oleh S. Arutchelvan

Biasanya Ketua Polis Negara (KPN) di Malaysia mempunyai kecenderungan untuk membuat kenyataan selepas mereka bersara. Namun KPN sekarang ini, Tan Sri Abdul Hamid Bador, membuat kenyataan dan pendedahan semasa beliau masih bertugas. Ini adalah satu duluan yang tidak pernah berlaku. Pendedahannya semasa wawancara Sinar Harian pada 18 Mac 2021 bukannya sesuatu yang mengejutkan tetapi menghairankan.

Untuk sekian lama, kita didedahkan kepada istilah “deep state” (negara dalam negara atau pemerintah tersembunyi), di mana wujudnya satu kerajaan rahsia yang berkuasa di sebalik kerajaan yang sah. Sering juga terdengar tauke-tauke dunia penjenayahan (underworld) yang beroperasi dengan perlindungan polis. Sekarang Ketua Polis Negara pula bercakap pasal sebuah kartel dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang cuba menjatuhkan beliau. Apabila rakyat ada masalah, mereka akan mengadu kepada polis untuk siasatan; tetapi apabila Ketua Polis Negara sendiri yang mengadu, siapa pula yang nak siasat?

Untuk sekian lama, golongan Sosialis berpandangan bahawa kelas yang memerintah ialah kelas kapitalis. Hari ini, pendedahan KPN sedikit sebanyak menunjukkan bahawa terdapatnya golongan peniaga dan korporat yang begitu berpengaruh, sehingga telah menyusup masuk ke dalam struktur polis. Saya ucapkan tahniah kepada Tan Sri Abdul Hamid Bador kerana membuat pendedahan ini walaupun ini adalah satu tindakan yang mungkin berisiko kepada dirinya sendiri. Tetapi untuk seorang KPN membuat pendedahan sedemikian, kemungkinan besar adalah beliau tertekan, tiada pilihan lain atau terpinggir.

Pendedahan mengenai kewujudan kartel dalam PDRM ini pula disusuli kemudian dengan pendedahan beliau mengenai kebocoran maklumat semasa Ops Pelican 3.0 yang memburu ketua sindiket pengubahan wang haram terbesar di negara, Datuk Seri Nicky Liow. Beliau berkata bahawa pembocoran maklumat berkenaan berkaitan dengan seramai 34 orang pegawai dan anggota agensi penguatkuasa yang disyaki mempunyai hubungan dengan sindiket jenayah terancang itu, dengan majoritinya ialah anggota polis. Ini adalah satu angka yang besar dan mencemaskan.

Yang amat menyedihkan adalah, apabila terdapat desakan daripada badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan orang ramai untuk menubuhkan sebuah suruhanjaya diraja yang bebas supaya menyiasat aduan daripada Ketua Polis Negara, ia disambut dingin oleh parti pemerintah dengan berkata bahawa ia boleh disiasat secara dalaman. Jika ia boleh diselesaikan secara dalaman, kenapa pula KPN membuat pendedahan secara umum? Selain itu, ini menimbulkan pelbagai persoalan dan kesangsian sama ada wujudnya tangan tersembunyi yang tidak mahu perkara ini didedahkan kepada masyarakat umum. Pada satu ketika dahulu, semasa Dato’ Seri Anwar Ibrahim ditumbuk dalam tahanan polis, hanya setelah satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dibentuk, barulah kita didedahkan bahawa KPN pada masa itu, Tan Sri Rahim Noor, adalah individu yang telah memberikan lebam mata hitam kepada Anwar Ibrahim. Secara perbandingan, isu yang dibangkitkan oleh Tan Sri Abdul Hamid Bador hari ini jauh lebih serius kerana ia melibatkan satu kartel dalam nadi PDRM. Ia bukan masalah seorang individu tetapi satu kumpulan yang mungkin juga boleh mengambilalih PDRM.

Daripada pengalaman kami berurusan dengan polis, ada satu insiden di mana kami membuat puluhan aduan polis terhadap sebuah syarikat pemaju yang berpengaruh bahawa lori-lorinya tidak disaman walaupun melanggar undang-undang. Namun, aduan kami langsung tidak mendapat sebarang perhatian. Jawapannya adalah semasa sambutan Hari Polis, syarikat pemaju tersebut diberi penghargaan khas oleh IPD Klang. Kami kemudiannya dimaklumkan bahawa syarikat pemaju itu diberi penghargaan ini kerana telah membina balai polis di tapak projek perumahannya untuk diserahkan kepada PDRM. Ini adalah sesuatu yang diketahui umum, dan kita tidak tahu apa dan siapa lagi dia membantu atau menyogok di IPD Klang. Ini hanyalah satu contoh, tetapi perkara yang sama juga berlaku secara ketara dalam hampir semua isu besar yang melibatkan syarikat besar yang pernah kami hadapi, sama ada pengusiran paksa di Kampung Berembang, masalah peneroka GATCO ataupun isu pencerobohan tanah Orang Asli.

Semasa Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan PDRM ditubuhkan pada tahun 2005 ketika Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri, kami pernah mengusulkan kepada Suruhanjaya ini bahawa pihak polis tidak seharusnya dibenarkan untuk mendapat penajaan daripada badan korporat, kerana ini boleh mengkompromikan kepentingan orang awam yang membuat aduan kepada pihak polis terhadap badan korporat. Ini juga akan menyebabkan polis terpaksa “membalas budi” kepada golongan korporat ini. Wang untuk memperkasakan polis sepatutnya datang daripada sumber kerajaan dan bukannya daripada golongan peniaga yang sememangnya mempunyai agenda lain.

Melihat pada nasib Ketua Polis Negara, saya terkenang kes-kes yang saya kendalikan yang melibatkan along-along. Ia memang satu pengalaman yang mengerunkan apabila pihak ini mempunyai kaitan yang begitu kuat dengan polis dan seolah-olah mereka ini kebal. Saya teringat, apabila saya mendapat aduan daripada seorang mangsa along yang telah diugut dan digertak, mangsa tersebut begitu ketakutan apabila saya menyuruhnya untuk membuat aduan polis. Saya menangani isu ini dengan mengatakan bahawa ada dua cara sahaja: salah satu adalah mereka pergi bersembunyi di mana jiwa mereka tidak akan tenteram; dan yang kedua adalah mereka membuat aduan polis atau akuan bersumpah (SD) yang mendedahkan nama orang yang mengugut mereka dan mengatakan jika ada apa-apa berlaku kepada diri mereka, termasuk nyawa mereka atau keluarga mereka terancam, maka orang-orang inilah yang bertanggungjawab. Membongkarkan isu kepada pengetahuan umum adalah langkah keselamatan yang terbaik untuk menyelamatkan diri daripada ancaman nyama mereka. Hari ini apabila saya melihat pendedahan KPN, saya berpendapat bahawa strategi terbaik untuk KPN adalah mendedahkan nama orang-orang ini supaya mereka tidak mendapat tempat untuk mengambilalih PDRM.

Berbalik kepada soalan asal. Jika KPN mengadu, siapa yang nak siasat? Adalah amat penting sekali untuk penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) pada hari ini, kerana jika adanya mekanisme ini, maka sudah tentunya ia akan membolehkan polis yang baik dan orang awam dapat membuat aduan kepada Suruhanjaya ini dengan beraninya. Polis yang baik dan rakyat akan mempunyai keyakinan apabila adanya sebuah badan yang bebas. Jika adanya aduan palsu atau tohmahan palsu terhadap polis pun, Suruhanjaya Bebas ini akan dapat membersihkan nama polis. Hari ini, semua badan yang sedia ada tidak menyakinkan kerana tiada kebebasan mahupun kuasa bertindak secara bebas dan berkecuali.

Rakyat mendahagakan PDRM yang profesional dan berjiwa rakyat. Lencana mesra dan integriti yang dipakai oleh polis tiada gunanya jika ada pihak lain di luar sistem perundangan yang mengawal tindak-tanduk polis. Jika Ketua Polis Negara mendedahkan segalanya, ini adalah langkah terbaik untuk keselamatan beliau dan ketenteraman negara. Untuk jangkamasa panjang, adalah mustahak untuk IPCMC yang dicadangkan sejak tahun 2006 itu diluluskan di dalam Parlimen.

==========

S. Arutchelvan ialah Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM).

==========

Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s