20190620 - Yemen_UNHCR__Arhab_2016.jpg20 Jun setiap tahun ialah Hari Pelarian Sedunia. Hari ini didedikasikan untuk meningkatkan kesedaran umum tentang keadaan dan cabaran yang dihadapi oleh pelarian di seluruh dunia.

Pada 4 Disember 2000, Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) meluluskan Resolusi 55/76, yang memutuskan bahawa 20 Jun setiap tahun mulai 2001 akan disambut sebagai Hari Pelarian Sedunia, bersempena dengan ulangtahun ke-50 penandatanganan Konvensyen Berkaitan dengan Status Pelarian 1951.

Pelarian itu siapa?

Setiap tahun, berjuta-juta orang terpaksa melarikan diri mereka dari kampung halaman mereka untuk menyelamatkan diri daripada peperangan, keganasan, penganiayaan ataupun bencana alam. Mereka yang meninggalkan negara asal untuk melarikan diri daripada ancaman yang boleh meragut nyawa mereka ini dipanggil pelarian.

Menurut Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR), pada masa kini terdapatnya 70.8 juta orang terpaksa meninggalkan tempat asal mereka, di mana 41.3 juta daripadanya ialah pelarian dalam negara (internally displaced people), 25.9 juta ialah pelarian (20.4 juta di bawah mandate UNHCR dan 5.5 juta orang pelarian Palestin di bawah mandate UNRWA), sementara 3.5 juta orang lagi ialah pencari suaka. Jumlah ini adalah rekod tertinggi dalam sejarah UNHCR.

Lebih kurang 80% daripada pelarian tinggal di negara yang berjiranan dengan negara asal mereka.

Daripada lebih kurang 25.9 juta orang pelarian yang disahkan oleh PBB, lebih separuh ialah kanak-kanak di bawah umur 18 tahun. 57% pelarian yang berdaftar dengan UNHCR datang dari 3 buah negara, iaitu Syria (6.3 juta orang), Afghanistan (2.7 juta orang) dan Sudan Selatan (2.3 juta orang).

Di samping itu, terhadap juga 3.9 juta “orang tanpa negara” (stateless) yang dinafikan kewarganegaraan di mana-mana negara dan kehilangan hak asasi seperti pendidikan, kesihatan, pekerjaan dan kebebasan untuk bergerak.

Dalam dunia hari ini di mana terdapat hampir seorang terpaksa meninggalkan kampung halaman kerana konflik atau penganiayaan, perlindungan hak untuk pelarian ini menjadi semakin penting dan perlu diberi perhatian yang sepenuhnya.

20190620rohingya-in-Malaysia

Pelarian di Malaysia

Negara Malaysia boleh dikatakan bertuah kerana tidak berlakunya konflik bersenjata yang menyebabkan rakyat Malaysia menjadi pelarian. Namun, Malaysia telah menerima kunjungan oleh pelarian dari negara-negara berjiranan yang menghadapi pelbagai konflik dan penganiayaan yang teruk terhadap rakyat.

Menurut catatan UNHCR, sehingga hujung bulan April 2019, terdapat lebih kurang 170,460 orang pelarian dan pencari suaka yang berdaftar dengan UNHCR di Malaysia. Antaranya, seramai 147,590 orang (atau hampir 87%) datang dari Myanmar (termasuk 90,200 orang Rohingya, 24,720 orang Chin, 9,750 orang Muslim Myanmar, 4,000 orang Rakhine dan Arakan, dan juga kumpulan etnik lain dari Myanmar).

22,870 orang pelarian dan pencari suaka dari negara-negara lain, termasuk lebih kurang 6,150 orang dari Pakistan, 3,350 orang dari Yaman, 3,090 orang dari Somalia, 3,065 orang dari Syria, 1,970 orang dari Afghanistan, 1,720 orang dari Sri Lanka, 1,450 orang dari Iraq, 780 orang dari Palestin, dan lain-lain lagi dari negara lain.

Lebih kurang 68% daripada pelarian dan pencari suaka yang berada di Malaysia ialah lelaki, sementara 32% ialah wanita. Lebih kurang 43,710 orang pelarian ialah kanak-kanak di bawah umur 18 tahun.

Tiada undang-undang lindungi pelarian di Malaysia

Tiada orang sanggup meninggalkan kampung halaman mereka jika bukan dalam keadaan terdesak ataupun terpaksa berbuat demikian. Pelarian yang terselerak di merata dunia terpaksa mengharungi kehidupan yang susah.

Walaupun terdapat jumlah pelarian yang agak besar di negara kita, tetapi negara Malaysia tidak mempunyai apa-apa undang-undang atau dasar kerajaan yang membolehkan pendaftaran pelarian, pekerjaan secara sah, pendidikan dan perlindungan hak kepada pelarian. Oleh sebab ketiadaan peruntukan undang-undang dan dasar kerajaan yang jelas mengenai pelarian di dalam negara kita, UNHCR menjadi organisasi yang paling penting dalam memberi perlindungan kepada pelarian di sini. UNHCR memainkan peranan dalam mendaftarkan pelarian dan pencari suaka, mengeluarkan kad UNHCR dan dokumen yang lain untuk mengesahkan status pelarian. Walaupun kad UNHCR diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia, tetapi pelarian yang berada di negara kita masih sentiasa menghadapi gangguan daripada pihak berkuasa yang menangkap mereka sebagai “pendatang tanpa izin”. Mereka yang mendapat status pelarian daripada UNHCR juga tiada hak untuk bekerja, mendapatkan pendidikan dan sebagainya.

Malaysia perlu meratifikasi Konvensyen Pelarian

Salah satu sebab kenapa pelarian di Malaysia masih tidak mendapat perlindungan hak, adalah negara Malaysia masih belum menandatangani dan meratifikasi Konvensyen Pelarian 1951.

20 Jun tahun ini ialah sambutan Hari Pelarian Sedunia yang kedua selepas Kerajaan Pakatan Harapan mengambilalih kuasa di peringkat Persekutuan.  Kerajaan Pakatan Harapan dalam era Malaysia Baru tidak patut mengulangi apa yang dilakukan oleh Barisan Nasional, iaitu mempergunakan isu Rohingya dan Palestin untuk mencari publisiti politik tetapi gagal menyelesaikan masalah yang dihadapi pelarian di negara kita kerana tidak mengambil langkah yang konkrit untuk melindungi hak pelarian.

Pakatan Harapan dalam Buku Harapan, iaitu manifesto pilihanrayanya pada tahun 2018, telah menyatakan dalam “Janji 59: Memimpin usaha menyelesaikan konflik Rohingya dan Palestin” bahawa “Kerajaan Pakatan Harapan akan meratifikasi Kovensyen Antarabangsa Mengenai Pelarian 1951 agar pelarian yang datang ke Malaysia untuk meyelamatkan diri dapat diberi bantuan sewajarnya”. Jika Kerajaan Pakatan Harapan bersikap serius dalam membantu pelarian Rohinya, Palestin dan juga yang lain, maka perlu meratifikasi dengan segeranya Konvensyen Pelarian 1951.

Ratifikasi Konvensyen Pelarian 1951 bermakna Kerajaan Malaysia sanggup memikul tanggungjawab dalam melindungi hak pelarian. Jika Kerajaan Malaysia tidak mengiktiraf Konvensyen Pelarian 1951 sekarang ini ataupun memerlukan masa untuk melakukannya, Kerajaan Malaysia masih boleh memulakan usaha untuk mengiktiraf status pelarian. Pengiktirafan status pelarian merupakan langkah pertama yang penting untuk merealisasikan hak untuk pelarian, termasuk hak untuk bekerja, akses kepada kesihatan dan hak untuk pendidikan. Pengiktirafan dan perlindungan hak pelarian, bukan sahaja membolehkan mereka hidup dengan lebih terjamin di negara kita, malah dapat membentuk tenaga kerja yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara.

Pelarian juga manusia. Pelarian berhak untuk menjalani hidup seperti rakyat lain yang menetap di negara kita.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *