20200528 Anthony Kwan Getty Images Screenshot_2020-05-28 hong-kong-police-protests-security-law-GettyImages-1215439313 jpg (WEBP Image, 800 × 533 pixels)
(Foto oleh Anthony Kwan / Getty Images)

Pada tahun 2003, ketika dilanda penularan wabak koronavirus SARS, Kerajaan Hong Kong mengemukakan Rang Undang-undang Keselamatan Negara di dalam Dewan Perundangan (LegCo) Hong Kong, tetapi terpaksa menarik keputusan untuk meluluskan rang undang-undang yang dianggap menghakis autonomi bandaraya Hong Kong dan mencabul hak asasi manusia tersebut setelah tercetusnya protes besar-besaran pada 1 Julai 2003, iaitu semasa ulangtahun ke ke-6 penyerahan pemerintahan Hong Kong kepada Kerajaan Republik Rakyat China. Selepas 17 tahun, ketika dunia dilanda satu lagi wabak koronavirus, SARS-CoV-2, Kerajaan Pusat China telah memintas Dewan Perundangan Hong Kong untuk melaksanakan undang-undang keselamatan negara yang penuh kontroversi. Ini merupakan tindakan terbaru Kerajaan Pusat Beijing untuk mengetatkan lagi cengkaman politiknya ke atas bandaraya Hong Kong dan menghakis ruang demokrasi di situ dengan lebih lanjut lagi. Gelombang protes yang reda seketika kerana penularan koronavirus telah tercetus semula di Hong Kong sebagai reaksi kepada undang-undang keselamatan baru ini.

Ada apa dengan undang-undang keselamatan negara baru di Hong Kong?

Pada 21 Mei 2020, Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Kebangsaan China mengumumkan untuk membawa cadangan pelaksanaan undang-undang keselamatan negara di Hong Kong kepada sesi persidangan Kongres Rakyat Kebangsaan, iaitu parlimen “cop getah” untuk kelulusan undang-undang di China. Kongres Rakyat Kebangsaan China kemudiannya meluluskan cadangan tersebut pada 28 Mei 2020.

Undang-undang keselamatan negara baru yang cuba dilaksanakan oleh Kerajaan Pusat Beijing di Hong Kong, memasukkan peruntukan yang mengharamkan sepenuhnya sebarang tindakan yang dianggap bersifat subversif, pemisah, pengganas dan campurtangan luar yang mengancam kekuasaan Kerajaan Pusat. Organ-organ keselamatan negara juga akan ditubuhkan di Hong Kong atas nama “menjaga keselamatan negara” dan menguatkuasakan undang-undang keselamatan negara yang represif. Seperti yang dicadangkan oleh Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Kebangsaan China, undang-undang keselamatan negara baru ini akan dimasukkan terus ke dalam Lampiran III Undang-undang Asas Hong Kong, maka memintas proses perundangan yang sepatutnya berjalan dalam Dewan Perundangan Hong Kong.

Undang-undang keselamatan negara baru ini adalah jauh lebih teruk daripada undang-undang ekstradisi yang mencetuskan gelombang protes yang hebat pada tahun 2019. Implikasi pelaksanaan undang-undang keselamatan negara baru di Hong Kong ini adalah, kebanyakan aktiviti politik yang ada sekarang ini di Hong Kong akan diharamkan. Penguatkuasaan undang-undang berkaitan hasutan dan subversi akan merampas hak untuk kebebasan bersuara dan kebebasan media dengan lebih lanjut lagi di bandaraya yang pada satu ketika dianggap paling mempunyai kebebasan bersuara di Asia ini. Di bawah undang-undang keselamatan negara baru ini, sebarang hubungan dengan organisasi politik luar negara boleh dianggap sebagai campurtangan luar, menjadikan banyak badan bukan kerajaan antarabangsa yang beribupejabat di Hong Kong dan pertubuhan-pertubuhan pekerja migran yang bebas bergerak di Hong Kong sekarang ini turut diancam. Pertembungan dengan polis, walaupun hanya mempertahankan diri daripada keganasan polis yang semakin teruk, boleh dianggap sebagai aktiviti pengganas.

Perkara 23 Undang-undang Asas Hong Kong, iaitu Perlembagaan Mini untuk bandaraya yang berautonomi khas ini, menyatakan bahawa Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong “harus menggubal undang-undangnya secara sendiri untuk melarang sebarang tindakan penderhakaan, pemisahan, hasutan dan subversi terhadap Kerajaan Rakyat Pusat, atau pencurian rahsia negara, untuk melarang pertubuhan atau badan politik luar negara daripada menjalankan aktiviti politik di Wilayah ini, dan untuk melarang pertubuhan atau badan politik Wilayah ini daripada mewujudkan pertalian dengan pertubuhan atau badan politik luar negara”. Namun, usaha untuk meluluskan undang-undang berkaitan dengan Perkara 23 Undang-undang Asas Hong Kong ini tidak berjaya selepas lebih 500,000 orang berprotes di jalanan Hong Kong pada tahun 2003.

Di bawah kerangka “Satu Negara Dua Sistem”, Kerajaan Hong Kong mempunyai kuasa autonomi untuk menggubal undang-undang bagi bandaraya ini. Oleh itu, tiada undang-undang boleh diluluskan dan dilaksanakan di Hong Kong tanpa melalui proses perundangan di Dewan Perundangan Hong Kong. Namun, Kerajaan Pusat Beijing mempunyai satu “senjata rahsia”, iaitu Perkara 18 Undang-undang Asas Hong Kong. Menurut Perkara 18 Undang-undang Asas Hong Kong, “Undang-undang Kebangsaan (iaitu undang-undang yang digubal di Kongres Rakyat Kebangsaan China) tidak harus diaplikasikan di Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong, kecuali perkara-perkara yang disenaraikan dalam Lampiran III Undang-undang ini”. Perkara 18 membenarkan Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Kebangsaan China untuk memasukkan atau mengeluarkan undang-undang yang disenaraikan dalam Lampiran III setelah berunding dengan Kerajaan Hong Kong, namun undang-undang tersebut hanya terhad kepada perkara-perkara yang berkaitan dengan pertahanan, hal ehwal luar negeri dan “perkara-perkara lain yang di luar had autonomi Wilayah ini seperti yang ditetapkan oleh Undang-undang ini”.

Walau bagaimanapun, memasukkan undang-undang keselamatan negara ke dalam Lampiran III Undang-undang Asas Hong Kong, merupakan sesuatu yang boleh dicabar secara undang-undang, kerana perkara seperti aktiviti pemisahan, subversi malah keganasan (terrorism) biasanya tidak digolongkan sebagai perkara di bawah pertahanan atau hal ehwal luar negeri, tetapi tergolong dalam kategori yang dikenali sebagai ketenteraman awam. Malah, memang dinyatakan dengan jelas dalam Perkara 23 Undang-undang Asas Hong Kong, “undang-undang keselamatan negara” merupakan bidang kuasa Kerajaan Hong Kong, maka bukannya “perkara-perkara lain yang di luar had autonomi”.

Oleh yang demikian, tindakan Kerajaan Pusat Beijing memperkenalkan undang-undang keselamatan negara baru di Hong Kong di bawah Perkara 18 Undang-undang Asas merupakan sesuatu yang telah melanggar kerangka “Satu Negara Dua Sistem” dan boleh dicabar kesahannya dari segi undang-undang. Namun, nampaknya ini tidak dapat menghalang Kerajaan Pusat Beijing untuk meneruskan usaha memaksakan undang-undang tersebut ke atas Hong Kong.

Tindakan Kerajaan Pusat Beijing memintas proses perundangan Hong Kong untuk melaksanakan undang-undang yang penuh kontroversi ini, menunjukkan bahawa Kerajaan Pusat China pimpinan Xi Jinping sudah semakin tidak dapat bertoleransi dengan suara yang menuntut demokrasi di Hong Kong. Kerajaan Pusat Beijing nampaknya semakin tidak berpuas hati dan sudah tidak percaya pada Kerajaan Hong Kong (walaupun pemimpinnya rapat dengan pemerintah Beijing) dalam “menguruskan” gerakan protes yang berterusan di Hong Kong. Kerajaan Pusat cuba memintas proses perundangan Hong Kong dan terus mencampurtangan dalam pelaksanaan undang-undang keselamatan, sebagai usaha untuk mematahkan kebangkitan rakyat Hong Kong dengan undang-undang zalim.

Tiada lagi “Satu Negara Dua Sistem”

Apabila Hong Kong “dikembalikan” kepada China, dengan peralihan kuasa daripada Kerajaan penjajah British kepada Kerajaaan China yang dikuasai oleh Parti Komunis China pada tahun 1997, seperti yang dipersetujui dalam Perisytiharan Bersama China-British tahun 1984, bandaraya Hong Kong memiliki tahap autonomi yang tinggi di bawah kerangka “Satu Negara Dua Sistem”. Mungkin ramai orang beranggapan “Satu Negara Dua Sistem” itu hanyalah perbezaan sistem ekonomi, iaitu perbezaan antara ekonomi pasaran bebas dan ekonomi “sosialis ala China”, tetapi sebenarnya dengan ekonomi negara China semakin berintegrasi dengan ekonomi kapitalis global, perbezaan sistem ekonomi antara bandaraya Hong Kong dengan Tanah Besar China menjadi semakin kabur. Sejak negara China memeluk semula sistem ekonomi kapitalis pasaran (dengan caranya yang tersendiri) pada penghujung tahun 1970-an, bandaraya Hong Kong telah menjadi pintu masuk penting untuk modal antarabangsa ke dalam negara China, sementara juga berfungsi sebagai tempat berlindung kepada golongan kapitalis dan birokrat dari Tanah Besar China untuk menyembunyikan kekayaan mereka. Hong Kong juga merupakan tempat berlindung cukai kepada kapitalis besar di seluruh dunia, termasuk Robert Kuok dari Malaysia. Dengan ekonomi China semakin berkembang pesat dan menjadi kuasa besar di pentas dunia, fungsi ekonomi Hong Kong semakin diambilalih oleh bandaraya besar lain di Tanah Besar China, seperti Shanghai dan Shenzen (yang hanya dipisahkan dengan Hong Kong oleh sebatang sungai).

Walau bagaimanapun, Hong Kong dan Tanah Besar China masih sangat berbeza di bawah “Satu Negara Dua Sistem” dari segi politik dan undang-undang. Dari segi politik, bandaraya Hong Kong mempunyai sistem demokrasi (walaupun penuh dengan kepincangan) yang membolehkan rakyatnya untuk memilih wakil rakyat ke dalam Dewan Perundangan melalui pilihanraya umum, sesuatu yang tidak wujud di Tanah Besar China. Namun, janji Kerajaan Pusat Beijing untuk melaksanakan pilihanraya demokratik secara langsung untuk Ketua Eksekutif dan pilihanraya langsung untuk semua kerusi Dewan Perundangan tidak pernah ditunaikan sehingga kini. Dari segi undang-undang, bandaraya Hong Kong mengamalkan sistem “Hukum Am” (Common Law), berbeza dengan sistem “Hukum Sivil” (Civil Law) yang diamalkan di Tanah Besar China, seperti perbezaan sistem undang-undang antara negara Britain dan Perancis, atau Malaysia dan Indonesia.

Autonomi Hong Kong semakin terhakis sejak beberapa tahun kebelakangan ini, akibat daripada campurtangan Kerajaan Pusat Beijing yang semakin ketara dalam politik tempatan. Ruang demokrasi Hong Kong yang tidak begitu besar itu semakin disekat, dengan berlakunya peristiwa-peristiwa seperti wakil rakyat yang dipilih dilucutkan kelayakan hanya kerana perbezaan pendirian politik, penangkapan dan pemenjaraan pengkritik kerajaan, keganasan polis yang berterusan dan sebagainya. Cubaan Kerajaan Hong Kong untuk menggubal undang-undang ekstradisi pada tahun 2019, telah mencetuskan gelombang protes yang terbesar dalam sejarah bandaraya ini. Walaupun rang undang-undang ekstradisi telah ditarik balik, tetapi keganasan polis yang berterusan dan keenganan pemerintah Hong Kong untuk melaksanakan tuntutan demokratik rakyat, telah membawa kepada keadaan protes rakyat yang berlanjutan.

Dengan pelaksanaan undang-undang keselamatan baru tanpa melalui proses perundangan Hong Kong, protes rakyat Hong Kong akan menghadapi ancaman yang lebih teruk. Semakin ramai ahli politik pembangkang dan mereka yang tidak sehaluan dengan politik Kerajaan Pusat Beijing akan ditahan. Ruang kebebasan bersuara akan semakin tersekat. Ini merupakan satu tamparan kepada prinsip “Satu Negara Dua Sistem” yang sepatutnya menjamin autonomi Hong Kong untuk sekurang-kurangnya 50 tahun.

Sekiranya rang undang-undang ekstradisi yang cuba diperkenalkan pada tahun 2019 membolehkan rakyat Hong Kong dihantar ke Tanah Besar tanpa melalui proses undang-undang Hong Kong yang memiliki kebebasan kehakiman, maka undang-undang keselamatan baru yang diperkenalkan pada tahun 2020 ini adalah terus membawa masuk sistem undang-undang Beijing ke dalam Hong Kong. “Satu Negara Dua Sistem” tidak akan wujud lagi!

Kerajaan Pusat Beijing sering menuduh terdapat unsur-unsur pemisah dalam gerakan protes di Hong Kong. Pada hakikatnya, sehingga sepuluh tahun dahulu, fahaman “pemisah” atau “kemerdekaan Hong Kong” langsung tiada sambutan dalam kalangan rakyat Hong Kong, dan langsung tidak dibincangkan oleh gerakan demokrasi di Hong Kong, malah juga bukannya sesuatu yang ketara semasa Gerakan Payung pada tahun 2014 dan gerakan menentang undang-undang ekstradisi yang tercetus pada bulan Jun 2019. Namun, dengan sikap keras Kerajaan Pusat Beijing dan keganasan polis Hong Kong yang berterusan, semakin ramai penduduk Hong Kong, khususnya anak-anak muda, sudah tertarik kepada fahaman pemisah. Dasar Kerajaan Pusat Beijing ke atas Hong Kong yang membiak fahaman pemisahan di Hong Kong. Tindakan pihak pemerintah untuk membendung fahaman “pemisah” akan mendatangkan kesan yang sebaliknya.

Mungkin adanya sebahagian penduduk Hong Kong yang mengharapkan campurtangan kuasa Barat untuk menyelesaikan kemelut mereka, tetapi pemikiran sedemikian hanyalah angan-angan kosong yang membiarkan Hong Kong menjadi sebahagian daripada percaturan geo-politik kuasa besar dalam “Perang Dingin Baru” untuk kepentingan kelas pemerintah negara masing-masing, dan tidak akan membawa apa-apa makna pembebasan kepada rakyat di mana-mana pun, termasuk Hong Kong. Kuasa besar khususnya Amerika Syarikat yang sedang bersaing hebat dengan China sekarang  ini, sudah pasti akan menggunakan kesempatan pergolakan di Hong Kong untuk memenuhi agendanya, bukan demi kebebasan dan kesejahteraan rakyat Hong Kong. Nasib rakyat Hong Kong sebenarnya adalah terletak dalam gerakan rakyat itu sendiri, dan terikat dengan perjuangan golongan yang terpinggir dan tertindas di Tanah Besar China, termasuk pekerja-pekerja China.

Rakyat Hong Kong yang terlibat dalam gerakan demokrasi sekian lama, sudah pasti akan terus melawan balik. Namun, jalan keluar mereka bukannya bergantung pada kuasa besar Barat, tetapi membina solidariti dengan pekerja-pekerja China dan mereka yang ditindas di China, di samping menjalin solidariti antarabangsa dengan gerakan perjuangan rakyat yang serupa nasib seperti di Papua Barat, Kashmir, Palestin, Catalonia dan Puerto Rico.

3 thoughts on “Hong Kong: Undang-undang keselamatan negara baru cetus semula gelombang protes

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *