20190707 - klima8.jpgKUALA LUMPUR – 7 JULAI 2019: Satu aksi protes ilklim, #MYClimateRally, telah diadakan pada hari ini di ibu negara, dengan tuntutan yang menggesa Kerajaan Malaysia supaya bertindak serta-merta untuk membendung ancaman perubahan iklim di Malaysia.

Lebih 100 orang telah mengambil bahagian dalam aksi hari ini yang melibatkan perarakan dari Masjid Jamek ke Dataran Merdeka. Para peserta telah mempamerkan plakad dan sepanduk yang berwarna-warni untuk menyuarakan keprihatinan mereka terhadap ancaman krisis iklim yang semakin menjadi-jadi, di samping mengadakan aksi simbolik untuk mengingatkan semua orang tentang ancaman kemusnahan ekologi di Bumi.

20190707 - klima.jpg

Aksi ini dianjurkan oleh Klima Action Malaysia (KAMY), sebuah gerakan yang terdiri daripada kumpulan dan individu yang menuntut keadilan iklim di Malaysia di samping memperjuangkan pendekatan yang demokratik terhadap tindakan iklim.

Para peserta aksi menggesa Kerajaan Malaysia supaya mengisytihar Darurat Iklim, supaya langkah-langkah segera dapat diambil untuk menangani isu krisis iklim yang semakin genting pada ketika ini. Kita tidak mempunyai masa yang banyak untuk mengelakkan daripada ancaman bencana alam yang serius akibat daripada krisis iklim sedunia. Laporan Khas mengenai Pemanasan Global 1.5 °C oleh Panel Antara Kerajaan tentang Perubahan Iklim (IPCC) yang diterbitkan pada bulan Oktober tahun lalu, telah memberi amaran bahawa bumi kita hanya tinggalnya tempoh masa 11 tahun dari sekarang untuk mengelak daripada kesan-kesan terburuk akibat bencana iklim yang tidak terkawal seperti kemarau, banjir, kepanasan melampau, sehingga kekurangan makanan, sejumlah besar orang menjadi pelarian iklim dan kemiskinan untuk ratusan juta orang.

20190707 - klima4.jpg

Sebagai penganjur aksi protes iklim di Kuala Lumpur hari ini, KAMY telah menegaskan pendiriannya bahawa kemusnahan ekologi, kematian biodiversiti dan komuniti Orang Asli yang berlarutan akibat kepincangan kerajaan pusat dan negeri dalam pengurusan sumber alam semulajadi tidak boleh dibiarkan berterusan dan tidak berjawab.

Dalam Deklarasi KAMY, seruannya berbunyi: “Kami menggesa semua pihak untuk menyedari betapa kritikalnya isu perubahan iklim dalam pergerakan sosio ekonomi dan politik negara. Bolehkah masa hadapan Malaysia bertahan jika kita terus berdiam diri? Generasi muda kita akan mewarisi legasi kemusnahan dan bakal menunding jari kepada kegagalan kita untuk bertindak. Malaysia berdepan dengan satu krisis eksistensial!”

“Apabila kerajaan gagal untuk menjamin perlindungan, keselamatan dan kesejahteraan rakyatnya dan masa depan negara, adalah menjadi hak dan tanggungjawab rakyat untuk bersuara!”

“KAMY menggesa semua pihak dari pelbagai latar belakang dalam lapisan sektor dan masyarakat untuk mengambil bahagian dan tindakan untuk menggesa ahli politik negara supaya mengambil isu perubahan iklim sebagai satu KRISIS!”

20190707 - klima3.jpg

Isu-isu yang diketengahkan dalam aksi protes hari ini termasuk pencemaran alam sekitar, pembalakan yang tidak terkawal, penambakan laut dan sebagainya. Aksi protes ini merupakan sebahagian daripada gelombang aksi menuntut keadilan iklim yang sedang merebak di seluruh dunia.

Aktivis-aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) juga menyertai aksi protes anjuran KAMY ini untuk bersolidariti dengan usaha masyarakat sivil dalam memperjuangkan keadilan iklim demi masa depan Bumi kita yang mampan.

20190707 - klima5

20190707 - klima6index

One thought on “Aksi rakyat gesa Kerajaan isytihar Darurat Iklim

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *