venezuela_caracas_23jan2019.jpg
Penyokong Revolusi Bolivar berhimpun di Caracas menentang ancaman kudeta yang didalangi imperialis AS.

Kerajaan Amerika Syarikat (AS) pimpinan Donald Trump sedang menyokong usaha rampasan kuasa terbaru di Venezuela, dengan mengiktiraf Juan Guaido, pemimpin puak pembangkang berhaluan kanan di Venezuela, sebagai “Presiden Sementara” untuk negara tersebut. Tindakan ini menjadikan krisis politik di Venezuela bertambah buruk lagi, bersesuaian dengan niat imperialis AS untuk menghancurkan proses Revolusi Bolivar yang pro-pekerja dan menggantikannya dengan rejim berhaluan kanan yang akan membatalkan semua pembaharuan sosial yang pro-rakyat untuk 20 tahun yang lepas.

Juan Guaido, pemimpin pembangkang berhaluan kanan yang baru mengambilalih jawatan Presiden Perhimpunan Nasional (yang dikuasai oleh puak berhaluan kanan) sejak 5 Januari 2019, telah mengisytihar dirinya sebagai “Presiden Sementara” untuk negara Venezuela pada 23 Januari 2019. Kerajaaan AS dan sekutunya dalam Kumpulan Lima, telah mengiktiraf Juan Guaido sebagai Presiden Sementara “yang sah” bagi mereka dengan serta-merta.

guaido
Juan Guaido “mengangkat sumpah” sebagai “Presiden Sementara”.

Kumpulan Lima (Grupo de Lima) yang terdiri daripada Argentina, Brazil, Canada, Chile, Colombia, Costa Rica, Guatemala, Honduras, Mexico, Panama, Paraguay dan Peru (semuanya sekutu AS di benua Amerika), merupakan sebuah badan antara kerajaan yang ditubuhkan pada tahun 2017 atas nama menyelesaikan krisis politik di Venezuela tetapi telah jelas menunjukkan niat sebenar mereka untuk menghancurkan proses Revolusi Bolivar di Venezuela dan menyokong pembangkang berhaluan kanan untuk merampas semula kuasa. Kumpulan Lima telah membantah dan menghalang perjalanan pilihanraya Presiden Venezuela yang berlangsung pada bulan Mei 2018. Pada awal bulan Januari 2019, Kumpulan Lima telah menyatakan keengganan untk mengiktiraf Maduro sebagai Presiden untuk penggal kedua.

Kerajaan Mexico yang merupakan anggota Kumpulan Lima, yang dipimpin oleh Presiden barunya yang berhaluan kiri, Andres Manuel Lopez Obrador, telah menyatakan pendirian negaranya yang mengamalkan prinsip bukan-intervensi (tidak campurtangan hal ehwal dalaman negara lain) dan enggan mengikut rentak negara anggota Kumpulan Lima yang lain. Mexico dan Uruguay telah menyeru untuk mengadakan dialog supaya mengelak daripada berlakunya keganasan yang memburukkan keadaan.

Sementara itu, negara Kuba dan Bolivia telah menyatakan sokongan mereka terhadap kerajaan Maduro yang dipilih secara sah.

Kesatuan Eropah mengumumkam dalam satu kenyataannya bahawa ia bersedia untuk “menyokong pemulihan demokrasi dan kedaulatan undang-undang di Venezuela… selaras dengan Perlembagaan Venezuela”, tetapi tidak mengiktiraf Guaido sebagai Presiden. Kerajaan Sepanyol mengeluarkan kenyataan bahawa ia enggan mengiktiraf Guaido sebagai Presiden Venezuela dan menyeru Kesatuan Eropah mendapatkan satu pendirian bersama dalam isu ini.

Cubaan rampasan kuasa yang berterusan

Pada 21 Januari 2019, sekumpulan kecil anggota Pengawal Nasional memberontak sebagai usaha untuk merampas kuasa bagi puak berhaluan kanan, tetapi digagalkan tidak lama kemudian.

DxozZM_XQAEfjHQ.jpg
Rakyat Venezuela berhimpun untuk menyokong Presiden Maduro.

Pada 23 Januari 2019, ketika puak pembangkang berhaluan kanan memobilisasi penyokong mereka untuk turun berdemonstrasi menyokong Juan Guaido sebagai “Presiden Sementara”, ramai juga rakyat Venezuela turun ke jalanan untuk menunjukkan sokongan mereka terhadap Presiden Nicolás Maduro yang telah dipilih secara demokratik untuk penggal kedua. Mereka telah menyatakan tekad mereka untuk melawan serangan revolusi balas terbaru yang disokong oleh imperialis AS.

Nicolás Maduro telah mengalah 3 orang pencabarnya dalam Pilihanraya Presiden yang berlangsung pada 20 Mei 2018, dengan meraih sebanyak 6,244,016 undi (67.84%). Puak pembangkang berpecah pada ketika Pilihanraya Presiden 2018, dengan sekumpulan menyertai pilihanraya dan satu kumpulan lagi memboikot. Seperti yang dijangkakan, puak pembangkang berhaluan kanan yang disokong oleh imperialis AS enggan mengiktiraf keputusan pilihanraya. Nicolás Maduro mengangkat sumpah sebagai Presiden Venezuela untuk penggal kedua pada 10 Januari 2019.

Puak pembangkang berhaluan kanan telah giat untuk menimbulkan kekecohan bagi membuka laluan kepada usaha terbaru untuk rampasan kuasa. Naib Presiden AS Mike Pence, telah menyeru dalam satu mesej video yang mempunyai sari kata Bahasa Sepanyol, bahawa AS adalah bersama pembangkang di Venezuela dan menyeru rakyat Venezuela untuk turun ke jalanraya supaya menentang kerajaan Maduro. Amat jelas sekali, kerajaan AS sedang secara pro-aktifnya mendukung rampasan kuasa di Venezuela.

Maduro telah mengumumkan Venezuela akan memutuskan hubungan dengan AS dan memberi tempoh masa 72 jam kepada rombongan diplomatik AS untuk meninggalkan negara tersebut.

Kerajaan AS dan sekutunya di benua Amerika memang tiada minat untuk memperjuangkan demokrasi di Venezuela, sebaliknya selama ini hanya beria-ia untuk mengembalikan kuasa pemerintahan golongan oligarki yang kayaraya di negara tersebut dan membatalkan segala pencapaian sosial yang dikecapi Revolusi Bolivar untuk 20 tahun yang lepas ini. Kerajaan AS juga amat berminat untuk menguasai kekayaan sumber minyak di Venezuela. Venezuela mempunyai simpanan minyak yang diketahui yang paling besar di dunia pada masa kini.

Peristiwa terbaru di Venezuela dengan krisis politik yang sengaja dijadikan teruk oleh golongan berhaluan kanan dengan sokongan imperialis AS, berkemungkinan akan mengundang ancaman campurtangan ketenteraan AS di negara tersebut.

Beberapa tahun kebelakangan ini, Venezuela telah berdepan dengan krisis ekonomi dan krisis politik yang serius. Krisis ekonomi yang berlaku di Venezuela selain disebabkan kepincangan yang wujud akibat daripada penetapan kadar pertukaran wang dan kejatuhan harga minyak mentah di peringkat antarabangsa, satotaj ekonomi oleh golongan korporat swasta dan sekatan yang dilakukan oleh kerajaan AS turut memainkan peranan besar dalam memburukkan lagi keadaan supaya imperialis Barat dan sekutunya boleh menjadikan Venezuela sebagai contoh “kegagalan sosialis”. Krisis politik pula ditimbulkan oleh golongan pembangkang berhaluan kanan dengan sokongan kuat daripada imperialis AS, sehingga sanggup mencetuskan keganasan dan kekecohan serius yang berterusan, dalam usaha mereka merampas semula kuasa tanpa mengira kesannya.

Kita tidak patut lupa pada apa yang berlaku di negara Chile pada tahun 1973, di mana imperialis AS telah mendalangi kudeta tentera yang menjatuhkan kerajaan sosialis pimpinan Salvador Allende yang dipilih secara demokratik, dan mewujudkan kediktatoran Pinochet yang penuh dengan kezaliman. Imperialis AS sedang berusaha mengulangi Chile 1973 di Venezuela.

Masyarakat antarabangsa, termasuk Malaysia, perlu bertindak mengutuk AS dan sekutunya yang mengiktiraf Presiden yang tidak sah di Venezuela, di samping mendesak AS untuk menghentikan campurtangannya di Venezuela.

Kita perlu bersolidariti dengan rakyat Venezuela dalam perjuangan mereka menentang campurtangan imperialis dan mempertahankan Revolusi Bolivar.DxoeqBNXcAIk9RZ.jpg

Baca lanjut:

Venezuela: Proses demokrasi yang tidak diiktiraf kuasa imperialis

5 thoughts on “Venezuela: Imperialis AS iktiraf Presiden haram

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *