20190321 - subang.jpgSUBANG JAYA, SELANGOR – 21 MAC 2019: 4 orang pekerja kontrak berjaya mendapat balik gaji sebulan yang tidak dibayar 3 tahun dahulu pada hari ini setelah bekas majikan bersetuju untuk membayar.

4 orang pekerja ini ialah pekerja pembersihan yang diupah oleh kontraktor Sekilas Enterprise pada bulan Mei 2013 hingga Mei 2016. Mereka bekerja di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil RRI Sungai Buloh, Shah Alam, Selangor. Gaji bulan terakhir sebelum tamat tempoh kontrak mereka, iaitu gaji untuk bulan Mei 2016, tidak dibayar oleh majikan mereka masa itu.

Dengan bantuan daripada PSM Subang, pekerja-pekerja ini telah memfailkan kes di Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Cawangan Subang Jaya pada 28 Februari 2019.

Dalam rundingan yang diadakan di  JTK Subang Jaya pada hari ini, bekas majikan untuk 4 orang pekerja ini bersetuju untuk membayar balik gaji mereka yang tertunggak itu secara ansuran, iaitu RM 300 sebulan untuk selama 3 bulan. Majikan juga berjanji akan menjelaskan bayaran caruman wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk salah seorang pekerja yang tidak dibayar KWSP.

M. Partheeban daripada PSM Subang turut hadir bersama dengan pekerja-pekerja tersebut di JTK Subang Jaya pada hari ini.

Sistem penyumberan luar (outsourcing) perkhidmatan sokongan di premis kerajaan, memang tidak memberi perlindungan kerja yang sewajar kepada pekerja. Terdapatnya kontraktor yang tidak bertanggungjawab memburukkan lagi keadaan pekerja. Hanya apabila pekerja tampil ke depan untuk memperjuangkan hak mereka, baru dapat menuntut semula sebahagian hak mereka. Cara yang paling berkesan untuk memberi perlindungan berterusan kepada pekerja-pekerja perkhidmatan sokongan seperti pekerja pembersihan di sekolah, adalah menghapuskan sistem kontrak atau penyumberan luar dan menggantikannya dengan menjadikan semua pekerja ini sebagai pekerja tetap yang diupah terus oleh kerajaan.

One thought on “Pekerja pembersihan dapat balik gaji sebulan yang tertunggak 3 tahun dahulu

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *