33227957_1103527439806512_414103029940224000_n.jpg

Nicolas Maduro telah dipilih semula sebagai Presiden Republik Bolivar Venezuela untuk satu penggal lagi dalam Pilihanraya Presiden yang berlangsung pada 20 Mei lalu. Pilihanraya Presiden Venezuela terbaru ini, berlangsung dalam suasana ancaman kuasa imperialis yang hebat dan krisis ekonomi yang berlarutan.

Negara Venezuela yang digambarkan oleh kuasa-kuasa imperialis yang dipimpin Amerika Syarikat (AS) sebagai sebuah negara yang diperintah oleh “diktator” untuk 2 dekad yang lepas ini, telah mengadakan pengundian umum yang ke-24 dalam tempoh hampir 20 tahun.

Dengan majoriti puak pembangkang berhaluan kanan yang didukung kuasa imperialis AS memboikot pilihanraya presiden Venezuela kali ini, peratusan keluar mengundi amat rendah, khususnya di kawasan tertumpunya kelas menengah dan atas di bandar-bandar utama. Peratusan keluar mengundi pada keseluruhannya adalah 46.07%, jauh lebih rendah daripada 80.48% semasa Pilihanraya Presiden pada tahun 2012 apabila mendiang Hugo Chavez bertanding untuk kali terakhirnya.

Maduro daripada Parti Sosialis Bersatu Venezuela (PSUV) telah meraih sebanyak 6.2 juta undi (bersamaan 67.84%), memberikan kemenangan selesa dengan lawan yang terdekatnya, Henri Falcón, hanya mendapat sebanyak 1.9 juta undi (20.93%). Dua orang lagi calon Presiden, iaitu Javier Bertucci dan Reinaldo Quijada, hanya memperoleh undi sebanyak 10.82% dan 0.39% masing-masing.

Kerajaan AS enggan mengiktiraf keputusan pilihanraya presiden di Venezuela, malah mengatakannya adalah “penghinaan kepada demokrasi”. Kerajaan AS telah menyokong (malah berkemungkinan besar dalang yang menggerakkan) usaha pembangkang berhaluan kanan di Venezuela untuk memboikot pilihanraya. “Kumpulan Lima” yang terdiri daripada kerajaan pro-AS di benua Amerika telah membantah keputusan kerajaan Venezuela mengadakan pilihanraya presiden, dan mengatakan sejak awal lagi tidak akan mengiktiraf keputusan pilihanraya. Lebih-lebih lagi, kerajaan Kanada menghalang kedutaan Venezuela di negaranya membuka pusat mengundi untuk warga Venezuela membuang undi (walaupun kebanyakan warga Venezuela di luar negara berpendirian politik pro-pembangkang). Imperialis AS dan sekutunya mengecam kerajaan Venezuela dengan tuduhan kerajaan Maduro mengancam demokrasi, tetapi mereka sendiri menghalang rakyat Venezuela melibatkan diri dalam proses pilihanraya demokratik. Jadi, siapakah sebenarnya yang menghina demokrasi?

Oleh sebab kuasa imperialis sanggup melakukan apa jua pun untuk menjatuhkan kerajaan Venezuela, pembangkang berhaluan kanan di Venezuela telah terlepas satu “peluang keemasan” untuk menukar kerajaan.

Serangan daripada kuasa imperialis terhadap Kerajaan Bolivar Venezuela semakin hebat, dengan matlamat yang jelas, iaitu menukar rejim supaya menghapuskan segala dasar yang mengancam kepentingan kuasa imperialis dan membolehkan puak oligarki kembali berkuasa sepenuhnya di negara pengeluar minyak utama di Amerika Latin tersebut.

Revolusi Bolivar yang dicetuskan selepas Hugo Chavez dipilih sebagai Presiden Venezuela pada tahun 1998, merupakan usaha rakyat Venezuela meneroka jalan menentukan nasib sendiri yang bebas daripada cengkaman kuasa imperialis. Namun, usaha rakyat Venezuela membina alternatif yang berbeza daripada apa yang diamalkan oleh Washington, sering diancam oleh golongan oligarki dalam negara dan kuasa imperialis dari luar. Cabaran untuk Revolusi Bolivar untuk 5 tahun yang lepas menjadi semakin hebat.

Selepas Chavez meninggal dunia pada 5 Mac 2013, Venezuela telah mengadakan Pilihanraya Presiden dalam tempoh masa 6 minggu. Calon pembangkang, Henrique Capriles, kalah tipis kepada Maduro dalam pilihanraya tersebut, dengan perbezaan undi hanya 1.49 titik peratusan. Pembangkang berhaluan kanan enggan mengakui kekalahan dan mencetuskan rusuhan sehingga 9 orang mati terkorban.

Pembangkang berhaluan kanan yang terdesak untuk golongan oligarki kembali berkuasa di Venezuela, telah mencetuskan satu lagi pusingan gelombang demonstrasi pada tahun 2014. Demonstrasi yang penuh dengan keganasan berlangsung untuk 3 bulan dengan 43 orang mati terkorban. Puak pembangkang berhaluan kanan mengulangi taktik demonstrasi ganas (yang digelar “guarimba”) untuk menimbulkan huru-hara, mengambil kesempatan untuk mewujudkan tekanan di peringkat antarabangsa, dan membolehkan kuasa imperialis AS menjustifikasikan tindakan campurtangannya dalam konflik di Venezuela. Gelombang demonstrasi bersifat ganas mencapai kemuncak pada tahun 2017, apabila lebih seratus orang terkorban dalam peristiwa keganasan (kebanyakan insiden kematian disebabkan oleh keganasan puak pembangkang), dan media arus perdana antarabangsa sentiasa menggambarkan Venezuela sebagai sebuah negara di bawah pemerintahan kediktatoran.

Situasi ekonomi di Venezuela juga merosot selepas peninggalan Chavez. Pengurangan pendapatan minyak petroleum akibat daripada penurunan harga minyak mentah telah menjejaskan perbelanjaan sosial kerajaan Venezuela. Inflasi semakin meningkat sehingga mencecah keadaan hiperinflasi pada tahun 2018. Barangan pengguna dan makanan asas menghadapi masalah kekurangan bekalan. Masalah ekonomi yang berterusan membolehkan puak pembangkang berhaluan kanan mengambil kesempatan untuk menimbulkan lebih banyak huru-hara.

Punca kepada krisis ekonomi di Venezuela mempunyai banyak aspek. Masalah utamanya termasuklah kepincangan yang wujud akibat daripada penetapan kadar pertukaran wang, tindakan mensabotaj ekonomi oleh golongan korporat swasta, kejatuhan harga minyak mentah di peringkat antarabangsa dan sebagainya. Sekatan kewangan yang dilakukan oleh kerajaan AS terhadap Venezuela mulai tahun 2017 juga telah memburukkan lagi keadaan ekonomi di negara itu.

Puak pembangkang berhaluan kanan telah menggunakan pelbagai taktik untuk menjatuhkan kerajaan Venezuela yang mendukung aspirasi untuk Revolusi Bolivara. Namun, usaha pembangkang tidak berjaya sehingga menimbulkan perpecahan di kalangan mereka. Kebanyakan golongan pekerja dan rakyat bawahan di Venezuela, walaupun adanya tidak berpuas hati dengan kerajaan pimpinan Maduro dalam menangani krisis, tetapi mereka amat sedar bahawa rakyat Venezuela akan ditimpa malapetaka yang lebih teruk sekiranya puak pembangkang berhaluan kanan mengambilalih kuasa. Sekiranya puak pembangkang berhaluan berkuasa, bermakna kuasa lama yang memerintah Venezuela sebelum tahun 1998 akan kembali bermaharajarela, dan segala pencapaian sosial sepanjang tempoh 20 tahun yang lepas akan dihancurkan.

Walaupun Maduro menang dalam pilihanraya kali ini, namun cabaran untuk Revolusi Bolivar masih hebat. Pemilihan semula Maduro tidak akan menyelesaikan segala krisis politik dan ekonomi yang dihadapi rakyat Venezuela pada takat ini. Imperialis AS dan ejennya di Venezuela akan meneruskan usaha jahat mereka untuk menghancurkan Revolusi Bolivar. Kerajaan AS sedang memperhebatkan sekatan ekonomi terhadap Venezuela.

Masa depan untuk Venezuela masih tidak menentu. Namun, rakyat Venezuela tidak akan mengalah begitu sahaja. Dalam sejarah Venezuela, sama ada kebangkitan rakyat semasa Caracazo pada tahun 1989, ataupun pematahan rampasan kuasa pada tahun 2002, terbuktinya kuasa rakyat dari kawasan penduduk bawahan (barrio) adalah jalan keluar daripada kebuntuan politik. Harapan untuk Venezuela mengatasi cabaran akibat daripada ancaman imperialis dan golongan oligarki, terletak dalam tangan rakyat bawahan yang mempunyai kesedaran politik yang tinggi dan berorganisasi dari bawah.

One thought on “Venezuela: Proses demokrasi yang tidak diiktiraf kuasa imperialis

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *