20190411 - mesir - 1919 Revolution  (1)a.jpg100 tahun dahulu, pada bulan Mac dan April 1919, bumi Mesir digegarkan oleh gelombang revolusi yang menggugat pemerintahan ketenteraan British di situ. Mogok pekerja, demonstrasi secara besar-besaran, penglibatan wanita yang menakjubkan dalam perjuangan pembebasan nasional dan perpaduan rakyat yang merentasi batasan agama, memaksa Britain mengiktiraf kemerdekaan Mesir pada tahun 1922 dan penggubalan perlembagaan baru yang berasaskan demokrasi berparlimen pada tahun 1923, walaupun Britain masih mengekalkan penempatan tenteranya di Mesir sehingga tahun 1952.

Mesir moden memang tidak asing lagi dengan revolusi. Memori terdekat kita tentang peristiwa kebangkitan rakyat yang hebat di negara itu belum sampai 10 tahun lagi. Masih ingat kebangkitan rakyat Mesir yang menjatuhkan rejim diktator Hosni Mubarak pada tahun 2011?

Tahun ini menandakan ulangtahun ke-100 Revolusi Mesir 1919. Revolusi Mesir 1919 merupakan titik perubahan yang penting dalam sejarah Mesir dan juga rantau Timur Tengah, apabila rakyat Mesir bangkit menentang kuasa imperialis dalam usaha mereka menuntut pembebasan nasional untuk sebuah negara moden yang demokratik. Revolusi Mesir 1919 merupakan sebahagian daripada gelombang revolusi yang hebat selepas Perang Dunia I (yang termasuk Revolusi Rusia 1917 dan Revolusi Jerman 1918-19).

Mesir ditawan oleh Empayar Uthmaniyah pada tahun 1517. Tentera Perancis di bawah pimpinan Napoleon Bonaparte pernah menakluk dan menduduki Mesir pada tahun 1798-1801, namun dirampas kembali oleh Empayar Uthmaniyah dengan bantuan Britain. Mesir kemudiannya dijadikan sebuah negeri autonomi dalam Empayar Uthmaniyah Turki pada tahun 1867, diperintah oleh Dinasti Muhammad Ali selaku Khedive.

Pada pertengahan abad ke-19, pemerintah Mesir ketika itu, Khedive Ismail Pasha, cuba memodenkan negaranya untuk bersaing dengan kuasa besar Eropah. Salah satu usahanya ialah membina Terusan Suez yang siap pada tahun 1869, tetapi kerajaan Mesir yang berhutang terlalu banyak dengan bank Eropah menghadapi kebankrapan pada tahun 1875 terpaksa menjual saham yang dipegangnya dalam Syarikat Terusan Suez kepada kerajaan British.

39suez.jpg
Terusan Suez pada penghujung abad ke-19

Kuasa imperialis British mula menduduki tanah Mesir pada tahun 1882, apabila tentera British membantu Khedive Muhammad Tewfik Pasha untuk mengalahkan tentera pemberontak nasionalis yang dipimpin oleh Kolonel Ahmad Urabi. Britain menduduki Mesir dengan tenteranya bertujuan untuk mengawal Terusan Suez yang mempunyai kepentingan strategik untuk kekuasaan imperialis British. Pada tahun 1914, ketika tercetusnya Perang Dunia I, pihak British mengisytihar Mesir sebagai negeri naungannya, menggantikan Khedive (jawatan pegawai diraja yang diiktiraf Empayar Uthmaniyah pada masa itu) dengan seorang Sultan yang merupakan boneka penjajah British. Penglibatan Mesir dalam Perang Dunia I telah mendatangkan kesengsaraan kepada masyarakat Mesir secara umumnya dan menimbulkan ketidakpuasan hati terhadap pentadbiran British yang berleluasa merentasi semua kelas masyarakat di Mesir. Pengaliran keluar kekayaan negara Mesir ke dalam tangan kuasa imperialis, status keistimewaan yang dinikmati penjajah Eropah dan penguasaan British sebagai “penaung” terhadap dasar kerajaan, menyebabkan semangat nasionalis semakin bertumbuh dan berkembang.

Selepas tamatnya Perang Dunia I, sekumpulan nasionalis Mesir membentuk Parti Wafd (Parti Perwakilan), satu gerakan politik yang menuntut kemerdekaan Mesir. Gerakan nasionalis berkembang dengan pesat, tetapi kebanyakan pemimpinnya adalah tuan tanah dan peniaga. Kelas kapitalis Mesir yang sedang membangun mahu menamatkan dominasi kuasa asing di negara itu, supaya mereka boleh membina kekayaan dan kekuasaan mereka sendiri. Mereka juga mahu menghapuskan kekuasaan golongan bangsawan lama yang bersekongkol dengan imperialis British sehingga menghalang perkembangan kelas kapitalis yang bebas dalam negara sendiri. Rakyat biasa menyokong gerakan kemerdekaan kerana mereka menganggap ini satu-satu caranya untuk mereka membebaskan diri daripada kesusahan yang dihadapi mereka. Golongan wanita turut menyokong gerakan kemerdekaan, kerana perjuangan nasionalis yang bersifat sekular mampu memperbaiki status mereka yang sentiasa ditekan di bawah struktur masyarakat tradisional.

20190411 - mesir - Saad Zaghloul.jpg
Saad Zaghloul (1859-1927)

Saad Zaghloul, seorang pengamal undang-undang dan anggota dewan perundangan, menjadi pemimpin utama kepada Parti Wafd dan gerakan menuntut kemerdekaan Mesir. Saad Zaghloul telah mengetuai satu delegasi nasionalis Mesir untuk menyeru pada Pesuruhjaya Tinggi British supaya menamatkan pentadbiran negeri naugan di Mesir dan Sudan. Mereka juga meminta supaya menjadi perwakilan Mesir dalam rundingan Persidangan Damai Paris pasca Perang Dunia I. Namun, permintaan mereka telah ditolak oleh pentadbiran British. Pihak British menyoal pada Zaghloul sejauh mana dia dapat mewakili rakyat Mesir. Pada ketika itu, munculnya satu gerakan di peringkat akar umbi yang menuntut kemerdekaan sepenuhnya untuk Mesir dan Sudan daripada penjajahan British. Zaghloul dan Parti Wafd mendapat sokongan daripada ramai rakyat Mesir. Parti Wafd berjaya mengumpul tandatangan daripada ramai rakyat Mesir untuk menguatkan suara mereka dalam menuntut kemerdekaan negara itu.

20190411 - mesir - thwr_1919_0

Pihak penjajah British yang semakin tergugat dengan sokongan hebat terhadap pemimpin Parti Wafd, telah menangkap Zaghloul pada 8 Mac 1919. Zaghloul dan dua orang lagi pemimpin Wafd telah dibuang negeri ke Malta. Penangkapan terhadap Zaghloul dan pemimpin Parti Wafd yang lain telah mencetuskan Revolusi Mesir. Rakyat Mesir daripada semua agama dan kelas sosial telah bergabung untuk menentang penjajah British. Rakyat Mesir yang beragama Islam, Kristian dan Yahudi berganding bahu dalam perjuangan revolusi yang hebat ini.

Pelajar-pelajar di Universiti Al-Azhar mengadakan demonstrasi jalanan, diikuti oleh pelajar-pelajar dari sekolah menengah. Peserta demonstrasi berhimpun di stesen keretapi dan merebak ke seluruh pusat bandar Kaherah. Pekerja-pekerja pengangkutan melancarkan mogok dengan sokongan kesatuan sekerja, sehingga berkembang menjadi mogok umum nasional yang melumpuh seluruh negara. Pekerja-pekerja tram di Kaherah bermogok pada 13 Mac sehingga 15 April 1919. Lebih kurang 4,000 pekerja landasan keretapi menyertai permogokan pada 15 Mac 1919. Pada 16 Mac 1919, pekerja-pekerja di Iskandariah bermogok dan berdemonstrasi. Tentera British melepaskan tembakan terhadap demonstrasi rakyat Mesir dan membunuh ramai orang.

Pada 15 Mac 1919, demonstrasi besar-besaran tercetus di Kaherah dengan ribuan rakyat turun ke jalanan untuk menyuarakan sokongan terhadap Revolusi dan perjuangan menuntut kemerdekaan. Pada hari keesokannya, ratusan wanita Mesir yang dipimpin oleh isteri pemimpin nasionalis yang dibuang negeri, berhimpun untuk membantah pendudukan British. Wanita Mesir yang berkesedaran nasionalis memainkan peranan penting dalam menganjurkan mogok dan tindakan memboikot barangan British. Revolusi Mesir 1919 merupakan detik yang penting dalam sejarah perjuangan wanita di Mesir dan perkembangan feminisme Islam.

20190413 - mesir women.jpg

Wanita daripada semua kelas masyarakat menyertai demonstrasi, sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Wanita daripada kelas borjuasi dan kelas menengah biasanya berdemonstrasi secara berasingan daripada lelaki, sementara wanita daripada kelas pekerja dan petani selalu berdemonstrasi bersama-sama dengan lelaki. Petani wanita mengambil bahagian dalam sabotaj landasan keretapi dan talian telegraf. Apabila perjalanan keretapi dipulihkan, sesetengah wanita mengedarkan risalah-risalah yang diharamkan di bawah undang-undang tentera, dengan menyembunyikan risalah-risalah dalam bakul pasar dan mengedar kepada guru-guru di setiap stesen keretapi.

Satu lagi ciri yang menyerlah dalam Revolusi Mesir 1919, adalah tidak wujudnya perpecahan berasaskan agama dalam gerakan menuntut kemerdekaan. Muslim, Kristian dan Yahudi bekerjasama dengan eratnya dalam gerakan yang hebat ini. Huda Sha’arawi, seorang pemimpin gerakan feminis dan juga isteri kepada salah seorang pemimpin Wafd, pernah menulis, “British mendakwa bahawa gerakan nasional kami adalah pemberontakan majoriti Muslim terhadap minoriti agama. Fitnah ini membangkitkan kemarahan golongan Koptik dan kumpulan agama yang lain. Rakyat Mesir menunjukkan solidariti mereka dengan bermesyuarat secara bersama dalam masjid, gereja dan saumaah. Syeikh berjalan berpegang tangan dengan paderi dan rabai.” Bulan sabit untuk agama Islam dan palang salib untuk agama Kristian digabungkan dalam satu simbol bersama untuk gerakan perjuangan nasionalis ini.

20190413 - mesir flag - Copy.jpg
Bendera yang digunakan semasa Revolusi Mesir 1919 menunjukkan perpaduan rakyat merentasi agama.

Di kawasan luar bandar, Revolusi Mesir berlaku dalam bentuk yang lebih ganas. Ketidakpuasan hati golongan petani terhadap penjajah British, khususnya akibat daripada kesengsaraan yang dilalui mereka ketika perang, akhirnya mencetuskan tindakan pemberontakan yang ganas. Landasan keretapi dan talian telegraf disabotaj. Askar British dan pegawai kerajaan Mesir yang bekerjasama dengan rejim British dibunuh. Pihak British kehilangan kawalan terhadap kebanyakan kawasan di Mesir pada bulan Mac 1919. Pihak British mengerahkan lebih banyak tentera untuk menghancurkan Revolusi di kawasan luar bandar dengan cara yang kejam. Pihak British merampas balik penguasaan terhadap bandar-bandar dan pekan-pekan melalui kempen keganasan. Antara 15 Mac hingga 25 Julai 1919, kebangkitan rakyat Mesir dan reaksi ganas daripada pihak penjajah British telah membunuh seramai 800 orang dan mencederakan 1,600 orang.

Pihak British menyedari bahawa ia tidak dapat menghentikan kebangkitan rakyat Mesir tanpa mengadakan rundingan. Oleh itu, pemimpin nasionalis yang ditangkap termasuk Zaghloul telah dibebaskan tidak lama kemudian dan dibenarkan untuk menghadiri Persidangan Damai Paris. Namun, cadangan Zaghloul untuk negara Mesir yang merdeka dan demokratik tidak dihiraukan oleh kuasa-kuasa besar.

Pemimpin Wafd pada awalnya bersikap optimistik bahawa mereka akan mendapat sokongan daripada Woodrow Wilson, Presiden Amerika Syarikat pada masa itu yang pernah bercakap tentang “penentuan nasib nasional secara sendiri”, tetapi Wilson sebenarnya hanya berhujah dalam konteks melindungi kepentingan kapitalis Amerika Syarikat untuk bersaing dengan kuasa imeprialis Eropah. Sama seperti kerajaan kapitalis di Eropah yang lain, Kerajaan Amerika Syarikat sememangnya tidak mahu Mesir mengikut jejak Rusia, di mana revolusi borjuasi akhirnya membawa kepada revolusi pekerja yang berjaya dalam tempoh masa beberapa bulan sahaja. Kuasa imperialis bersedia untuk berunding dengan golongan nasionalis borjuasi yang mengambil pendekatan moderat sementara menggunakan segala bentuk kekerasan untuk menghancurkan gerakan pembebasan nasional yang radikal.

Zaghloul mengadakan pertemuan beberapa kali dengan Setiausaha Koloni British Alfred Milner untuk membincangkan masa depan Mesir. Milner mencadangkan pada Kerajaan British untuk melepaskan status Mesir sebagai negeri naungan Britain. Pada tahun 1921, Zaghloul dan penyokongnya cuba menghalang penubuhan kerajaan yang mesra British di Mesir, menyebabkan Zaghloul dibuang negeri sekali lagi ke kepulauan Seychelles.

20190411 - Mesir - 1919 Revolution  (4).jpg

Untuk meredakan kebangkitan rakyat Mesir, Kerajaan British secara unilateral mengumumkan kemerdekaan Mesir pada 28 Februari 1922. Namun begitu, “kemerdekaan” untuk Mesir hanya sekadar nama dan amat terhad pelaksanaannya. Britain masih menempatkan tenteranya di Mesir, di samping menguasai sepenuhnya urusan pertahanan dan hubungan luar Mesir. Sudan yang merupakan sebahagian daripada Mesir sebelum itu masih dikuasai sepenuhnya oleh British. Pihak British memainkan peranan dalam menjaga kepentingan imperialis Eropah di Mesir. Pihak British juga memastikan kerabat diraja yang rapat padanya terus kekal berkuasa. Fuad I yang menjadi Sultan boneka British sejak tahun 1917 kekal sebagai Raja Mesir selepas “kemerdekaan” pada tahun 1922.

Dengan Mesir mendapat status “merdeka”, Parti Wafd telah mengemukakan perlembagaan baru untuk Mesir yang berasaskan sistem perwakilan parlimen pada tahun 1923. Pihak British membenarkan demokrasi berparlimen wujud di Mesir selagi ia tidak menggugat kepentingannya, di samping dapat memastikan golongan nasionalis borjuasi berada dalam lingkungan kawalannya. Zaghloul juga dibenarkan untuk pulang ke Mesir pada tahun 1923. Parti Wafd menang sebanyak 188 daripada 215 kerusi parlimen dalam Pilihanraya Parlimen Mesir yang pertama, dan Zaghloul dilantik sebagai Perdana Menteri pada tahun 1924. Namun, tidak lama kemudian, Zaghloul dipaksa untuk meletak jawatan kerana tidak menerima arahan daripada pihak British.

Pekerja-pekerja Mesir masih meneruskan aksi perjuangan selepas kerajaan baru ditubuhkan, namun kerajaan yang dipimpin oleh Parti Wafd telah bertindak untuk menyekat kebangkitan pekerja. Golongan pekerja di Mesir merupakan kelas pekerja yang paling awal wujud di rantau Timur Tengah. Kesatuan sekerja yang pertama di Mesir, “Liga Pembuat Rokok” ditubuhkan pada tahun 1900. Pekerja-pekerja memainkan peranan penting dalam gelombang kebangkitan rakyat menentang penjajahan British ketika Revolusi Mesir 1919. Dua tahun selepas itu, 90 buah kesatuan sekerja bergabung menubuhkan Persekutuan Nasional Pekerja-pekerja Mesir. Namun, perkembangan aktivisme kesatuan sekerja yang anti-penjajah dan dipengaruhi dengan ideologi sosialis yang tersebar luas pada masa itu, telah mengundang kebimbangan pihak British dan golongan nasionalis borjuasi yang bersedia untuk berkompromi dengan kuasa imperialis.

Parti Sosialis Mesir yang ditubuhkan pada tahun 1921 mendapat sokongan daripada ramai pekerja dan giat mengorganisasi perjuangan pekerja melalui kesatuan sekerja. Antara bulan Ogos 1921 hingga April 1922, pekerja-pekerja Mesir dari 50 buah tempat kerja berlainan telah memobilisasi untuk memperjuangkan penambahbaikan keadaan kerja dengan mengadakan sebanyak 91 aksi mogok berasingan. Pekerja-pekerja tram di Iskadariah bermogok untuk 42 hari; pekerja-pekerja tram di Kaherah bermogok untuk 102 hari; sementara pekerja-pekerja di loji minyak Shell bermogok untuk 113 hari. Keahlian untuk kesatuan pekerja yang dipimpin oleh anggota Parti Sosialis Mesir telah mencecah 20,000 orang. Parti Sosialis Mesir kemudiannya menukar namanya kepada Parti Komunis Mesir selepas menyertai Internasional Ketiga (Comintern). Pada bulan Januari 1923, Parti Komunis Mesir telah mengemukakan program untuk pendemokrasian masyarakat Mesir yang merangkumi perkara berikut:

  • Pemiliknegaraan Terusan Suez;
  • Pembebasan dan penyatuan Mesir dan Sudan;
  • Penghapusan semua hutang negara Mesir dan pembatalan semua perjanjian penyerahan kalah dengan kuasa asing;
  • Kerja 8 jam sehari;
  • Gaji samarata untuk pekerja tempatan dan pekerja asing;
  • Pemansuhan perjanjian sewa tanah di mana petani Mesir perlu membayar 50% daripada hasil tanamannya kepada tuan tanah besar;
  • Pembatalan hutang untuk semua petani kecil;
  • Penyekatan pemilikan tanah oleh tuan tanah individu.

Kerajaan Mesir yang disokong oleh British pada masa itu telah mengetatkan kawalan terhadap aktivisme kesatuan sekerja dan golongan sosialis. Ramai anggota Parti Komunis dan aktivis kesatuan sekerja ditahan. Anton Maroun, salah seorang pemimpin utama Parti Komunis Mesir, mati dalam penjara. Kesatuan sekerja yang radikal dan anti-imperialis telah diharamkan. Kerajaan pimpinan Zaghloul walaupun tidak begitu rapat dengan British, masih membubarkan Persekutuan Kesatuan Sekerja Mesir pada tahun 1924. Pihak British dan kerajaan bonekanya kemudian menaja penubuhan kesatuan sekerja “kuning” untuk menyekat pengaruh sosialis di kalangan pekerja.

Walaupun kekuatan pekerja di Mesir pada masa itu tidak kurang hebatnya, tetapi penindasan dan sekatan terhadap aktivisme pejuang anti-penjajah dan sosialis yang radikal, menyebabkan tiadanya organisasi politik yang mampu menyusun perjuangan seperti yang wujud ketika Revolusi Rusia dengan Parti Bolshevik yang memainkan peranan penting dalam meradikalisasikan massa untuk mengambilalih kuasa sepenuhnya daripada kelas kapitalis, gerakan akar umbi di Mesir terlalu terikut-ikut dengan rentak golongan nasionalis yang bersifat reformis seperti Parti Wafd, gagal melangkah lebih jauh lagi setelah Mesir diberikan kemerdekaan separa oleh kuasa imperialis.

Kuasa imperialis British amat khuatir dengan kesedaran pembebasan nasionalis yang tersebar di kalangan rakyat Mesir. Kuasa imperialis takut bahawa rakyat di Mesir dan Dunia Ketiga akan membina sebuah negara demokrasi yang bebas daripada pengaruh kekuasaan mereka. Oleh yang demikian, imperialis British mendukung istana yang bersifat konservatif dan reaksioner sebagai proksinya, sementara kerabat diraja Mesir bersekongkol dengan kuasa imperialis untuk mengekalkan keistimewaannya. British juga menyokong gerakan politik keagamaan, seperti Ikhawanul Muslimun yang ditubuhkan pada tahun 1928, untuk mengimbangi malah menyekat perkembangan politik anti-imperialis yang bersifat sekular dan lebih progresif atau radikal.

20190413 - mesiregyptian_women_speaking_on_patriotism_in_public_square_.jpg
Wanita menyampaikan ucapan dalam perhimpunan awam ketika Revolusi Mesir 1919.

Pendudukan tentera British di Mesir hanya berakhir pada tahun 1952 apabila sekumpulan pegawai tentera yang bergelar “Gerakan Pegawai Bebas” di bawah pimpinan Mohammed Naguib dan Gamal Abdel Nasser menggulingkan pemerintahan Raja Farouk. Peristiwa rampasan kuasa pada tahun 1952 yang menamatkan pendudukan tentera British dan menubuhkan Republik Mesir yang baru, merupakan sebahagian daripada gelombang gerakan anti-penjajah di Timur Tengah dan Afrika pada tahun 1950-an dan 1960-an. Kerajaan revolusioner pimpinan Gamal Abdel Nasser mengamalkan prinsip nasionalis Arab yang anti-imperialis, melaksanakan dasar reformasi tanah dan kebajikan sosial yang signifikan, di samping memiliknegarakan syarikat penting di Mesir, termasuk Syarikat Terusan Suez. Namun, pengganti Nasser telah mengubah haluan dasar luar negeri Mesir dengan menjalin hubungan rapat semula dengan kuasa imperialis Barat, dan mengamalkan dasar neo-liberal sejak tahun 1970-an. Kemudiannya, Hosni Mubarak yang berkuasa untuk 30 tahun dijatuhkan oleh kebangkitan rakyat yang hebat pada tahun 2011, yang merupakan sebahagian daripada gelombang revolusi yang digelar “Arab Spring”. Seperti Revolusi 1919, kebangkitan rakyat Mesir pada abad ke-21 mencapai kemuncaknya apabila massa bergabung dan berjuang secara bersama tanpa mengira agama. Namun, kelas pemerintah dan kuasa imperialis yang takut pada kebangkitan rakyat yang di luar kawalan mereka, telah mencampurtangan dan memastikan gerakan revolusi itu tidak menghancurkan sistem kapitalis yang sedia ada. Sektarianisme berasaskan agama turut melemahkan kuasa rakyat untuk perubahan sebenar.

100 tahun sudah berlalu. Rakyat Mesir telah melalui pelbagai dalam perjuangan untuk pembebasan dan keadilan sosial. Walaupun Revolusi Mesir pada 100 tahun dahulu, tidak berjaya menamatkan penjajahan British sepenuhnya, tetapi meninggalkan warisan dan semangat perjuangan pembebasan yang amat bernilai. Kebangkitan wanita, penglibatan kelas pekerja dan perpaduan rakyat melangkaui batasan agama, menjadi faktor penting dalam menentukan kejayaan perjuangan pembebasan rakyat.

One thought on “Revolusi Mesir 1919: Kebangkitan rakyat yang merentasi batasan agama

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s