20190213
Penduduk Tanah Wakaf Abdul Cauder membuat aduan polis pada di Balai Polis Butterworth 10 Februari 2019.

BUTTERWORTH, PULAU PINANG – 13 FEBRUARI 2019: Sebanyak 19 buah keluarga yang tinggal di Tanah Wakaf Abdul Cauder, Jalan Mengkuang, Butterworth, Pulau Pinang, akan diusir secara paksa oleh Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP). Penduduk sudah dimaklumkan bahawa tindakan perobohan rumah akan dilakukan pada hari esok, 14 Februari 2019.

Penduduk kampung enggan keluar kerana bukan semua ditawarkan pampasan rumah ganti rumah percuma dan adanya 5 buah keluarga tercicir. Tambahan pula, wang sewa RM 500 sebulan yang ditawarkan tidak mencukupi untuk menyewa rumah di sekitar Butterworth. Justeru, 19 keluarga penduduk yang enggan keluar ini telah memohon perbincangan dengan MAINPP. Sebelum ini, MAINPP telah mengheret mereka ke mahkamah dan telah berjaya mendapat notis bailif dari Mahkamah Sesyen Butterworth bertarikh 28 Januari 2019 untuk pengosongan rumah. Notis berakhir pada 11 Februari 2019 dan pihak berkuasa sudah memaklumkan bahawa tindakan perobohan rumah akan dilakukan pada 14 Februari 2019.

Tanah wakaf Abdul Cauder yang seluas 2 ekar ini diduduki oleh lebih kurang 50  buah keluarga sebelum ini. Pihak MAINPP mahu membangunkan tanah ini untuk projek perumahan dan telah menawarkan kepada semua penduduk:

i) Rumah ganti rumah selepas projek selesai di tapak ini;

ii) Sewa bulanan sebanyak RM 500 kepada keluarga yang berpindah sehingga projek siap;

iii) Wang pindah keluar sebanyak RM 4000 dan pindah masuk sebanyak RM 3500.

Pada mulanya, hampir semua penduduk tidak mahu keluar kerana wang sewa yang tidak mencukupi dan adanya 5 keluarga tercicir, tetapi apabila ditakutkan dengan tindakan mahkamah, maka ramai terpaksa mengaku kalah dan berundur. Bakinya 19 buah keluarga ini masih tinggal di situ dan meneruskan perjuangan untuk mencari jalan penyelesaian bagi isu ini.

Secara prinsipnya, penduduk terima tawaran MAINPP ini, tetapi ingin meminta –

i) Tawaran yang sama diberikan kepada 5 keluarga lagi yang juga bermastautin di atas Tanah Wakaf Abdul Cauder pada takat ini. Mereka merupakan anak tuan rumah yang sudah berumah tangga dan duduk berdapur dua dalam rumah kampung.

ii) Bina rumah transit untuk penduduk yang masih tinggal di situ dan ini akan menjimatkan kos dan menyelesaikan masalah ini.

ATAU naikkan tawaran sewa bulanan kepada RM 700 kerana penduduk tidak dapat mencari rumah sewa dengan harga sewa bulanan RM 500 di kawasan sekitar Butterworth. Kemudahan sewa bulanan RM 700 ini juga harus diberi kepada mereka yang sudah berpindah keluar.

iii) Mengemukakan kepada penduduk pelan pembangunan, termasuk ciri-ciri rumah yang ditawarkan.

iv) Memberi tawaran ini secara bertulis hitam putih kepada setiap keluarga yang terlibat dengan pihak Kerajaan Negeri dan peguam penduduk sebagai saksi.

v) Tangguhkan pelaksanaan notis bailif sehingga perjanjian ini dapat dibuat.

Penduduk merasakan ada titik pertemuan untuk penyelesaian masalah ini tanpa sebarang konfrontasi kerana permintaan mereka tidak jauh daripada apa yang ditawarkan oleh MAINPP.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh R. Karthiges, selaku Penyelaran Jaringan Perumahan Pulau Pinang, berkata, “kami sangat mengharapkan isu ini dapat diselesaikan melalui perundingan. Penduduk sedia bertolak ansur kerana tidak mahu menggangu pembangunan yang penting untuk kemajuan rakyat dan negeri Pulau Pinang. Penduduk juga amat berharap permintaan mereka yang munasabah ini boleh dibincangkan secara terperinci.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *