20190619-64433608_10157752646802448_1132523613996449792_n.jpgKerajaan Hong Kong tergesa-gesa untuk meluluskan satu rang undang-undang yang akan menyekat kebebasan sivil, tetapi tindakan tersebut telah mencetuskan gelombang protes yang paling besar dalam sejarah bandaraya yang menjadi pusat kewangan antarabangsa ini.

Pada 16 Jun 2019, lebih kurang 2 juta orang membanjiri jalanraya di pusat bandaraya Hong Kong, untuk memprotes terhadap rang undang-undang ekstradisi yang cuba diperkenalkan oleh Ketua Eksekutif Hong Kong Carrie Lam Cheng Yuet-gor.

Seminggu sebelum itu, pada 9 Jun 2019, sudah ada lebih 1 juta orang berdemonstrasi membantah rang undang-undang ekstradisi ke China, tetapi Kerajaan Hong Kong telah berdegil untuk meneruskan bacaan kedua rang undang-undang ekstradisi dalam Dewan Perundangan, maka mencetuskan kebangkitan rakyat yang lebih hebat. Pada 12 Jun 2019, puluhan ribu rakyat Hong Kong berdemonstrasi dan menduduki jalanraya di sekeliling kompleks bangunan kerajaan di Admiralty, tetapi telah disambut oleh keganasan polis yang melampau. Polis Hong Kong telah menembak gas pemedih mata dan peluru getah terhadap demonstran sehingga mencederakan ramai orang. Kerajaan Hong Kong menyifatkan demonstrasi pada 12 Jun 2019 sebagai “rusuhan”, tetapi telah dikecam hebat oleh rakyat.

Penindasan polis terhadap demonstran mencetuskan lagi kemarahan yang lebih hebat. Pada 15 Jun 2019, seorang lelaki membunuh diri dengan jatuh dari sebuah bangunan tinggi selepas menggantungkan sepanduk yang tertulis “Tarik balik sepenuhnya rang undang-undang ekstradisi China. Kami bukan merusuh. Bebaskan pelajar dan yang cedera. Undur Carrie Lam. Tolong Hong Kong.”

Demonstrasi pada 16 Jun 2019 ialah aksi perarakan yang keempat anjuran Fron Hak Asasi Manusia Sivil (CHRF). Jumlah demonstran yang mengambil bahagian dalam aksi berprotes bertambah secara mendadak dalam tiga bulan yang lalu (31 Mac 2019 – 12,000 orang, 28 April 2019 – 130,000 orang, 9 Jun 2019 – 1,030,000 orang, dan 16 Jun 2019 – 2,000,000 orang).

Atas tekanan yang hebat daripada gelombang protes yang hebat terbaru ini, Ketua Eksekutif Hong Kong Carrie Lam mengatakan bahawa Kerajaan Hong Kong akan menggantung proses pindaan undang-undang ekstradisi. Carrie Lam juga memohon maaf kepada rakyat Hong Kong atas “kekurangannya” dalam menangani isu berkaitan dengan pindaan rang undang-undang ekstradisi. Namun, rakyat Hong Kong tidak berpuas hati dengan reaksi Kerajaan Hong Kong ini.

Bayangkanlah, satu perempat daripada penduduk dalam sebuah bandar turun berdemonstrasi di jalanraya, sudah pastinya akan tercetus revolusi ataupun ketua kerajaan di tempat itu akan dijatuhkan, bukan? Walaupun Kerajaan Hong Kong menangguhkan pindaan rang undang-undang ekstradisi dengan hasrat meredakan kemarahan rakyat, tetapi ini bukan bermaksud penarikan balik sepenuhnya pindaan rang undang-undang tersebut. Ketua Eksekutif Carrie Lam juga tidak memberikan janji bahawa Kerajaan Hong Kong tidak akan mendakwa mereka yang ditangkap kerana berprotes, menarik balik tuduhan “rusuhan” terhadap demontrasi pada 12 Jun 2019, menghukum polis yang menembak demonstran dan juga meletak jawatan. Seruan untuk Carrie Lam berundur dari jawatannya semakin kuat.

20190619 - 1200px-190616_HK_Protest_Incendo_03.jpg

Ruang kebebasan yang semakin mengecut timbulkan kebimbangan

Gelombang protes yang hebat di Hong Kong baru-baru ini, mencerminkan kebimbangan rakyat Hong Kong terhadap ruang kebebasan di bandaraya tersebut yang semakin tersekat akibat daripada perluasan campurtangan pemerintah Beijing dalam urusan politik Hong Kong.

Selepas “Gerakan Payung” yang melibatkan pendudukan jalanan di Admiralty, Mongkok dan Causeway Bay untuk lebih 2 bulan pada tahun 2014, ruang kebebasan semakin mengecut. Ramai aktivis politik telah didakwa dengan pelbagai tuduhan secara selektif dan dipenjarakan. Adanya ahli dewan perundangan yang dipilih dalam pilihanraya dibatalkan kelayakannya atas sebab politik.

Rancangan Kerajaan Hong Kong untuk meminda Undang-undang Ekstradisi yang membolehkan penghantaran balik suspek jenayah ke Tanah Besar China telah mengundang kebimbangan ramai tentang ancaman kehilangan autonomi Hong Kong yang dinikmati sejak “pemulangan” Hong Kong kepada China pada tahun 1997.

Ramai orang tiada keyakinan terhadap proses undang-undang di Tanah Besar China, di mana sering berlakunya pensabitan yang bermotivasikan politik. Sekiranya Undang-undang Ekstradisi dipinda mengikut rancangan Kerajaan Hong Kong yang cuba mengambil hati pemerintah Beijing, mereka yang mengkritik Parti Komunis China, mereka yang menganjurkan perhimpunan memperingati Peristiwa 4 Jun setiap tahun di Hong Kong, mereka yang pernah membantu pengkritik kerajaan dari Tanah Besar, atau aktivis Hong Kong yang menyokong organisasi buruh di Tanah Besar China, boleh dianggap sebagai “ancaman kepada keselamatan negara” dan boleh dihantar ke Tanah Besar China untuk diadili oleh sistem kehakiman yang penuh dengan kepincangan. Ramai warga Hong Kong turut bimbang bahawa Hong Kong akan menjadi seperti bandar lain di Tanah Besar China, di mana kebebasan rakyat sentiasa diancam.

20190619-64358589_10157754250812448_2029201721841942528_n.jpg

Campurtangan kuasa imperialis barat?

Terdapat tuduhan bahawa kuasa-kuasa luar memainkan peranan dalam menghasut dan menjadi dalang di sebalik protes rakyat di Hong Kong, sama ada semasa kebangkitan rakyat dalam Gerakan Payung 2014 ataupun gelombang protes baru-baru ini. Pemerintah Beijing dan Kerajaan Hong Kong telah menuduh bahawa protes jalanan ditaja oleh imperialis Amerika Syarikat melalui badan seperti Yayasan Nasional untuk Demokrasi (NED). Memang terdapat banyak parti politik dalam kem Pan-Demokrat di Hong Kong menerima tajaan dana daripada badan luar seperti NED. Namun, pengaruh pemimpin Pan-Demokrat di Hong Kong yang rapat dengan kuasa barat semakin merosot dalam tahun-tahun kebelakangan ini.

Kem Pan-Demokrat bukannya penganjur aksi protes besar-besaran terbaru ini. Malah, kem Pan-Demokrat sudah tiada lagi kemampuan untuk menganjurkan protes besar-besaran. Fron Hak Asasi Manusia Sivil (CHRF) yang menganjurkan aksi perarakan secara aman pada 9 Jun dan 16 Jun 2019, merupakan gabungan yang terdiri daripada lebih 50 buah organisasi yang kebanyakannya pertubuhan masyarakat sivil dan kesatuan sekerja. Parti-parti Pan-Demokrat yang utama walaupun juga menyertai CHRF, tetapi hanya merupakan minoriti dan tidak memainkan peranan yang menyerlah.

Lebih-lebih lagi, gelombang protes semasa Gerakan Payung dan aksi membantah undang-undang ekstradisi baru-baru ini, disertai oleh ramai anak muda yang menolak organisasi politik tradisional. Kebangkitan gelombang anak muda ini adalah secara spontan, dan tiadanya pemimpin yang jelas. Walaupun CHRF merupakan penganjur aksi protes jalanan besar-besaran baru-baru ini, tetapi ia tidak mempunyai kawalan terhadap orang ramai yang datang menyertai aksi. Kecuali segelintir kecil golongan muda yang terpengaruh dengan fahaman politik sempit yang cuba memperjuangkan kemerdekaan Hong Kong, kebanyakan orang yang menyertai aksi protes telah menunjukkan displin diri yang tinggi dan hanya mahu menyuarakan tuntutan mereka secara aman.

Kegagalan Kerajaan Hong Kong dalam mendengar tuntutan rakyat dan kedegilan untuk membawa agenda pemerintah Beijing yang menghakis autonomi Hong Kong, memaksa rakyat Hong Kong turun ke jalanan untuk berprotes dan mempamerkan kuasa rakyat yang hebat. Gelombang protes yang hebat terbaru ini merupakan kebangkitan rakyat secara spontan kerana ketidakpuasan hati ramai terhadap golongan berkuasa.

Sekiranya Kerajaan Hong Kong masih gagal menangani kegusaran rakyat Hong Kong, sudah pasti akan berlakunya lebih banyak aksi protes, malah ada yang akan mengambil tindakan yang lebih drastik.

“Kami akan kembali” menjadi kenyataan

Pada tahun 2014, keinginan rakyat Hong Kong untuk mendapatkan pilihanraya demokratik sebenar untuk Ketua Eksekutif telah mencetuskan “Gerakan Payung” dengan puluhan ribu orang menduduki jalanan di Admiralty, Causeway Bay dan Mongkok untuk berminggu-minggu lamanya. Gerakan Payung berakhir dengan semua demonstran diusir keluar dari jalanan yang diduduki mereka. Pada hari terakhir pendudukan jalanan sebelum diusir keluar oleh polis, satu sepanduk besar yang tertulis “Kami akan kembali” (We will be back) telah digantung di kawasan protes.

20190619 - Lim-Occupy-Hong-Kong.jpg
Protes Gerakan Payung pada tahun 2014, pendudukan di Admiralty, Hong Kong

Semangat masyarakat sivil dan gerakan protes telah dilemahkan dengan hebatnya selepas Gerakan Payung, kerana gerakan tersebut dianggap gagal setelah tiada satu pun tuntutan direalisasikan. Tambahan lagi, penindasan secara berterusan terhadap aktivis politik turut mewujudkan suasana yang murung di kalangan masyarakat sivil Hong Kong. Golongan kanan yang membawa fahaman xenofobia dan anti-China telah mendapat tempat membiak dalam keadaan masyarakat sivil yang lemah semangat.

Tiada orang boleh menjangkakan bahawa bantahan terhadap undang-undang ekstradisi baru-baru ini boleh berkembang menjadi gerakan massa yang begitu hebat. “Kami akan kembali” menjadi kenyataan. Ketidakpuasan hati selepas kegagalan Gerakan Payung yang terpendam hampir 5 tahun telah meletus, dan kali ini disambut dengan generasi anak muda baru yang tidak pernah terlibat dalam aksi massa sebelum ini.

20190619-64206052_10157752792327448_2326225321977708544_n.jpg

Autonomi Hong Kong penting untuk China

Ruang kebebasan demokratik adalah penting untuk menyusun gerakan sosial yang memperjuangkan keadilan sosial. Dalam masyarakat yang semakin dibelenggu dengan ketidakadilan akibat daripada jurang kekayaan yang semakin melebar, pengecutan ruang demokrasi akan menghalang usaha masyarakat sivil untuk memperjuangkan keadilan sosial dan pengagihan kekayaan yang lebih samarata.

Selain itu, Kebebasan sivil di Hong Kong membolehkan masyarakat sivil di Hong Kong menjalin hubungan erat dengan gerakan sosial di Tanah Besar China. Hong Kong telah menjadi satu tempat yang unik untuk pertukaran intelek antara aktivis Hong Kong dengan China, dan menganjurkan solidariti dengan perjuangan sosial di Tanah Besar China.

Sehingga hari ini, Hong Kong merupakan satu-satunya bandaraya di China yang boleh mengadakan aksi memperingati Peristiwa 4 Jun setiap tahun ketika pemerintah Beijing berusaha kuat untuk rakyat China melupakan kejahatannya ini. Perluasan pengaruh kuasa pemerintah Beijing terhadap Hong Kong sedang menghakis autonomi Hong Kong yang unik ini.

Sekiranya Hong Kong kehilangan autonominya yang unik ini, maka gerakan sosial di China turut akan mengalami keadaan yang lebih teruk lagi. Inilah sebabnya perjuangan rakyat Hong Kong untuk mempertahankan kebebasan sivil dan autonomi bandaraya tersebut adalah penting bukannya untuk rakyat Hong Kong sahaja, tetapi berkait rapat dengan nasib rakyat China secara keseluruhannya.

20190619 - 64274592_2305909482789763_688975177333080064_n.jpg

PSM menyatakan solidariti kepada perjuangan rakyat Hong Kong bersama dengan organisasi antarabangsa

Parti Sosialis Malaysia (PSM) telah mengambil inisiatif untuk mengeluarkan satu kenyataan bersama antarabangsa pada 14 Jun 2019, bagi menyatakan solidariti kepada perjuangan rakyat Hong Kong.

Organisasi-organisasi yang menyokong kenyataan bersama tersebut telah mengecam tindakan ganas polis dalam menyuraikan dan menangkap demonstran pada 12 Jun 2019. Kenyataan bersama tersebut menggesa Kerajaan Hong Kong supaya:

  • Menarik balik rang undang-undang ekstradisi ke China;
  • Menghentikan keganasan terhadap demonstran yang berprotes secara aman;
  • Menghentikan penindasan dan penganiayaan terhadap aktivis politik di Hong Kong.

“Kami berdiri bersama rakyat Hong Kong dan menyatakan solidariti kami dengan perjuangan mereka untuk mempertahankan kebebasan politik dan autonomi mereka,” begitu seruan dalam kenyataan bersama tersebut.

Kenyataan bersama antarabangsa ini telah disokong oleh 49 buah organisasi, antaranya League of Social Democrats (Hong Kong), Borderless Movement (Hong Kong), Socialist Alliance (Australia), Socialist Alternative (Australia), Parti Komunis India (Marxis-Leninis) Pembebasan, Australia Asia Workers Link, Forum Arbeitswelten (Jerman), Konfederasi Serikat Nasional (Indonesia), Konfederasi Pergerakan Rakyat Indonesia, Konfederasi Persatuan Buruh Indonesia, Jala PRT (Indonesia), RUMPUN (Indonesia), Korea House for International Solidarity, Partido Lakas ng Masa (Filipina), Cambodian Alliance of Trade Unions, Europe solidaire sans frontières (Perancis), Socialist Resistance (UK), Action for Democracy in Thailand, North South Initiative (Malaysia), Persatuan Sahabat Wanita Selangor (Malaysia) dan Persatuan Agora (Malaysia).

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s