20190625 - litrak-toll-630x341.jpgRancangan pengambilalihan 4 syarikat konsesi lebuhraya bertol oleh kerajaan yang diumumkan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng baru-baru ini telah menimbulkan persoalan sama ada tindakan itu lebih kepada menyelamatkan keuntungan syarikat Gamuda Berhad.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 24 Jun 2019 oleh Sharan Raj selaku Penyelaras Biro Alam Sekitar Parti Sosialis Malaysia (PSM), PSM menggesa pada Kerajaan Pakatan Harapan supaya membentangkan dalam parlimen dan mengkaji secara teliti cadangan pengambilalihan lebuhraya tersebut sebelum pelaksanaannya.

“Pengambilalihan tol yang dicadangkan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng lebih kepada menyelamatkan keuntungan Gamuda untuk membiayai projek penambakan laut di Pulau Pinang, bukannya untuk membantu rakyat,” begitu kata Sharan Raj dalam kenyataannya. Gamuda memegang 60% saham SRS Consortium Sdn Bhd, iaitu syarikat yang akan menjalankan projek penambakan laut bernilai RM27 bilion di Selatan Pulau Pinang. Gamuda sedang berusaha untuk mendapatkan pembiayaan wang untuk pelaksanaan projek penambakan laut di Selatan Pulau Pinang.

Kementerian Kewangan telah memberikan tawaran pada 21 Jun 2019 untuk membeli saham kepunyaan Gamuda Berhad dalam 4 buah syarikat konsesi lebuhraya pada harga “enterprise value”. 4 lebuhraya yang terbabit ialah Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Terowong SMART. Menteri Kewangan melalui sebuah anak syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) akan menerbitkan bon sebanyak RM6.2 bilion untuk mengambilalih saham Gamuda Berhad di keempat-empat syarikat konsesi berkenaan. Tol tidak akan dimansuhkan dengan pengambilalihan ini kerana kutipan tol akan digunakan untuk membayar hutang yang timbul daripada pembelian saham Gamuda itu.

“Kementerian Kewangan nampaknya tiada masalah meningkatkan hutang negara kita untuk menyelamatkan Gamuda,” kata Sharan Raj.

“Kementerian Kewangan menawarkan untuk membeli pegangan LITRAK (syarikat konsesi untuk LDP) dengan harga RM5.26 per saham, tetapi nilai saham LITRAK di pasaran saham hanya RM4.21 per saham pada hujung minggu lalu. Premium 25% ke atas saham LITRAK adalah terlalu mahal untuk aset yang sedang mengalami kerugian. Pengambilalihan Lafarge oleh YTL Cement baru-baru ini untuk monopoli industri simen hanya dilakukan pada kadar premium 19%. Dari perspektif perniagaan, tiada sebabnya untuk Kementerian Kewangan memberikan premium 25% kepada satu infrastruktur yang diswastakan yang mengalami kerugian,” ulas Sharan Raj.

“Trafik yang boleh dikenakan tol untuk lebuhraya milik Gamuda telah berkurangan walaupun jumlah penduduk di negeri Selangor sedang meningkat. Pembukaan laluan sambungan LRT dan MRT1 telah mengurangkan trafik yang boleh dikenakan tol untuk lebuhraya di Lembah Klang. Pelaksanaan My100 dan My50 telah meningkatkan penggunaan pengangkutan awam sebanyak 14% dalam tempoh masa kurang daripada 3 bulan. Pembukaan MRT2 sudah pasti akan menjejaskan lagi lebuhraya milik Gamuda. Penangguhan penyiapan LRT3 (Bandar Utama-Klang) dari tahun 2021 ke 2024 bertepatan masa dengan tamat tempoh konsesi untuk Lebuhraya KESAS. SPRINT telah mengalami kerugian untuk 3 tahun berturut-turut. Di bawah perjanjian konsesi, LDP tidak boleh menaikkan tol sehingga tahun 2030 selepas kenaikan tol pada 1 Januari 2016. Jelasnya sekali, SPRINT dan LDP telah menjadi ‘aset tertekan’ bagi Gamuda,” tambah Sharan Raj.

“Lim Guan Eng telah menyalahgunakan posisinya sebagai Menteri Kewangan untuk menyelamatkan Gamuda dengan membayar jumlah yang sangat tinggi untuk membeli balik infrastruktur yang diswastakan tetapi mengalami kerugian,” tegas Sharan Raj.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *