SEREMBAN – 12 FEBRUARI 2019: Peneroka-peneroka Kampung Gatco (juga dikenali sebagai Kampung Serampang Indah), Jempol, Negeri Sembilan, telah mengadakan satu aksi protes di hadapan Wisma Negeri di mana terletaknya Pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan. Satu memorandum telah diserahkan kepada Kerajaan Negeri Sembilan dan para peneroka menuntut satu perjumpaan dengan Menteri Besar Aminuddin Harun untuk membincangkan penyelesaian yang adil untuk masalah tanah yang dihadapi mereka.
Para peneroka Gatco yang berkumpul di hadapan Wisma Negeri sejak pukul 11 pagi, terpaksa menunggu berjam-jam lamanya untuk mendapatkan balasan daripada Pejabat Menteri Besar. Pejabat Menteri Besar hanya mengeluarkan surat pemberitahuan perjumpaan yang ditandatangani Sallehuddin Mohd Noor selaku Setiausaha Sulit kepada Menteri Besar Negeri Sembilan pada pukul 2.30 petang. Namun, para peneroka Gatco amat tidak berpuas hati kerana tarikh perjumpaan ditetapkan pada 1 April 2019, satu tempoh masa yang agak lama.
Setelah memberi desakan, Exco Kerajaan Negeri Sembilan S. Veerapan telah berjanji bahawa Kerajaan Negeri akan memberi satu lagi tarikh yang lebih dekat pada hari esok. Peneroka Gatco mengatakan bahawa mereka akan tunggu beramai-ramai di hadapan Wisma Negeri sehingga mendapatkan tarikh perjumpaan baru, maka tidak lama kemudian Ahli Exco Kerajaan Negeri tersebut mengeluarkan surat pengesahan perjumpaan yang akan diadakan pada 20 Februari 2019.
Jika bukannya ketegasan para peneroka Gatco untuk mendapatkan tarikh perjumpaan, nampaknya masalah mereka akan ditangguhkan lagi. Para peneroka Gatco berharap perjumpaan nanti akan membuahkan hasil yang memuaskan dalam menyelesaikan kemelut yang dihadapi mereka.
Latar belakang isu
Kampung Gatco diwujudkan pada tahun 1970-an, apabila kebanyakan peneroka berhijrah ke situ di bawah satu projek pembangunan tanah yang diusahakan oleh Kesatuan Kebangsaan Pekerja Ladang (NUPW) untuk ahli-ahlinya, iaitu Skim Penempatan Pekebun Kecil Tebu pada tahun 1975. Syarikat Gatco (The Great Alonioners Trading Corporation Berhad) telah ditubuhkan untuk menjalankan projek tersebut.
NUPW telah menyewa tanah hutan seluas 4932.52 ekar daripada Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Sembilan mulai 1 Januari 1977 untuk 66 tahun. Tebu ditanam sebagai pertanian komoditi yang utama disebabkan terdapat kilang gula di kawasan berdekatan. Penduduk kampung membayar sebanyak RM 7,600 pada 1977, antaranya sebanyak RM2600 sebagai wang pendahuluan untuk satu ekar tanah bagi tujuan pembinaan rumah dan infrastruktur di kawasan perumahan, RM 5000 dibayar sebagai wang pendahuluan untuk membersihkan hutan, infrastruktur serta penanaman tebu bagi 10 ekar tanah setiap orang. Bagaimanapun, skim ini akhirnya gagal, dan tanah yang telah dicagarkan kepada bank.
Pada sekitar tahun 1980-an syarikat Gatco telah muflis, dan pelikuidasi telah mula melelong tanah. Pihak penduduk terpaksa membayar sebanyak 2% iaitu sebanyak RM 320,000 ribu kepada pelikuidasi pada 18 ogos 2004 untuk mendapatkan kembali tanah mereka. Namun pihak pelikuidasi telah memberi tanah ini kepada syarikat korporat dan selepas itu Syarikat Thamarai Holdings telah muncul sebagai pemaju tanah di situ. Pihak penduduk kampung memfailkan kes di mahkamah dan berlarutan untuk beberapa tahun.
Penduduk Gatco menuntut 8 ekar tanah seperti mana dalam perjanjian baru pada tahun 1983. Sebelum ini, mereka sudahpun mengorbankan 2 ekar tanah di mana pada asalnya mereka dijanjikan 10 ekar tanah setiap peneroka pada tahun 1970-an. Peneroka Gatco meminta pada Menteri Besar Negeri Sembila dan Kerajaan Negeri Negeri supaya bersama dengan mereka dalam memperjuangkan hak peneroka, iaitu 8 ekar tanah untuk setiap keluarga peneroka.
Janji-janji ahli politik Pakatan Harapan
Dalam dua pilihanraya umum yang lalu, isu Gatco telah digunakan sebagai modal politik untuk kempen pilihanraya dan ramai wakil rakyat yang terpilih sekarang pernah menyuarakan isu ini di pentas politik serta menaburkan janji untuk membantu dalam menyelesaikan masalah ini sekiranya kerajaan Barisan Nasional ditumbangkan di Negeri Sembilan.
Ramai antara wakil rakyat yang berada di dalam kerajaan Pakatan Harapan kerap kali bersama-sama dengan peneroka Gatco dalam perjuangan tuntutan 8 ekar tanah dan mereka juga pernah hadir di Kampung Gatco sehingga ada yang ditangkap polis kerana mempertahankan hak peneroka Gatco. Selain itu, mereka juga berjanji pada peneroka Gatco bahawa sekiranya kerajaan berubah, tuntutan mereka akan dapat diselesaikan dengan mudah.
Pada 11 Julai 2018, seramai 3 orang wakil kerajaan iaitu M. Ravi (ADUN Port Dickson), S. Veerapan (ADUN Repah) dan P. Gunasekaran (ADUN Seremban Jaya) telah hadir ke Gatco dan menyatakan bahawa mereka akan berusaha mendapatkan 8 ekar tanah untuk peneroka asal dan 4 ekar untuk pembeli serta menghentikan kerja-kerja pengeluaran kayu getah dari Ladang Gatco.
Pada 28 September 2018 berita mengenai lapan ekar untuk peneroka ini juga disiar di dua akhbar Tamil, iaitu Nanban dan Makkal Osai, berikutan hasil perbincangan di Persidangan DUN Negeri Sembilan.
Syarikat Thamarai Holdings Sdn. Bhd. memang menyedari dan tahu tentang kepentingan peneroka, di mana sebelum membeli hartanah tersebut mereka telah menulis kepada syarikat pelelong dan menyatakan kesudian mereka untuk menyerahkan 8 ekar kepada peneroka pada kadar harga belian. Perkara yang sama diperincikan di dalam Perjanjian Jual Beli 2004 antara Thamarai dan Gatco, di mana Thamarai bersetuju untuk memberi tawaran pembelian kepada peneroka tetapi mereka gagal berbuat demikian sehingga ke hari ini.
Kecuaian dan kelekaan kepimpinan Kerajaan Negeri Sembilan di bawah pimpinan Mohd Hassan sebelum ini menjadikan isu ini melarat dan hangat dipropagandakan dalam kempen politik sehingga tertumbangnya kerajaan BN di Negeri Sembilan dalam PRU-14. Oleh itu, peneroka Gatco sekarang berharap pihak kerajaan baru akan meneliti segala perkara ini dengan jelas dan akan mengambil langkah-langkah yang serius untuk membantu kesemua keluarga yang terlibat di dalam rancangan tanah ini. Pihak Kerajaan Negeri juga harus sedia maklum bahawa hasil siasatan kes Ladang Gatco oleh Surahanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) pada penghujung tahun 2017 masih tergantung lagi.
Sementara satu kaedah penyelesaian yang baik dikemukakan oleh pihak kerajaan, para peneroka Gatco memohon agar Kerajaan Negeri Sembilan menggunakan bidang kuasanya untuk menahan dan menghentikan sementara segala kerja-kerja penebangan pokok dan lain-lain aktiviti yang dilakukan oleh Thamarai Holdings Sdn. Bhd. yang mengganggu kententeraman penduduk di situ, seperti muatan lebih, membawa kenderaan berat dengan laju yang membahayakan penghuni kampung dan pengguna jalan raya serta pencemaran udara daripada asap dan debu yang mengganggu keselesaan penduduk kampung.
Peneroka Gatco juga menuntut pada kerajaan negeri supaya segala rancangan kerajaan berkenaan peneroka Gatco perlu dimaklumkan kepada semua peneroka yang terlibat tanpa sebarang agenda tersembunyi yang mungkin boleh membebankan peneroka kelak.
Jawatankuasa Bertindak Peneroka Kampung Gatco menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Pakatan Harapan seharusnya meneliti kesemua salahlaku serta usaha membelakangkan kepentingan peneroka sebelum ini. Kerajaan Negeri boleh menggunakan bidang kuasanya dan ruang undang-undang yang sedia ada, seperti Akta Pengambilan Tanah, untuk mengambil balik keseluruhan tanah ini dari Thamarai Holdings Sdn. Bhd. dan menyerahkannya kepada para penerokayang telah lama mengusahakan tanah ladang ini.
2 thoughts on “Peneroka GATCO tuntut penyelesaian adil untuk masalah tanah yang lama tertangguh”