52376470_510344782822644_685887044307648512_n.jpg

SEMENYIH, SELANGOR – 17 FEBRUARI 2019: Nik Aziz Afiq Abdul, calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) untuk Pilihanraya Kecil (PRK) kawasan DUN Selangor, meneruskan amalan biasa PSM dalam pilihanraya dengan mengisytihar harta pada hari ini dalam sebuah sidang akhbar khas yang diadakan di Pasar Semenyih.

PSM pernah mencipta sejarah di Malaysia sebagai parti politik pertama yang semua calon pilihanrayanya mengisytihar harta, dan juga parti politik pertama di negara kita yang semua wakil rakyat daripadanya mengisytihar harta setiap tahun selagi memegang jawatan awam berkenaan.

Pengisytiharan harta memang bukan lagi sesuatu yang “luar biasa” untuk PSM. Pengisytiharan harta merupakan salah satu perkara yang wajib dilakukan oleh semua calon PSM yang mengambil bahagian dalam pilihanraya sejak tahun 1999. PSM juga menetapkan syarat kepada semua ahli PSM untuk mengisytihar harta sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat. Dr. Jeyakumar Devaraj (Ahli Parlimen kawasan Sungai Siput untuk dua penggal, 2008-2018) dan Dr. Nasir Hashim (ADUN Selangor kawasan Kota Damansara pada penggal 2008-2013), telah mengisytihar harta mereka setiap tahun semasa mereka memegang jawatan wakil rakyat. Malah, ahli-ahli majlis tempatan daripada PSM yang dilantik oleh Kerajaan Negeri Selangor pada tahun 2008-2013 (S. Arutchelvan, A. Sivarajan dan V. Selvam) turut mengisytihar harta walaupun mereka tidak dipilih melalui pilihanraya tetapi jawatan tersebut merupakan perwakilan masyarakat umum yang diamanahkan untuk menjaga kepentingan rakyat setempat.

Nik Aziz Afiq, selaku calon PSM dalam PRK Semenyih, telah menyambung tradisi pengisytiharan harta calon PSM ini. Menurut Nik Aziz, PSM meletakkan syarat pengisytiharan harta kepada semua calonnya yang bertanding dalam pilihanraya dan wakil rakyat perlu berbuat demikian setiap tahun selepas dipilih, adalah bertujuan untuk memastikan wakil rakyat yang dipilih tidak menggunakan kedudukannya sebagai wakil rakyat untuk mengkayakan dirinya atau keluarganya. “PSM berkomitmen untuk menentang rasuah,” tegas Nik Aziz.

Komitmen PSM untuk mewujudkan budaya politik yang berintegriti dan bebas rasuah melalui inisiatif pengisytiharan harta calon dan wakil rakyat, telah dicontohi oleh sebahagian calon Pakatan Harapan dalam PRU-14 dan juga menteri-menteri Kerajaan Persekutuan tetapi tidak diumumkan selengkapnya.

Nik Aziz berharap 3 orang calon lain dalam PRK Semenyih juga dapat mengisytihar harta mereka supaya menunjukkan komitmen mereka dalam membawa politik baru yang bebas rasuah.

Dalam surat akuan berkanun yang ditandatangani Nik Aziz Afiq pada 14 Februari 2019, dinyatakan bahawa jumlah aset bersih yang ada padanya adalah dianggarkan sebanyak RM 15,750. Nik Aziz memiliki sebuah kereta Perodua Axia dengan nilai semasa RM 34,000 dan wang simpanan RM 1,000. Nik Aziz masih mempunyai hutang dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang berjumlah RM 19,250. Nik Aziz sekarang ini berpendapatan bulanan RM 1,800 hasil daripada menjalankan perkhidmatan urut tradisional di Semenyih. Nik Aziz juga menyatakan perbelanjaan bulanannya yang melibatkan sewa premis kerajaan dan bayaran bil harian yang berjumlah RM 1,093.

52849491_2151996878201291_2178246720624787456_n

Semasa menjawab soalan wartawan, Nik Aziz juga mengesahkan bahawa beliau bersedia untuk menyertai perdebatan calon PRK Semenyih yang diadakan pada 25 Februari 2019.

S. Arutchelvan, Ahli Jawatankuasa Pusat PSM, berkata bahawa pengundi patut menolak calon yang enggan menyertai perdebatan antara calon-calon.

4e8f8eee-3af7-4949-88aa-cf14818fb0f5.png