20190415 - Padang Meha.jpgALOR SETAR, KEDAH – 15 APRIL 2019: Penduduk-penduduk dari Ladang Padang Meha telah menyerahkan satu memorandum kepada Kerajaan Negeri Kedah di Wisma Aman pada hari ini, dengan tuntutan pada Kerajaan Negeri Kedah supaya mencampurtangan segera dalam isu pemotongan bekalan air yang sedang dihadapi mereka, di samping menyelesaikan isu perumahan mereka yang telah berlarutan untuk selama 24 tahun.

Syarikat Vintage Developers Sdn Bhd, anak syarikat kepada MBf Holdings Bhd, telah memotong bekalan air kepada Ladang Padang Meha pada minggu lepas, 8 April 2019. Tindakan ini dilakukan selepas Mahkamah Rayuan memutuskan pada 4 April 2019 bahawa bekas pekerja Ladang Padang Meha berhak mendapat kembali wang pampasan sebanyak RM 3.3 juta daripada MBf Holdings Bhd yang dijanjikan pada tahun 1995. Adakah ini satu tindakan kejam membalas dendam oleh syarikat MBf terhadap bekas pekerja Ladang Padang Meha kerana kalah kes mahkamah?

Wakil penduduk yang juga merupakan bekas pekerja Ladang Padang Meha telah menyerahkan memorandum yang menuntut pada Menteri Besar Kedah Mukhriz Mahathir supaya:

  • Mencampurtangan dengan segera untuk menyambung balik bekalan air kepada bekas pekerja Ladang Padang Meha;
  • Meneliti laporan Lembaga Tanah Ladang di mana setiap tanah ladang yang dijual akan memberi laporan kepada pihak Lembaga ini dan sama ada syor-syor yang dinyatakan dalam laporan tersebut dipatuhi oleh pihak majikan/tuan tanah atau tidak;
  • Mengadakan satu mesyuarat triparti yang melibatkan syarikat Vintage untuk menggesa pihak syarikat memberikan tanah ladang seluas 25 ekar untuk projek perumahan bekas pekerja di situ;
  • Kerajaan Negeri Kedah melaksanakan skim pembinaan perumahan bersubsidi untuk bekas pekerja Ladang Padang Meha dengan menggunakan wang pampasan yang diperoleh daripada keputusan mahkamah.

Memorandum daripada Jawatankuasa Bertindak Bekas Pekerja Ladang Padang Meha telah diterima oleh Anas Hafiz Mustafa selaku Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah. Pihak Kerajaan Negeri Kedah berjanji bahawa akan mengarahkan untuk memasang semula bekalan air kepada penduduk-penduduk di Ladang Padang Meha dengan kadar segera, dan selepas itu akan menganjurkan mesyuarat bersama antara pihak Kerajaan, bekas pekerja dan kedua-dua syarikat MBf Holdings Bhd dan Vintage Developers Sdn Bhd untuk menyelesaikan isu perumahan bekas pekerja ladang ini.

20190415 - Padang Mehaindex

Pekerja-pekerja di Ladang Padang Meha ataupun dikenali sebagai Ladang Hup Seng, telah diberhentikan kerja oleh majikan Asiatic Company (Malaysia) Bhd (EACM) pada tahun 1995 apabila ladang tersebut dijual kepada syarikat MBf. Pekerja-pekerja berkenaan ditawarkan pampasanyang amat sedikit mengikut Akta Kerja. Wang pampasan tersebut tidak mencukupi dan tidak setimpal dengan pengorbanan pekerja. Bekas pekerja Ladang Padang Meha telah memohon skim perumahan alternatif daripada pihak MBf.  Wang sejumlah RM 3.3 juta turut diberikan kepada pihak MBf oleh majikan asal pekerja untuk menyelesaikan isu tuntutan mereka, tetapi perkara ini hanya didedahkan semasa berjalannya kes mahkamah.

Kemudiannya, syarikat Alamanda Development Sdn Bhd (anak syarikat MBf) bersetuju memasuki Perjanjian Penyelesaian pada tahun 1997, yang berjanji untuk membina 240 unit rumah kos rendah dan menjual rumah-rumah ini kepada pekerja yang menduduki Ladang Padang Meha dengan harga RM 12,500 sebuah rumah. Bekas pekerja lain yang tidak lagi mendiami di ladang akan diberikan rumah dengan harga RM 25,000 seunit. Syarikat Alamanda turut bersetuju untuk bayaran pampasan ex-gratia kepada pekerja-pekerja.

Namun, perjanjian ini tidak dilaksanakan dan kemudiannya pihak bekas pekerja berjaya mendapat satu keputusan mahkamah pada 2011 yang memberikan wang ex-gratia dan RM 22,500 setiap seorang pekerja sebagai pampasan rumah. Keputusan mahkamah ini juga tidak dilaksanakan kerana Syarikat Alamanda telah mengisytiharkan dirinya muflis dalam tempoh masa itu. Akhirnya, satu lagi kes mahkamah telah dibawa oleh bekas pekerja pada tahun 2016. Keputusan kes mahkamah ini pada tahun 2018 adalah amat mengecewakan kerana bekas pekerja hanya diberi wang pampasan ex-gratia tanpa faedah sepertimana yang ditawarkan pada tahun 1995 dan tiada pampasan perumahan.

Kes tersebut kemudian telah dibawa ke Mahkamah Rayuan di Putrajaya dan keputusan pada 4 April 2019 adalah pihak MBf perlu mengembalikan wang sejumlah RM 3.3 juta yang diberikan oleh majikan asal pada tahun 1995 kepada bekas pekerja. Keputusan ini turut membuktikan bahawa pihak MBF telah memegang wang pampasan untuk bekas pekerja Ladang Padang Meha selama 24 tahun dan tidak pernah berniat untuk memulangkannya. Selama ini juga, pihak syarikat MBf telah “menelan” wang faedah yang sepatutnya dinikmati oleh bekas pekerja. Ini bermaksud setiap pekerja akan hanya mendapat lebih kurang RM 16,000 hasil daripada keputusan mahkamah terbaru. Keputusan mahkamah ini menawarkan wang pampasan yang tidak mencukupi untuk bekas pekerja Ladang Padang Meha untuk memiliki rumah sendiri pada masa kini.

Lebih teruk lagi, pihak syarikat MBf Holdings, melalui anak syarikatnya, telah memotong bekalan air beberapa hari selepas keputusan mahkamah yang berpihak pada bekas pekerja, dengan niat memaksa mereka keluar dari rumah di ladang tersebut walaupun tuntutan bekas pekerja untuk perumahan alternatif belum ditunaikan. Keputusan mahkamah pada tahun 2018 menyatakan bahawa penduduk tidak perlu keluar dari rumah yang diduduki mereka sehingga pemberian wang pampasan diselesaikan. Ternyata tindakan pihak syarikat Vintage Developers Sdn Bhd dan MBf Holdings tidak menghormati perintah mahkamah.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s