42208858_10156828795063713_3723783701293694976_n

CAMERON HIGHLANDS, PAHANG: 2 buah rumah penduduk di Green Cow, Kea Farm, Cameron Highlands, diancam dengan perobohan oleh Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands (PDTCH) dalam satu operasi pengusiran paksa yang berlaku pada 20 September 2018. Pihak PDTCH dan polis telah bertindak menggunakan kekerasan semasa perobohan rumah penduduk di situ, dan sebahagian rumah penduduk telah dirobohkan. Namun, oleh sebab keluarga peneroka yang menetap di situ bertahan dan melawan secara habis-habisan, PDTCH terpaksa menghentikan perobohan rumah untuk sementara dan mencari tanah alternatif untuk 3 buah keluarga yang terlibat.

Penduduk di Green Cow yang menghadapi pengusiran paksa telah dijanjikan secara mulut oleh PDTCH bahawa mereka akan ditawarkan tanah alternatif untuk berpindah. Satu lagi operasi perobohan rumah yang sepatutnya diadakan pada 21 September 2018 tidak terjadi, selepas insiden perobohan rumah pada 20 September 2018 yang ditentang hebat oleh penduduk di situ.

42201312_10156828795413713_8294272217324191744_n

Walaupun penduduk Green Cow telah dijanjikan tanah alternatif untuk mereka berpindah keluar dari situ sejak tahun 2012 oleh Menteri Besar Pahang pada masa itu, tetapi janji tersebut tinggal sekadar janji sehingga dilupakan oleh pihak berkuasa yang bersekongkol degan pihak pemaju LTT Development Sdn Bhd.

Kawasan Green Cow terletak di persimpangan masuk ke Ladang Teh Sungai Palas, Cameron Highlands, Pahang. Terdapat beberapa keluarga peneroka menetap di kawasan ini dan menjalankan aktiviti pertanian. Namun, tanah tersebut telah ditukar menjadi kawasan komersial untuk membina pusat membeli-belah jutaan ringgit. Projek berniliai jutaan ringgit ini bukan sahaja mengancam alam sekitar, malah menjejaskan kehidupan peneroka yang tinggal di sini dan mencabuli hak perumahan mereka. Parti Sosialis Malaysia (PSM) Cawangan Cameron Highlands telah membantu penduduk Green Cow untuk menubuhkan gabungan penduduk untuk memperjuangkan hak mereka sejak tahun 2011. Aktivis PSM Cameron Highlands bersama dengan penduduk Green Cow telah cuba menghalang pihak pemaju daripada menjalankan kerja-kerja pembukaan tanah yang mengancam keselamatan penduduk di situ, dan pernah ditahan polis kerana menghalang jentolak pemaju.

42147877_2134207820187768_63950856151629824_n
Aktivis PSM Suresh Kumar (berpakainan kemeja-T putih) cuba berunding dengan pihak berkuasa untuk menghentikan perobohan rumah

Pada tahun 2012, 7 orang ketua keluarga penduduk Green Cow dan Suresh Kumar (Setiausaha PSM Cameron Highlands) telah disaman oleh pihak pemaju LTT Development Sdn Bhd. Pihak pemaju telah mendapat perintah injunksi dari mahkamah untuk menyekat penduduk Green Cow daripada memberhentikan kerja-kerja pemaju. Namun, penduduk Green Cow telah memfailkan satu saman balasa dan berjaya mendapatkan injunksi untuk menghalang pemaju daripada menjalankan kerja berhampiran dengan rumah penduduk Green Cow.

Atas kegigihan penduduk Green Cow memperjuangkan hak mereka, Menteri Besar Pahang pada masa itu telah menjanjikan tanah alternatif untuk mereka, sehari selepas penduduk Green Cow ditahan di hadapan Pejabat Menteri Besar di Kuantan dan menjadi berita hangat pada masa itu.  Namun, PDTCH gagal menyediakan tanah alternatif untuk keluarga penduduk Green Cow berpindah, walaupun pemaju dikatakan telah membayar kos untuk membina rumah di tempat alternatif. Selepas PRU-14, pada 24 Mei 2018, penduduk Green Cow telah menerima notis pengusiran di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara yang mengatakan mereka menduduki tanah kerajaan secara tidak sah.

Penduduk Green Cow tidak ditawarkan apa-apa tanah alternatif lagi apabila menerima notis pengusiran. Sehinggalah selepas pengusiran paksa yang berlaku pada 20 September 2018 dan dilawan habis-habisan oleh penduduk Green Cow, mereka telah ditawarkan tanah alternatif.

Aktivis daripada PSM Cameron Highlands yang sentiasa bersama penduduk Green Cow dalam perjuangan ini akan memantau situasi dari semasa ke semasa supaya janji tanah alternatif untuk penduduk Green Cow akan dilaksanakan sepenuhnya.

42289141_2134207643521119_5670577258562060288_n
Penduduk Green Cow di depan rumahnya yang telah dirobohkan sebahagian.

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *