53894661_2382408145116379_183113564137979904_n.jpgKUALA LUMPUR – 16 MAC 2019: Seruan membantah perang berkumandang di Jalan Tun Razak yang sibuk pada hari ini, ketika aktivis-aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengadakan satu aksi protes di hadapan Kedutaan Besar Amerika Syarikat (AS) di Kuala Lumpur, untuk menyatakan bantahan terhadap ancaman campurtangan tentera oleh AS terhadap Venezuela.

Aksi ini diadakan bersempena dengan Hari Antarabangsa Memperjuangkan Keamanan di Venezuela yang merupakan inisiatif Perhimpunan Rakyat Antarabangsa semasa persidangan solidariti gerakan sosial dari seluruh dunia di Caracas pada penghujung bulan Februari 2019. Gerakan-gerakan rakyat di seluruh dunia memobilisasi untuk beraksi di hadapan Kedutaan AS di negara masing-masing, untuk menyatakan solidariti terhadap rakyat Venezuela yang sedang berjuang untuk keamanan negara itu dan menentang ancaman imperialis AS.

Dalam memorandum yang diserahkan kepada wakil Kedutaan AS, PSM mengecam kerajaan AS pimpinan Donald Trump yang sedang mendukung usaha rampasa kuasa yang anti-demokratik oleh golongan elit berhaluan kanan di Venezuela.

Selain sekatan ekonomi yang menjejaskan secara teruk kehidupan rakyat Venezuela, kerajaan AS juga sedang mengancam untuk mengambil tindakan ketenteraan terhadap Venezuela dan menyokong cubaan rampasan oleh golongan berhaluan kanan, termasuk menyokong Juan Guaidó sebagai “Presiden Sementara” untuk menjatuhkan kerajaan Bolivar Venezuela yang dipimpin oleh Nicolás Maduro. Baru-baru ini, imperialis AS terlibat dalam serangan siber ke atas Venezuela yang menyebabkan gangguan bekalan elektrik di seluruh negara itu sebagai usaha terbaru untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Maduro.

Imperialis AS dan sekutunya tiada niat untuk mempertahankan hak demokratik dan kesejahteraan rakyat Venezuela, tetapi hanya berminat untuk menguasai simpanan minyak petroleum yang terbesar di dunia dan menghancurkan segala pencapaian sosial Revolusi Bolivar selama 20 tahun yang lalu. Dasar agresif AS di bawah kepimpinan Trump adalah tayangan ulangan campurtangan imperialis untuk perubahan rejim di negara yang kaya dengan minyak seperti Iraq dan Libya.

Ven-01

PSM mendesak kerajaan AS supaya:

  • Menghentikan ancaman campurtangan ketenteraan terhadap Venezuela;
  • Menghentikan sokongannya kepada cubaan rampasan kuasa oleh golongan berhaluan kanan di Venezuela;
  • Menghentikan segala sekatan terhadap Venezuela.

PSM menegaskan pendiriannya yang menyokong keamanan dan dialog, di samping menolak campartangan imperialis di Venezuela. “Solidariti kami adalah bersama rakyat Venezuela dalam perjuangan mereka untuk menentang campurtangan imperialis dan mempertahankan kedaulatan demokratik Republik Bolivar Venezuela,” begitu tulisnya dalam memorandum hari ini.

Memorandum daripada PSM telah diserahkan kepada wakil Kedutaan AS. Turut bersama dalam aksi hari ini ialah aktivis daripada Parti Murba.

Ven-0877
Ahli Jawatankuasa PSM S. Arutchelvan menyampaikan ucapan dalam aksi solidariti untuk Venezuela.
Ven-09
Setiausaha Agung PSM A. Sivarajan berucap dalam aksi solidariti untuk Venezuela.
Ven-0999a
Polis cuba menghalang aktivis PSM daripada menyeberangi jalanraya.
Ven-0444
Wakil daripada PSM dan Parti Murba menyerahkan memorandum bantah ancaman perang AS terhadap Venezuela di hadapan Kedutaan AS di Kuala Lumpur

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *