03-12993632_1173553796001826_3752131278571362061_n.jpg

Kesatuan Pekerja Perkhidmatan Sokongan di hospital kerajaan hadapi ancaman pemecahan kesatuan

Kesatuan Pekerja-Pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan Di Hospital-Hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia, sedang menghadapi ancaman daripada pihak majikan yang cuba menghalang usaha mendapatkan pengiktirafan kesatuan sekerja. Pihak majikan utama dan majikan langsung untuk pekerja-pekerja yang menganggotai kesatuan tersebut menggunakan pelbagai taktik kotor dalam cubaan memecahkan kesatuan (union busting).

Pihak majikan yang terlibat dalam cubaan memecahkan kesatuan sekerja ialah Edgenta Mediserve Sdn Bhd (selaku majikan utama yang mendapat kontrak perkhidmatan kejuruteraan, pembersihan dan pendobian, serta khidmat pelupusan sisa klinikal di hospital kerajaan di negeri Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis) dan NS Medik Sdn Bhd (selaku kontraktor yang dilantik oleh Edgenta Mediserve untuk pelaksanaan kerja-kerja pembersihan).

Setelah beberapa perbincangan antara Kesatuan Pekerja-Pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan Di Hospital-Hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia dengan pihak majikan yang terlibat bersama dengan Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP), telah dipersetujui bahawa proses pengundian sulit untuk pengiktirafan kesatuan akan dijalankan supaya kesatuan dapat mewakili pekerja untuk melindungi hak pekerja dengan lebih berkesan. Satu perjanjian persefahaman (MOU) telah ditandatangan oleh ketiga-tiga pihak (kesatuan, majikan dan JPP) pada 6 September 2018 untuk menguruskan perjalanan pengudian sulit pengiktirafan kesatuan sekerja.

Hospital yang pertama dijadualkan untuk menjalani pengundian sulit adalah Hospital Raja Permaisuri Bainon di Ipoh, Perak, pada 24 September 2018. Pengundian akan berlangsung di dua hospital dalam satu hari dan berakhir pada 29 November 2018.

Sejurus selepas perjanjian persefahaman untuk pengundian sulit ditandatangani pada 6 September 2018, ahli-ahli kesatuan yang bekerja di hospital Ipoh dan hospital lain yang terlibat dalam proses pengundian sulit ini sering menghadapi gangguan dan ugutan, sama ada secara langsung atau tidak langsung, daripada pihak majikan. Tindakan majikan sebegini dilakukan dengan niat jahat untuk menimbulkan ketakutan di kalangan pekerja-pekerja supaya menggagalkan proses pengundian sulit.

Beberapa contoh di mana pihak majikan cuba menggagalkan usaha pekerja untuk mendapatkan pengiktirafan kesatuan sekerja:

  1. Seorang ahli kesatuan yang aktif di Hospital Ipoh, Kaliya Perumal, telah diberikan surat amaran oleh pihak Edgenta Mediserve Sdn Bhd atas tuduhan palsu bahawa beliau mengadakan perhimpunan haram di hospital. Pekerja ini ditukar tempat kerja ke Hospital Tanjong Rambutan oleh pihak majikan, dan kemudiannya digantung kerja selama seminggu atas tuduhan tidak menjalankan tugas semasa waktu kerja dan sedang bercakap dengan rakan pekerja. Tindakan pihak majikan sebegini menimbulkan ketakutan di kalangan pekerja. Ahli-ahli kesatuan juga menerima panggilan telefon yang mengatakan bahawa mereka akan mengalami nasib yang sama seperti pekerja Kaliya Perumal jika mereka menyokong kesatuan.
  1. Pada 8 September 2018, selepas pihak kesatuan berjumpa dengan ahli-ahli kesatuan di Hospital Taiping, pihak majikan mengugut pekerja dan menghasut mereka supaya jangan menyokong kesatuan.
  1. Pada 9 September 2018, pihak kesatuan berjumpa dengan pekerja-pekerja di Hospital Teluk Intan semasa waktu rehat. Namun, selepas itu, pihak majikan Edgenta telah merampas semua risalah kesatuan daripada pekerja-pekerja dan memberitahu pada pekerja bahawa kesatuan tidak diperlukan di hospital ini.
  1. Pekerja-pekerja dari Hospital Selama, Perak, mengadu bahawa pihak majikan mengugut pekerja supaya jangan membawa kesatuan ke hospital tersebut.
  1. Pekerja-pekerja dari Hospital Kuala Kangsar juga mengadu kepada kesatuan bahawa pihak majikan tidak senang hati dengan pekerja menyertai kesatuan. Pihak majikan mengugut pada pekerja bahawa mereka tahu siapa antara pekerja-pekerja mana sangat aktif dalam kesatuan dan pekerja ini tahu apa akan berlaku nanti. Disebabkan ketakutan, pekerja-pekerja di Hospital Kuala Kangsar telah meminta pihak kesatuan supaya jangan datang ke hospital tersebut.
  1. Pekerja-pekerja Hospital Batu Gajah juga diugut oleh majikan, jika kesatuan diiktirafkan oleh pekerja-pekerja hospital ini, kerjanya tidak disambung setelah tamat kontraknya.
  1. Pekerja- Pekerja Hospital Slim River mengadu pada pihak kesatuan bahawa pihak ibupejabat Edgenta memberitahu pada pekerja-pekerja bahawa adalah baik jangan menyertai kesatuan.
  1. Pada 12 September 2018, pihak kesatuan telah menerima panggilan daripada En Mohd Zaki dari Jabatan Perhubungan Perusahaan dan diberitahu bahawa pihak majikan telah mengadu kepada JPP bahawa pihak kesatuan telah mengedarkan risalah pada waktu kerja. Pegawai JPP tersebut menasihati pihak kesatuan supaya berjaga-jaga dan pekerja-pekerja boleh hilang pekerjaan jika berbuat demikian.
  1. Pada 14 September 2018, pekerja-pekerja di Hospital Tapah mengadu kepada kesatuan bahawa penyelia hospital berkenaan mengarahkan para pekerja-pekerja supaya jangan mengadakan mesyuarat kesatuan di hospital tersebut.

Amat jelas sekali bahawa pihak majikan sudah memulakan tindakan pemecahan kesatuan dalam menggagalkan pengiktirafan kesatuan untuk pekerja yang bekerja di hospital kerajaan. Pihak majikan, Edgenta Mediserve Sdn Shd dan NS Medik Sdn Bhd, sedang menggunakan pelbagai taktik untuk menimbulkan ketakutan di kalangan pekerja supaya mereka tidak menyertai kesatuan. Ini merupakan satu pencabulan hak asasi pekerja untuk menubuhkan dan menyertai kesatuan.

Kesatuan Pekerja-Pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan Di Hospital-Hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia telah menyerahkan aduan rasmi kepada Kementerian Sumber Manusia dengan tuntutan supaya tindakan diambil segera untuk menghentikan taktik kotor pemecahan kesatuan oleh pihak majikan.

Kesatuan Pekerja Perkhidmatan Sokongan menuntut pada Kementerian Sumber Manusia dan Jabatan Perhubungan Perusahaan supaya:

  • Mengadakan satu mesyuarat bersama tiga-pihak dengan kehadiran wakil-wakil pekerja hospital di Ipoh bagi memastikan tiada ugutan dan campurtangan daripada pihak majikan dan juga menjelaskan  pekerja berhak untuk menyertai  kesatuan; dan
  • Jika tidak, adalah wajib dan wajar dengan serta-merta pihak Kementerian dan JPP menangguhkan proses pengundian sulit yang dijadualkan ke satu tempoh masa yang lain dan munsabah setelah semua pihak yang berkaitan memastikan bahawa  tiada lagi ugutan, ketegangan, ketakutan  dan campurtangan daripada pihak majikan di hospital-hospital berkenaan.

03-12993632_1173553796001826_3752131278571362061_n.jpg

3 thoughts on “Majikan guna taktik kotor halang pengiktirafan kesatuan pekerja hospital

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *