Water_For_All_2019_Theme.jpg

22 Mac setiap tahun ialah Hari Air Sedunia. Hari ini disambut sebagai usaha menggalakkan pengurusan yang mampan terhadap sumber air tawar. Pada tahun 1992, Persidangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Alam Sekitar dan Pembangunan (UNCED) ataupun dikenali sebagai Persidangan Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro, telah mencadangkan untuk mendedikasikan satu hari di peringkat antarabangsa bagi meraikan air sebagai sumber kehidupan manusia. Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu kemudiannya meluluskan resolusi A/RES/47/193 pada 22 Disember 1992, untuk mengisytiharkan 22 Mac setiap tahun sebagai Hari Air Sedunia, mulai tahun 1993. Sambutan Hari Air Dunia yang pertama diadakan pada 22 Mac 1993.

Sambutan Hari Air Sedunia dianggap sebagai satu peluang untuk rakyat sedunia mengetahui lebih banyak mengenai isu-isu berkaitan air, dan mendapat ilham supaya memberitahu kepada orang lain serta mengambil tindakan untuk membuat perubahan. Setiap tahun, Pertubuhan Air PBB (UN-Water), iaitu badan yang menyelaraskan kerja PBB mengenai air dan sanitasi, akan menetapkan satu tema untuk Hari Air Sedunia bersesuaian dengan cabaran sekarang atau masa depan.

Tema sambutan untuk Hari Air Sedunia tahun ini ialah “Tiada Seorang Akan Ditinggalkan Belakang” (Leaving No One Behind). Tema ini dipilih untuk menyatakan hasrat dunia untuk mengendalikan krisis air dengan menangani sebab-sebab kenapa begitu ramai orang ditinggalkan di belakang. Kumpulan-kumpulan masyarakat yang terpinggir, termasuk wanita, kanak-kanak, orang asal, orang kurang keupayaan dan ramai lagi, seringkali terlepas pandang dalam proses pembuatan dasar, dan menghadapi diskriminasi ketika mereka cuba mengakses air yang selamat.

 

Akses kepada air yang bersih dan selamat ialah hak asasi manusia

Pada 28 Julai 2010, Perhimpunan Agung PBB telah meluluskan resolusi A/RES/64/292 untuk mengiktiraf hak mendapatkan air minimum bersih sebagai hak asasi manusia yang penting untuk kelangsungan kehidupan yang sepenuh. Hak asasi manusia untuk air memberi hak kepada semua orang tanpa diskriminasi untuk mendapatkan air yang mencukupi, selamat, boleh diterima, boleh diakses secara fizikal dan mampu bagi tujuan kegunaan diri dan keluarga, termasuk air untuk minum, sanitasi, pencucian pakaian, penyediaan makanan dan kebersihan rumah tangga.

Namun, penduduk dunia pada pada hari ini menghadapi masalah air yang membimbangkan, antaranya:

  • 1 bilion penduduk dunia hidup dalam keadaan tanpa air yang selamat di rumah.
  • 1 daripada 4 sekolah rendah tiada perkhidmatan air minimum, dengan murid-murid di situ terpaksa menggunakan sumber air yang tidak terlindung atau menghadapi kedahagaan.
  • Lebih 700 orang kanak-kanak di bawah umur 5 tahun mati setiap hari kerana cirit-birit yang berkaitan dengan air yang tidak selamat atau sanitasi yang teruk.
  • 80% orang yang terpaksa menggunakan sumber air yang tidak selamat dan tidak dilindungi tinggal di kawasan luar bandar.
  • Wanita bertanggungjawab untuk mengumpulkan air dalam 8 daripada 10 keluarga yang tiada bekalan air.
  • Lebih 800 orang wanita mati setiap hari daripada komplikasi semasa mengandung dan melahirkan anak.
  • Untuk 68.5 juta orang yang terpaksa melarikan diri dari kampung halaman mereka, menghadapi masalah mengakses air yang selamat.
  • Lebih kurang 159 juta orang mengumpul air minimum mereka daripada air permukaan bumi, seperti kolam dan sungai.
  • Lebih kurang 4 bilion orang, iaitu hampir 2/3 daripada jumlah penduduk dunia, mengalami masalah kekurangan air yang teruk sekurang-kurangnya sebulan dalam setahun.
  • 700 juta orang di seluruh dunia berkemungkinan akan dipindahkan menjelang tahun 2030 kerana kekurangan air yang teruk.

Perubahan iklim juga sedang mengancam akses kepada air yang bersih dan selamat. Kemarau yang berpanjangan akibat daripada perubahan corak iklim memburukkan lagi masalah kekurangan air.

Di Malaysia, walaupun negara kita kaya dengan sumber alam termasuk air, tetapi kita turut menghadapi ancaman krisis air. Banyak air dibazirkan akibat daripada penggunaan air yang tidak efisien dalam aktiviti perindustrian dan pertanian, begitu juga dengan pembaziran air dalam kegunaan domestik.

Penswastaan sektor air turut mengundang pelbagai masalah kepada rakyat. Penswastaan air bukan sahaja tidak mengurangkan kos pengurusan air, malah membebankan rakyat dengan tarif air yang meningkat dan masalah pengurusan yang tidak kehabis-habisan. Di negeri Selangor yang menghadapi krisis air yang berlarutan untuk bertahun-tahun lamanya, Kerajaan Negeri terpaksa juga mengambilalih semula syarikat pembekalan air.

Pencemaran air juga amat serius di Malaysia dan mendatangkan kesan negatif terhadap kemampanan sumber air. Penebangan hutan yang berleluasa juga mengancam jaminan bekalan air kerana kawasan tadahan air semakin berkurangan.

Dengan menyedari kepentingan air sebagai sumber kehidupan kita yang paling utama, kita perlu mengambil langkah untuk melindungi sumber air kita dan memastikan kemampanan sumber air. Kita tidak boleh menyerahkan penyelesaian masalah air kepada penswastaan, sebaliknya pengurusan air perlu diletakkan sebagai tanggungjawab sepenuhnya kerajaan dengan pemantauan secara demokratik daripada rakyat secara berterusan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *