20190623imagen-activa_p-696x392.jpg

“Kita perlukan golonggan kiri yang menyedari bahawa menjadi radikal bukannya terdiri daripada membangkitkan slogan yang paling militan atau melakukan aksi yang paling ekstrim – dengan hanya beberapa orang sahaja bersetuju, dan menakutkan majoriti – tetapi sebaliknya berkeupayaan dalam mewujudkan ruang untuk sektor-sektor yang seluas mungkin bagi bertemu dan bergabung tenaga dalam perjuangan. Kesedaran bahawa jumlah kita yang ramai dalam perjuangan yang sama itulah yang menjadikan kita kuat; inilah yang meradikalisasikan kita. Kita perlukan golongan kiri yang memahami bahawa kita perlu mendapatkan hegemoni, iaitu kita perlu menyakinkan bukannya memaksa (orang lain terima idea kita). Kita perlukan golongan kiri yang memahami bahawa, lebih penting daripada apa yang kita lakukan pada masa yang lampau, adalah apa kita akan lakukan secara bersama pada masa depan kita untuk memenangi kedaulatan kita – membina sebuah masyarakat yang menjadikan pembangunan sepenuhnya untuk semua manusia itu berkemungkinan: masyarakat sosialis untuk abad ke-21.” – Marta Harnecker

Marta Harnecker, seorang penulis, aktivis, ahli sains politik, pendidik dan intelek berhaluan kiri, telah meninggal dunia pada 15 Jun 2019, dengan usia 82 tahun.

Marta Harnecker telah mengabadikan seumur hidupnya kepada perjuangan rakyat bawahan untuk membina alternatif sosialis yang bersifat pembebasan. Beliau telah memberi sumbangan yang amat bernilai dalam membangunkan teori-teori yang berkaitan dengan revolusi sosialis dalam konteks Amerika Latin yang lebih luas. Beliau juga telah terlibat dalam usaha membina demokrasi radikal di Amerika Latin untuk membebaskan rakyat daripada belenggu kemiskinan dan membolehkan masyarakat bawahan menguasasi nasib kehidupan mereka.

Harnecker lahir di Chile pada tahun 1937. Beliau mula terlibat dalam aktivisme pada awal tahun 1960-an sebagai aktivis pelajar Katolik sebelum belajar di Perancis. Semasa di Perancis, Harnecker merupakan salah seorang pelajar kepada Louis Althusser, seorang tokoh falsafah Marxis yang terkenal pada masa itu. Harnecker kemudiannya pulang ke negara asalnya Chile pada tahun 1968 sebagai seorang Marxis yang berkomited dan mendedikasikan dirinya untuk mempopularkan idea-idea Marxis yang radikal. Harnecker telah menyertai Parti Sosialis Chile dan menyokong kerajaan sosialis pimpinan Salvador Allende yang berkuasa pada tahun 1970-73.

Selepas kerajaan Allende digulingkan dalam kudeta tentera yang diketuai oleh Jeneral Agusto Pinochet pada tahun 1973, Harnecker terpaksa melarikan diri ke negara Kuba. Marta Harnecker berkahwin dengan suami pertamanya Manuel Piñeiro, seorang pemimpin Revolusi Kuba yang digelar sebagai“Comandante Barbarroja” (Komandan Janggut Merah). Piñeiro meninggal dunia pada tahun 1998 dalam satu kemalangan jalanraya.

Marta Harnecker telah menghabiskan kebanyakan masanya dalam dua dekad selepas beliau berpindah ke Kuba untuk mengumpulkan wawancara bersama tokoh-tokoh penting daripada golongan kiri Amerika Latin, sebagai usahanya untuk belajar daripada orang lain dan menyebarkan pengajaran ini seluas mungkin. Harnecker menggariskan pengajaran daripada kekalahan perjuangan, kekuatan dan kelemahan dalam taktik dan strategi yang berbeza, cabaran untuk perpaduan kiri, bagaimana kuasa-kuasa revolusioner dapat bermula membina semula diri mereka dan menghimpunkan kuasa-kuasa yang diperlukan untuk menukar idea kepada realiti.

Marta Harnecker menubuhkan Memoria Popular Latinoamerica (MEPLA), sebuah institut penyelidikan yang beribupejabat di Kuba, untuk mengkaji dan menyebarkan pengalaman kehidupan sebenar komuniti yang berusaha membina sebuah dunia yang lebih baik. Pengajaran yang diekstrak daripada wawancaranya dan pengalaman perjuangan di Amerika Latin, bersama dengan pandangannya tentang isu-isu penting seperti globalisasi dan kejatuhan Kesatuan Soviet, membentuk asas teori kepada tulisannya “Kiri di Ambang Abad ke-21: Menjadikan Yang Tidak Berkemungkinan itu Berkemungkinan” yang diterbitkan pada tahun 1999, iaitu ketika Hugo Chávez baru dipilih menjadi Presiden Venezuela. Kebangkitan Chávez dan Revolusi Bolivar yang dimulakannya di Venezuela, mencetuskan gelombang kebangkitan kerajaan progresif di rantau Amerika Latin pada awal tahun 2000-an.

Sepanjang dua dekad selepas bermulanya Revolusi Bolivar, Marta Harnecker telah menumpukan perhatiannya dalam mengkaji pengalaman baru ini, mempertahankan usaha revolusi ini dengan tegasnya sementara tidak pernah was-was dalam menyuarakan kritikannya terhadap proses revolusioner ini.

Chávez telah membenarkan Marta Harnecker menemubualnya pada tahun 2002 selepas membaca buku “Kiri di Ambang Abad ke-21”. Harnecker telah menemubual Chávez selama 15 jam, temubual yang paling panjang diterima oleh Chávez sejak beliau dipilih menjadi Presiden Venezuela. Harnecker telah menanya soalan yang tajam dan mencabar kepada Chávez, menyebabkan Chavez kemudiannya meminta Harnecker untuk bekerja dengannya. Harnecker berpindah ke Venezuela bersama suami keduanya Michael Lebowitz yang juga merupakan seorang tokoh intelek kiri yang mendedikasikan hidupnya kepada usaha memperkayakan idea-idea Marxis. Harnecker telah membantu dan terus mencabar Chávez jika perlu dalam usaha membina Sosialisme Abad ke-21.

Harnecker dan Lebowitz telah membantu dalam menganjurkan perhimpunan solidariti antarabangsa di Caracas pada tahun 2004 dan 2005. Mereka juga memainkan peranan penting dalam menubuhkan Pusat Antarabangsa Miranda (CIM) pada tahun 2006, sebagai ruang untuk golongan intelek Venezuela dan antarabangsa menyumbangkan idea-idea mereka kepada proses membina Sosialisme Abad ke-21. Harnecker juga menganjurkan panel diskusi yang menghimpunkan tokoh-tokoh kiri baru yang penting di Brazil, Bolivia, Paraguay dan Ecuador, untuk menggalakkan perbincangan dan perdebatan di kalangan komrad yang mempunyai hasrat membina alternatif sosialis, di samping menjalin hubungan antara jaringan intelek kiri.

Harnecker telah menghabiskan banyak masanya untuk menjelajah ke seluruh Venezuela supaya mendengar dan berdiskusi dengan aktivis tempatan, di samping mengketengahkan pelbagai pengalaman dalam penglibatan popular di peringkat komuniti. Harnecker menganggap eksperimen komuniti di peringkat akar umbi dalam proses Revolusi Bolivar itu bukan sahaja embrio kepada kerajaan ditadbir secara sendiri di peringkat tempatan, tetapi sekolah harian yang dapat memupuk subjek yang diperlukan untuk menggerakkan proses revolusi. Usaha Harnecker yang memainkan peranan penting dalam membawa kepada perhatian kerajaan Venezuela tentang pelbagai pengalaman dalam membina majlis komunal, telah mendorong Chávez untuk menerima majlis komunal sebagai sesuatu yang utama dalam projek pembebasannya untuk Sosialisme Abad ke-21. Chávez telah menjemput Harnecker untuk menjadi penasihat kepada Kementerian Penglibatan Popular yang ditubuhkan pada tahun 2005. Harnecker pernah mengkiritik secara terbuka terhadap beberapa amalan negatif kerajaan yang mengancam proses Revolusi Bolivar, malah tindakannya tidak disukai oleh sesetengah orang dalam kerajaan Venezuela, tetapi ini tidak mengurangkan kepercayaan Chávez terhadapnya.

Marta Harnecker telah menulis hampir 90 buah buku yang merangkumi topik meluas tentang perdebatan di kalangan golongan kiri. Antara buku yang terkenalnya termasuk:

Tulisan Marta Harnecker merupakan sumber ilmu yang tidak ternilai untuk aktivis kiri yang ingin memperjuangkan alternatif sosialis yang bersifat pembebasan.

20190623 - marta-harnecker.jpg

Marta Harnecker ialah seorang yang sentiasa mahu mendengar dan belajar daripada orang lain, seorang yang percaya bahawa setiap orang adanya sesuatu untuk disumbangkan, seorang yang sentiasa dapat menyampaikan sesuatu yang menggalakkan, dan seorang yang mempunyai kepercayaan kukuh serta mendalam terhadap kemanusiaan.

Walaupun Marta Harnecker sudah meninggalkan kita, tetapi warisan inteleknya yang merangkumi himpunan idea-idea dan pengalaman ekperimen rakyat yang menakjubkan sudah pasti akan kekal bersama kita, dan terus menjadi inspirasi kepada kita untuk membina sebuah dunia yang lebih baik berlandaskan nilai-nilai kemanusiaan dan semangat pembebasan.

“Untuk aksi politik menjadi efektif, sehingga protes, perlawanan dan perjuangan benar-benar dapat mengubah perkara-perkara, mengubah kebangkitaan massa kepada revolusi, sebuah instrumen politik yang mampu mengatasi penyelerakan dan perpecahan di kalangan golongan yang dieksploitasi dan yang ditindas itu diperlukan: sesuatu yang boleh mewujudkan ruang untuk menghimpunkan mereka, walaupun perbezaan mereka, yang mempunyai musuh secara bersama; yang mampu memperkuatkan perjuangan sedia ada dan menggalakkan orang lain dengan mengorientasikan tindakan mereka berdasarkan analisis menyeluruh tentang situasi politik; yang boleh bertindak sebagai satu instrument untuk menggabungkan ekspresi perlawanan dan perjuangan yang begitu banyak itu.” – Marta Harnecker

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s