53061972_1455161607952784_7346593516027379712_n.jpg

Calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) untuk Pilihanraya Kecil (PRK) Semenyih, Nik Aziz Afiq, nampaknya jauh lebih menyerlah dalam pelbagai segi berbanding calon-calon lain, sama ada calon daripada Pakatan Harapan, Basisan Nasional atau calon bebas.

Ketika calon-calon daripada parti politik aliran utama yang memerlukan pemimpin kanan yang terkenal ataupun “bintang” politik datang berkempen untuk mereka, malah ada yang memerlukan tukang jawab soalan untuk menjawab soalan daripada pihak media, Nik Aziz Afiq menunjukkan kepimpinannya dan kualitinya sebagai seorang calon pilihanraya yang mampu membangkitkan isu rayat dalam Dewan sekiranya dipilih.

Walaupun PSM tidak mempunyai sumber kewangan yang banyak berbanding parti-parti gergasi, tetapi PSM telah berkempen secara tersusun dan bergerak dengan lancarnya sepanjang kempen PRK Semenyih. Kempen PSM turut mendapat pujian daripada pihak media, kerana paling teratur dan membawa isu-isu yang lebih penting untuk rakyat seperti kesihatan dan perumahan.

Dari segi prestasi calon setakat ini, calon PSM Nik Aziz Afiq mendahului calon-calon yang lain dalam memenuhi kriteria asas untuk seorang layak dipilih untuk menjadi wakil rakyat.

Nik Aziz Afiq merupakan satu-satunya calon daripada 4 orang calon dalam PRK Semenyih yang mengisytiharkan harta. Pengisytiharan harta oleh calon PSM, bukannya untuk menunjukkan betapa kaya atau miskin seseorang calon itu, tetapi untuk menunjukkan komitmen PSM dalam melawan rasuah dan memupuk budaya politik berintegriti di Malaysia. Sekiranya menang dalam pilihanraya, wakil rakyat PSM akan secara konsistennya mengisytihar harta setiap tahun, supaya rakyat dapat memantau wakil rakyat yang dipilih mereka sama ada dia menggunakan kedudukannya sebagai penjawat awam untuk mengkayakan dirinya sendiri ataupun keluarganya. Pengisytiharan harta untuk calon dan wakil rakyat memang bukannya sesuatu yang asing untuk PSM, kerana wakil rakyat PSM yang pernah masuk ke Dewan Rakyat dan DUN Selangor (iaitu Dr. Jeyakumar Devaraj selaku Ahli Parlimen Sungai Siput pada tahun 2008-2018 dan Dr. Nasir Hashim selaku ADUN Kota Damansara pada tahun 2008-2013) mengisytihar harta mereka setiap tahun di samping mengemukakan laporan kerja tahunan mereka untuk dinilai oleh orang ramai.

Dari segi melawan politik perkauman, Nik Aziz Afiq menjadi satu-satunya calon yang telah melafazkan ikrar anti-perkauman di depan orang ramai sehari selepas penamaan calon. Nik Aziz Afiq dan PSM berkomited untuk tidak memainkan apa-apa isu perkauman sepanjang kempen pilihanraya. Malah, PSM tidak pernah sekali-kali menggunakan isu perkauman untuk meraih sokongan. Politik PSM memfokus pada melawan penindasan kelas dan membina sebuah masyarakat yang saksama, melalui usaha membina kuasa rakyat dari bawah tanpa mengira kaum dan agama.

Calon PSM Nik Aziz Afiq juga merupakan satu-satunya calon yang mengemukakan manifesto yang komprehensif dalam PRK Semenyih. Calon-calon lain termasuk calon daripada dua parti gergasi masih tidak mengemukakan manifesto untuk pengundi Semenyih. Mungkin mereka hanya mahu memfokus untuk meraih undi dengan populariti bintang-bintang politik mereka yang mengunjungi kawasan Semenyih semasa kempen (yang kemudiannya akan hilang dari radar rakyat setempat), ataupun mereka sedar bahawa manifesto yang dikemukakan mereka itu tidak akan tercapai atau dilaksanakan seperti yang pernah berlaku sebelum ini. Manifesto itu penting kerana ia ialah tawaran politik ataupun visi seseorang calon yang dipersembahkan kepada pengundi untuk dinilai sebelum membuang undi. Sama ada janji-janji dalam manifesto itu dapat dilaksanakan selepas menang adalah satu perkara, tetapi mengemukakan manifesto pun tidak kisah, bagaimana rakyat boleh memberi kepercayaan kepada seseorang calon untuk untuk mewakili mereka dalam Dewan Perundangan?

(Kemaskini 27 Februari 2019: Calon Pakatan Harapan akhirnya mengumumkan manifestonya 3 hari sebelum pengundian.)

PSM amat memandang serius tentang manifesto pilihanraya. Manifesto PSM tidak menjanjikan bintang dan bulan, tetapi mengemukakan perkara-perkara yang berkait rapat dengan kesejahteraan dan hak asasi rakyat, seperti kesihatan, pendidikan, pengangkutan awam, perumahan, alam sekitar dan sebagainya. Walaupun dengan seorang wakil rakyat tidak akan dapat membentuk kerajaan, namun PSM akan mengoptimumkan satu-satunya wakil rakyat dalam Dewan (jika menang) untuk menyuara secara lantang isu-isu rakyat biasa dan mendesak untuk perubahan. Hanya bergantung pada wakil rakyat adalah tidak mencukupi untuk mendesak perubahan, dan kita perlu membina kuasa rakyat dari bawah untuk menjalankan kempen berterusan supaya dapat memberi tekanan yang hebat kepada pembuat dasar untuk menggubal dasar yang berpihak kepada rakyat terbanyak.

Niz Aziz Afiq juga bersedia untuk menyertai debat calon, tetapi malangnya dua orang calon daripada parti gergasi enggan berdebat. Debat calon merupakan satu platform yang penting untuk rakyat menilai dan membuat perbandingan terhadap idea-idea yang dikemukakan oleh calon. Sekiranya seseorang calon untuk tidak sanggup berdebat semasa pilihanraya, bagaimana kita dapat mengharapkannya untuk berdebat tentang isu-isu rakyat dalam dewan?

Daripada 4 perkara utama yang berkaitan dengan kriteria seorang calon yang berkualiti, Nik Aziz Afiq telah mencatatkan “markah penuh” berbanding calon-calon yang lain.

PSM bertanding dalam PRK Semenyih untuk menawarkan alternatif politik yang progresif dan segar, dengan menampilkan seorang calon yang berkualiti dan berkaliber. Pilihanraya bukannya permainan kebudak-budakan dengan sesuka hati meletakkan calon yang boleh dijadikan bahan lawak kerana kualitinya sebagai calon yang diragui. Bagi PSM, calon berkualiti tidak semestinya memiliki ijazah ataupun pendidikan yang tinggi, tetapi selagi calon itu memahami isu-isu rakyat, mampu membawa idea-idea yang berfaedah untuk rakyat dan bersedia bersuara dengan lantangnya untuk memperjuangkan kepentingan rakyat terbanyak, maka calon itu adalah calon yang terbaik untuk dipilih!

index

One thought on “Prestasi calon PSM jauh lebih baik berbanding calon lain dalam PRK Semenyih

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *