xpasir-681x511.jpg.pagespeed.ic.cWNIjKMZ_V

Beberapa hari ini, seluruh rakyat Malaysia telah dikejutkan dengan berita pencemaran sisa kimia berbahaya di Pasir Gudang, Johor. Dilaporkan bahawa gas toksik daripada sisa kimia yang dibuang dalam Sungai Kim Kim telah menyebabkan lebih 900 orang terkesan dan terpaksa mendapatkan rawatan perubatan selepas terhidu gas toksik daripada sisa buangan kimia, termasuk guru-guru dan pelajar-pelajar sekolah. Lebih 200 orang telah dimasukkan ke dalam hospital dengan 9 orang berada di unit penjagaan rapi (ICU) untuk rawatan.

Kementerian Pendidikan telah mengarahkan untuk menutup 111 buah sekolah di daerah Pasir Gudang berkuatkuasa serta-merta pada 13 Mac 2019 sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Peristiwa pencemaran sisa kimia yang membahayakan kesihatan orang ramai ini mula dikesan pada 7 Mac 2019, apabila dua buah sekolah di situ mengesan persekitaran usara yang berbau bahan kimia diikuti dengan kejadian pelajar-pelajar mengalami symptom pening kepala, mual dan muntah-muntah. Kesan pencemaran menjadi semakin serius apabila semakin ramai orang jatuh sakit akibat daripada terhidu gas toksik.

Tiga orang lelaki termasuk dua pemilik kilang tayar kitar semula ditahan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Johor pada 11 Mac 2019 kerana disyaki membuang sisa bahan kimia ke dalam Sungai Kim Kim. Mereka dikenalpasti sebagai suspek utama yang menyebabkan pencemaran di Sungai Kim Kim dan akan didakwa di bawah Seksyen 34(B) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Pensampelan ke atas air Sungai Kim Kim mendapati air sungai mengandungi bahan kimia pelarut organik seperti benzena, xilena dan etilbenzena, serta D-limonene yang dihasilkan daripada proses penguraian tayar.

Menurut Yeo Bee Yin selaku Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, kerajaan telah melantik kontraktor untuk membersihkan sisa bahan kimia berbahaya di Sungai Kim Kim dan pegawai JAS akan memantau kerja pembersihan supaya dilakukan dengan teliti. Pihak JAS juga mengenalpasti sebanyak 252 kilang kimia di sekitar Pasir Gudang dan kesemuanya akan diperiksa dan dipantau dalam tempoh terdekat. Kerajaan Persekutuan dikatakan telah memperuntukkan sebanyak RM 8 juta untuk kerja-kerja pembersihan di Sungai Kim Kim, sementara Kerajaan Negeri Johor juga meluluskan peruntukan kecemasan sebanyak RM 6.4 juta untuk tujuan serupa.

Bencana pencemaran kimia terbaru di Johor ini mengingatkan kita bahawa isu pembuangan sisa perindustrian oleh pihak yang mengutamakan keuntungan merupakan satu masalah serius yang memudaratkan kesihatan rakyat sekiranya tidak dibendung dari awal lagi. Walaupun perkara yang perlu diberi fokus pada takat ini adalah memberi bantuan kepada mangsa-mangsa pencemaran dan melakukan kerja-kerja pembersihan untuk mengurangkan kesan pencemaran, tetapi kita tidak boleh mengelakkan daripada mengenalpasti di mana wujudnya kelemahan dalam sistem yang sedia ada yang menyebabkan peristiwa sebegini boleh berlaku. Selain mendakwa dan menjatuhkan hukuman ke atas pihak yang membuang sisa bahan kimia secara tidak bertanggungjawab, kita juga perlu mengenalpasti kelemahan dalam sistem pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang perlindungan alam sekitar yang sedia ada supaya masalah sebegini tidak berulang lagi di mana-mana pun.

Sekiranya kerajaan mengambil tindakan tegas sejak dahulu lagi dalam mengawalselia dan mengawasi kegiatan perindustrian yang boleh mencemarkan alam sekitar, bencana yang membahayakan nyawa orang ramai sebegini dapat dielakkan atau dibendung dari awal lagi. Kerajaan tidak boleh melarikan diri daripada tanggungjawab atas kegagalannya untuk menghalang bencana buatan manusia sebegini daripada berlaku.

Memang wujudnya peruntukan dalam undang-undang sedia ada untuk melindungi rakyat dan alam sekitar daripada ancaman pencemaran, tetapi kita perlukan pengawasan yang lebih rapi dan penguatkuasaan yang tegas.

One thought on “Pencemaran sisa kimia di Pasir Gudang tidak patut berulang lagi… di mana-mana pun

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *