah Hitam yang sedang bercucuk tanam di kawasan Ulu Chemor, Mukim Hulu Kinta, Perak, sedang menghadapi ancaman pengusiran daripada Kerajaan Negeri Perak. Mereka telah menyerahkan satu memorandum kepada Pejabat Menteri Besar Perak pada 25 Julai 2019 untuk memohon perjumpaan dengan Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu bagi membincangkan penyelesaian kepada masalah pengusiran yang dihadapi mereka.

Turut bersama dengan petani-petani kecil Tanah Hitam semasa penyerahan memorandum di Pejabat Menteri Besar Perak ialah Dr. Jeyakumar Devaraj, Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Seramai 7 orang petani kecil terjejas dengan ancaman pengusiran paksa terbaru ini. Mereka sedang bercucuk tanam di atas tanah yang terletak bersebelahan dengan Jalan Chemor-Kuang. Ada yang antara mereka merupakan cucu kepada petani yang sudah meneroka tanah tersebut untuk selama 40 hingga 50 tahun sebelum ini. Petani-petani ini mengusahakan tanah dengan keluasan 2 hingga 5 ekar masing-masing. Mereka mengeluarkan sayur-sayuran seperti terung, bendi, sawi, limau, sireh dan bayam. Aktiviti pertanian merupakan punca rezeki utama untuk petani-petani kecil ini.

Petani-petani kecil dari Tanah Hitam ini dikejutkan dengan notis pengosongan tanah daripada Pejabat Daerah dan Tanah Kinta bertarikh 5 Julai 2019. Notis tersebut mengarahkan petani-petani di situ mengosongkan tanah berkenaan dalam jangka masa 14 hari, dengan amaran bahawa petani-petani yang sedang mengusahakan tanah di situ akan dipenjarakan selama 5 tahun atau dikenakan denda sebanyak RM500,000 jika mereka tidak mematuhi arahan tersebut.

Para petani telah membawa masalah mereka kepada perhatian Muhamad Arafat Varisai Mahamad selaku ADUN kawasan Hulu Kinta. Muhamad Arafat telah menghubungi Pejabat Daerah dan Tanah Kinta, dan selepas itu memberitahu pada para petani bahawa tanah yang diusahakan mereka selama ini akan diagihkan kepada pasukan bola sepak skuad Perak kerana prestasi cemerlang mereka.

Dalam surat kepada Menteri Besar, para petani kecil dari Tanah Hitam mengatakan bahawa mereka menerima baik hasrat pihak Kerajaan Negeri menghadiahkan tanah kepada skuad bola sepak Negeri Perak atas prestasi cemerlang mereka, tetapi tertanya-tanya kenapa perlu merampas tanah yang menjadi punca rezeki petani untuk tujuan tersebut.

“Kami tidak memiliki tanah pertanian yang lain, Kami hanya mengusahakan tanah seluas 2 hingga 5 ekar ini untuk menampung kehidupan kami. Kami bukannya tauke yang kaya raya,” kata petani-petani kecil Tanah Hitam dalam memorandum mereka kepada Menteri Besar Perak.

Petani-petani kecil yang diancam pengusiran ini merayu pada Menteri Besar Perak supaya mengarahkan Pejabat Tanah untuk mencari tanah kerajaan yang lain bagi tujuan menghadiahkan kepada pemain-pemain bola sepak Negeri Perak atas prestasi cemerlang mereka. Kerajaan Negeri juga boleh menggunakan sebahagian daripada tanah yang telah dilupuskan kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Negeri Perak untuk tujuan tersebut.

Petani-petani kecil Tanah Hitam juga merayu pada Kerajaan Negeri Perak supaya memberikan geran sementara kepada mereka untuk membolehkan mereka meneruskan kegiatan pertanian tanpa kebimbangan diusir bila-bila masa di kawasan yang sedang diusahakan mereka sekarang ini.

Petani-petani kecil Tanah Hitam menyeru pada Kerajaan Negeri Perak supaya jangan mengusir mereka secara paksaan. Mereka telah memohon untuk berjumpa dengan pihak Kerajaan Negeri Perak bagi mengadakan proses rundingan dengan tujuan menyelesaikan masalah ini secara baik.

Sementara itu, petani-petani kecil Tanah Hitam turut merayu pada Pasukan Bola Sepak Perak supaya memahami masalah pengusiran paksa yang sedang dihadapi mereka dan membantu dalam mengentikan pengusiran ini.

3 thoughts on “Kenapa perlu rampas tanah dari petani kecil untuk dihadiahkan kepada pasukan bola sepak?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *