oleh S. Arutchelvan

Saya berasa agak kelakar apabila Najib mengatakan dalam mesyuarat agung tahunan UMNO Gombak bahawa UMNO dulu kalahkan Komunis, takkan hari ini takut lawan Pakatan Harapan (PH).

Saya harus memperbetulkan Najib dari segi fakta bahawa Parti Komunis Malaya (PKM) tidak pernah dikalahkan oleh UMNO, malah satu perjanjian perdamaian bersama telah ditandatangani untuk menamatkan peperangan pada tahun 1989. Nama perjanjian itu ialah Perjanjian Damai Hatyai yang ditandatangani antara PKM dengan Kerajaan Malaysia pada 2 Disember 1989. Ketua Rombongan Malaysia pada masa itu adalah Datuk Wan Sidek Wan Abdul Rahman selaku Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Mohd Hanif Omar selaku Ketua Polis Negara  dan Jeneral Hashim Mohd Ali selaku Ketua Turus Angkatan Tentera Malaysia. Perdana Menteri pada masa itu, tidak lain dari Perdana Menteri pada masa kini, iaitu Tun Mahathir dan parti pemerintah yang membuat perjanjian dengan PKM pada masa itu adalah Barisan Nasional yang diketuai oleh UMNO. Antara ahli kabinet tahun 1989 ialah Najib Razak yang pada masa itu selaku Menteri Belia dan Sukan.

20190701 - pkm1
Penandatanganan Perjanjian Perdamaian Hatyai pada tahun 1989.

Ramai sejarawan dan pemimpin parti UMNO sendiri yang telah mengakui peranan PKM dan parti kiri radikal di Malaya dalam mempercepatkan proses kemerdekaan daripada British. Malah, Rahim Noor selaku perunding utama Kerajaan Malaysia secara terbuka semasa Perjanjian Hatyai mengakui sumbangan PKM dalam perjuangan kemerdekaan. Pemimpim Parti komunis Malaya seperti Abdullah CD, Rashid Maidin dan Suriani Abdullah pernah dijadikan tetamu oleh Sultan Perak, di samping menunaikan ibadah haji di Mekah atas kelolaan Kerajaan Malaysia.

Jika PKM dikalahkan UMNO seperti yang didakwa Najib, maksudnya PKM mengangkat bendera putih dan mereka semua menjadi tahanan perang, tetapi ini tidak berlaku. Antara pemimpin UMNO yang amat rapat dengan PKM ialah bekas Timbalan Presiden UMNO dan juga Timbalan Perdana Menteri, Tun Ghaffar Baba sendiri. Gambar beliau masih digantung di Muzium Rejimen ke-10, di Kampung Perdamaian di Sukhirin, Thailand.

Mengenai sejarah penentangan terhadap penjajah British pula, perjuangan ini telah dilakukan dengan beraninya oleh gabungan parti kiri radikal seperti PUTERA-AMCJA. Parti-parti kiri radikal pada masa itu adalah Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS), Gerakan Angkatan Muda (GERAM), Barisan Tani SeMalaya (BATAS), Hizbul Muslimin, PETA dan sebagainya. Ramai antara pejuang-pejuang ini dibunuh, dipenjarakan atau dibuang negeri. Banyak organisasi dan kesatuan sekerja radikal dibubarkan. Sepanjang masa Darurat itu, hanya satu parti politik yang dibenarkan beroperasi dan tidak dibubarkan, dan parti itu ialah UMNO yang kemudiannya ianya diberikan kemerdekaan oleh penjajah. UMNO diberikan kemerdekaan oleh British kerana mereka tidak menuntut kemerdekaan 100% seperti gabungan parti kiri. Malah, semasa Tanah Melayu mendapat kemerdekaan pada tahun 1957, jawatan Ketua Polis Negara dan Panglima Tentera kita masih dipegang oleh orang putih.

Oleh itu, mengatakan UMNO kalahkan Komunis adalah tidak tepat. Mengatakan UMNO memainkan peranan utama dalam melawan British juga tidak tepat sekali. UMNO memang harus diberi kredit kerana melawan Malayan Union. Namun, slogan MERDEKA pertama kalinya diperkenalkan oleh PKMM dan parti pertama dibubarkan oleh British semasa Darurat 1948 bukannya PKM tetapi adalah API di mana anggotanya rata-rata adalah orang Melayu.

Jadi, sejarah harus ditulis semula dan perjuangan kemerdekaan bukan monopoli UMNO seratus peratus.

==========

S. Arutchelvan ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *