20190309_110842

oleh Soh Sook Hwa

Ia berlaku di perjalanan pergi-balik sekolah. Anda berjalan berseorangan dan tersempak seorang lelaki yang tidak dikenali di lorong yang agak sunyi. Dia kelihatan bersenyum di muka dan tiba-tiba tanggalkan seluarnya.

Ia berlaku di dalam bas. Lelaki yang duduk bersebelahan dengan anda “mengimbas” tubuh badan anda dari kepala samapi ke hujung kaki. Dia menggerakkan badannya secara perlahan sehingga sikunya “tersentuh” pinggang anda. Sentuhan itu tidak terlalu kerap supaya anda teragak-agak untuk bertindak.

Ia berlaku di tempat kerja. Senior anda yang “mesra” orangnya suka sembang lucah. Dia suka meletakkan tangan dia di bahu anda semasa bercakap dengan anda. Dia komen tentang bentuk badan perempuan lain di depan anda.

Percayalah, 99% wanita mengalami sekurang-kurangnya satu situasi di atas atau situasi yang agak sama dalam seumur hidupnya. Semakin rendah kedudukan masyarakat wanita itu, semakin kerap dia mengalami situasi sebegini.

Mengapa? Kerana wanita dilihat sebagai objek seks adalah sebahagian budaya masyarakat kita. Bentuk badan dan wajah wanita selalu dijadikan buah mulut. Iklan menggunakan badan wanita untuk menjual produk. Wanita dijadikan komoditi tetapi tidak dilihat sebagai subjek yang ada personaliti tersendiri dan bermaruah. Maka, kamu boleh cuba (try) sesuka hati sahaja kalau kamu rasa nak cuba.

Dalam banyak situasi, gangguan seksual berlaku bukan kerana satu pihak sangat tertarik oleh satu pihak yang lain sehingga tidak tahan untuk menunjukkan perasaan itu. Gangguan seksual adalah manipulasi kuasa. Gangguan seksual berlaku kerana satu pihak rasa dia ada kuasa untuk melakukan apa yang dia suka terhadap satu pihak lain.

Mangsa gangguan seksual tidak terhad kepada wanita sahaja, tetapi mereka yang barangkali dianggap kerdil, tidak berkuasa dan boleh dimanipulasi. Pelaku gangguan seksual tidak terhad kepada orang yang tidak dikenali, tetapi kebanyakan masanya adalah orang yang dikenali oleh mangsa.

Pengganggu selalunya berciri manipulatif. Mereka akan mencari mangsa yang dia rasa senang dimanipulasinya. Adakala mereka menyerang secara rambang, tetapi juga pandai merancang, “menguji sempadannya” dan mencari peluang. Corak gerak-geri mereka ini senang dikesan jika kita mengkaji tingkahlaku mereka.

Kebanyakan kes gangguan seksual tidak dilaporkan kerana budaya dan stigma masyarakat yang lebih cenderung kepada menyalahkan mangsa tetapi bukan pelaku. Beban membuktikan kes terletak di pihak mangsa, namun bukti itu selalunya sukar dikumpul dan diremeh-temehkan oleh banyak pihak.

Padahalnya, mangsa sendiri selalunya teragak-agak untuk mengambil tindakan. Mereka akan terasa serba salah kerana kurang pasti jika dirinya diambil kesempatan. Walaupun mereka berasa tidak selesa terhadap kelakuan pengganggu, mereka selalunya menafikan perasaan itu. Mereka bertahun-tahun sudah biasa menafikan diri sendiri. Apatah lagi budaya dan stigma masyarakat yang amat menganiayai mangsa?

Apabila satu kes dibangkitkan, bukankah tanggungjawab kita menghulurkan tangan kepada mangsa daripada melontarkan pelbagai tohmahan terhadap mereka yang membawa isu itu?

Gangguan seksual tidak berlaku di dalam vakum dan ia perlu difahami dalam konteks patriarki. Ia bukan sekadar pandangan atau sikap berlainan tentang perhubungan. Ia adalah pencabulan hak. Ia adalah sejenis penindasan.

Selagi masyarakat kita mengagungkan patriarki dan berpihak pada mereka yang berkuasa, penindasan termasuk gangguan seksual akan tetap bertapak dalam masyarakat kita.

==========

Soh Sook Hwa ialah Bendahari Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s