20190309_110800

KUALA LUMPUR – 9 MAC 2019: Jalanraya di pusat bandaraya Kuala Lumpur menjadi meriah dengan seruan menegakkan hak wanita pada hari ini apabila ratusan rakyat berarak bersempena dengan sambutan Hari Wanita Sedunia.

Plakad dan sepanduk yang berwarna-warni dengan mesej menuntut hak wanita dan kesamarataan gender, diiringi dengan laungan seperti “patriarki pergi mati”, “wanita bangkit”, “jangan kacau LGBT” dan sebagainya, telah menghiasi dan menyerikan barisan perarakan pada hari ini. Rakyat daripada pelbagai latar belakang, tanpa mengira kaum, agama, gender dan orientasi seksual, telah menyertai perarakan yang bermakna ini dengan seruan menuntut kesamarataan gender.

Aksi perarakan sambutan Hari Wanita Sedunia tahun ini di Malaysia dianjurkan oleh jawatankuasa yang terdiri daripada kumpulan-kumpulan berbentuk kolektif, badan-badan bukan kerajaan dan individu-individu yang prihatin pada hak wanita. Selain Kuala Lumpur, aksi sambutan Hari Wanita Sedunia yang sama turut diadakan di Kota Kinabalu.

Peserta-peserta aksi telah berhimpun di hadapan pusat beli-belah Sogo di pusat bandaraya Kuala Lumpur, sebelum berarak dengan penuh bersemangat ke Dataran Merdeka. Wakil-wakil daripada pelbagai kumpulan masyarakat, individu-individu aktivis dan ramai lagi telah berucap dalam perhimpunan di Dataran Merdeka. Pelbagai isu telah dibangkitkan seperti rogol, gangguan seksual, diskriminasi di tempat kerja, pengiktirafan pekerja seks, layanan yang samarata untuk golongan minoriti seksual dan sebagainya. Kebanyakan isu berkaitan dengan kesamarataan gender tidak diambil berat oleh ahli-ahli politik aliran utama, dan ini perlu diketengahkan untuk perbincangan umum supaya kita dapat membina kesedaran di kalangan masyarakat demi mendesak perubahan dasar.

Sambutan Hari Wanita Sedunia di Malaysia yang bertemakan “Hentikan Keganasan, Hormati Perempuan” pada tahun ini telah mengetengahkan 5 tuntutan utama, iaitu:

  1. Hentikan keganasan berdasarkan gender dan orientasi seksual;
  2. Haramkan perkahwinan kanak-kanak;
  3. Pastikan hak dan kebebasan untuk membuat pilihan terhadap tubuh dan diri sendiri;
  4. Pastikan gaji minimum bermaruah RM1,800;
  5. Hancurkan patriarki dan bina demokrasi di setiap lapisan masyarakat.

Di samping itu, sambutan Hari Wanita Sedunia tahun ini turut mengemukakan tuntutan tambahan dari Sabah, iaitu:

  1. Melaksanakan kurikulum wajib pendidikan seks komprehensif di semua institusi pendidikan dan tempat kerja;
  2. Responden polis untuk mengenal pasti individu terimpak sebagai rentan, selamat dan segera memulakan siasatan ke atas laporan rogol dan serangan seksual;
  3. Integrasi dan implementasi Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) di seluruh negara dan pelbagai sektor
  4. Ruang awam, swasta dan peribadi yang selamat dan bebas dari kekerasan, ketakutan terhadap kekerasan, dan perlecehan untuk mendorong semua gender mengembangkan potensi mereka sepenuhnya, dan mengatasi halangan yang mencegah mereka daripada mengakses hak-hak mereka untuk pendidikan, pekerjaan, dan penjagaan kesihatan.

20190309_104350

Sambutan Hari Wanita Sedunia merupakan satu hari yang penting untuk kita memperingati perjuangan wanita sebelum ini yang berjaya mendapatkan hak samarata untuk wanita dan menjadi inspirasi kita untuk terus memperjuangkan pembebasan wanita serta layanan yang samarata untuk semua tanpa mengira gender atau orientasi seksual. Kita perlu melawan sistem patriarki (iaitu sistem kekuasaan masyarakat yang tertumpu dalam tangan golongan lelaki) dan kapitalisme (iaitu sistem ekonomi yang berteraskan keuntungan golongan korporat) secara bersama untuk pembebasan wanita yang sebenar dan membina sebuah masyarakat yang adil bagi semua.

2 thoughts on “Seruan Hari Wanita: Hentikan keganasan, hormati perempuan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *