20190414 - rantauPeta-Dun-Rantau-N27.jpgPakatan Harapan (PH) kalah 3 kali berturut-turut dalam pilihanraya kecil (PRK) baru-baru ini, setelah gagal merampas kerusi DUN Rantau daripada Barisan Nasional (BN). Ini memberi satu amaran lagi kepada PH bahawa sokongan terhadapnya semakin merosot adalah sesuatu yang tidak boleh dinafikan.

Calon BN, Mohamad Hasan, yang merupakan Pemangku Presiden UMNO dan juga pernah menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan untuk 3 penggal (2004-2018), meraih sebanyak 10,397 undi, bersamaan 63.22% daripada jumlah undi, membolehkannya mempertahankan kerusinya yang dimenangi sejak tahun 2004. Calon PH, Streram Sinnasamy daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), hanya mendapat 5,887 undi (35.80%), menemui kegagalan dalam merampas kerusi DUN Rantau dari BN dan menghalang momentum kemenangan BN dalam PRK. Dua orang lagi calon bebas yang bertanding dalam PRK Rantau kali ini, Malar Rajaram dan Mohd Nor Yasin, hanya memperoleh 83 dan 79 undi masing-masing. Peratusan keluar mengundi ialah 79.31%.

PRK Rantau diadakan setelah mahkamah memutuskan bahawa keputusan semasa PRU-14 yang memperlihatkan kemenangan Mohamad Hasan tidak sah. Mohamad Hasan menang tanpa bertanding di kawasan DUN Rantau semasa PRU-14, apabila satu-satu pencabarnya, iaitu Streram Sinnasamy daripada PKR dilarang masuk ke dalam pusat penamaan calon untuk menyerahkan borang penamaannya. Streram Sinnasamy dan PKR mendapat peluang kedua untuk bertanding di Rantau, tetapi gagal menggunakan peluang ini untuk merampas kerusi DUN ini daripada BN ataupun sekurang-kurangnya merapatkan jurang perbezaan undi.

Peratusan undi (63.22%) yang diperoleh Mohamad Hasan tidak berbeza banyak berbanding undinya dalam PRU tahun 2013 (64.75%), tetapi kali ini BN bukan lagi parti pemerintah. PH gagal menggunakan kelebihannya sebagai parti pemerintah di peringkat Negeri Sembilan dan Persekutuan, untuk meraih lebih undi. Adalah menjadi satu amaran dan persoalan yang perlu ditanya oleh pemimpin PH sendiri, kenapa pengundi masih mengundi semula UMNO-BN sedangkan PH berada dalam kedudukan yang mampu membawa pembaharuan yang bermakna untuk rakyat?

Kemenangan 3 kali berturut-turut dalam PRK untuk BN, sudah pastinya memberi keyakinan baru kepadanya untuk bangkit semula daripada kekalahannya dalam PRU-14, dan meneruskan formula kerjasama politik dengan Parti Islam Se-Malaysia (PAS). UMNO turut terselamat untuk ketika ini dengan kemenangan selesa Timbalan Presidennya dalam PRK Rantau. Sebelum ini, UMNO berada di ambang kehancuran diri selepas PRU-14, dengan ramai pemimpinnya melompat parti menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang merupakan sebahagian daripada gabungan parti pemerintah PH. Namun, sifat politik asas UMNO masih tidak berubah dengan puak yang berfahaman konservatif masih menguasai halatujunya.

Kekalahan 3 kali berturut-turut dalam PRK untuk PH, memberi petanda bahawa sambutan dan sokongan rakyat terhadap Kerajaan PH sudah tidak sehebat seperti setahun dahulu. Keadaan ekonomi yang menyebabkan tekanan hidup semakin hebat di kalangan rakyat biasa, menimbulkan ketidakpuasan hati mereka. PH tidak boleh lagi menggunakan alasan menolak segala punca masalah kepada parti pemerintah sebelum ini ataupun mengatakan perlu lagi banyak masa untuk melakukan perubahan. Serangan terhadap bekas Perdana Menteri Najib Razak (walaupun Najib boleh lagi menerima hukuman terhadap kesalahan penyelewengan kuasa jika disabit) sudah tidak berkesan lagi, kerana rakyat lebih inginkan perubahan yang sebenar dari segi peningkatan kualiti kehidupan berbanding menonton sandiwara politik yang tidak kehabis-habisan. Kerajaan PH juga gagal melibatkan rakyat terbanyak secara demokratik dalam proses politik pembaharuan, sehingga memberi ruang kepada perkembangan politik yang lebih bersifat reaksioner dan masih mempermainkan sentiment perkauman sama ada secara tersurat ataupun tersirat. Jika kerajaan PH tidak mampu mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap proses pembaharuan dan melibatkan rakyat terbanyak dalamnya, tidak hairan kerajaan PH di peringkat Persekutuan dan beberapa buah negeri hanya bertahan untuk sepenggal.

Sebanyak 7 PRK telah diadakan dalam setahun lalu selepas PRU-14, dengan PH memenangi 4 PRK yang pertama, tetapi BN pula menang dalam 3 PRK yang terbaru. BN berjaya merampas kerusi DUN Semenyih di Selangor daripada PH, sementara PRK yang lain dimenangi oleh parti yang menang sebelum itu. PRK yang seterusnya akan diadakan untuk kerusi Parlimen Sandakan pada 11 Mei 2019.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *