oleh Gandipan Nantha Gopalan
Pengangguran belia pada kadar 13.1% adalah satu statistik yang amat membimbangkan. Pemuda PSM berpendapat bahawa perlunya satu anjakan paradigma dalam menangani masalah dalam sistem pendidikan dan peluang pekerjaan di Malaysia.
Pemuda PSM tidak bersetuju dengan pendekatan yang diambil oleh ahli-ahli politik yang lain (tua mahupun muda) yang sering menyalahkan belia di negara ini sebagai golongan yang kurang berkemahiran. Pendekatan ini sering diambil oleh ahli-ahli politik yang gagal memahami sistem pendidikan yang telah dilepas tangan kepada pemain-pemain pasaran dan juga diambil oleh ahli-ahli politik yang tidak mempunyai kesungguhan politik untuk menambahbaikkan kehidupan seorang belia.
Pemuda PSM berpendapat bahawa solusi untuk masalah pengangguran harus dimula dengan memperbaiki sistem pendidikan negara kita. Sistem pendidikan negara, pendidikan tertiari terutamanya, telah banyak dilepas tangan kepada pemain-pemain pasaran. Kapitalis-kapitalis dalam sistem pendidikan yang memiliki institusi-institusi pengajian swasta banyak menjalankan program-program yang tidak selari dengan perkembangan ekonomi yang akhirnya mewujudkan satu lapisan belia yang gagal mendapat pekerjaan.
Pihak kapitalis juga lebih cenderung mewujudkan lebih banyak graduan daripada yang diperlukan mengikut tawaran pekerjaan yang sedia ada supaya mereka dapat menawarkan pekerjaan yang lebih menguntungkan pemodal (seperti gaji yang rendah). Di samping itu, sistem pendidikan tertiari pula tidak memberi peluang kepada mahasiswa-mahasiswi yang berminat untuk menimba ilmu mengikut minat mereka, tetapi hanya untuk menghasilkan kelas pekerja yang menguntungkan pihak kapitalis. Adalah tidak logik apabila sesetengah pihak politik menekankan bahawa universiti patut menjadi kilang yang menghasilkan graduan bagi pasaran sekali gus merendahkan martabat seorang mahasiswa.
Hal ini boleh diatasi dengan penglibatan terus sesebuah kerajaan dalam sistem pendidikan. Sistem pendidikan tertiari negara harus dimiliknegarakan oleh kerajaan kita. Dengan memiliknegarakan sistem pendidikan tertiari, kerajaan kita boleh mewujudkan kursus-kursus dan program-program pendidikan yang boleh melahirkan sumber tenaga yang mampu menyumbang kepada perkembangan ekonomi negara kita mengikut bakat dan minat setiap mahasiswa.
Selain sistem pendidikan, Pemuda PSM juga ingin mengkritik sikap ahli-ahli politik yang melepaskan tanggungjawab mewujudkan peluang pekerjaan kepada pemain-pemain pasaran. Pendekatan ini sudah lama terbukti tidak berkesan. Kerajaan harus memperkenalkan skim pekerjaan terjamin, di mana kerajaan boleh mewujudkan peluang pekerjaan dalam sektor kerajaan dan juga melalui pembukaan industri-industri tempatan. Dengan memiliknegarakan sistem pendidikan tertiari seperti yang diterangkan sebelum ini, kerajaan boleh melaksanakan pembangunan selaras dengan industri-industri baharu yang diperlukan negara melalui dua pendekatan, iaitu pengwujudan modal kewangan serta modal sumber manusia dalam bentuk graduan. Ini memastikan keadaan material negara bertambah baik dan pekerja yang terhasil betul-betul berminat dalam aliran mereka supaya perasaan pengasingan dalam sistem kapitalis tidak wujud.
Penglibatan kerajaan yang proaktif dalam usaha mewujudkan peluang pekerjaan ini akan menjamin pekerjaan yang bermakna dengan gaji wajar, pembangunan negara yang pesat dan juga akan memberi tekanan kepada pihak swasta secara langsung untuk mewujudkan peluang pekerjaan dengan gaji yang tinggi.
Daripada bertabur janji dan menjalankan kempen “satu sudu sawit setiap hari” yang tidak bermanfaat dan tidak progresif, kerajaan bolehlah secara kreatif mewujudkan industri-industri kecil yang melibatkan minyak sawit di kawasan luar bandar yang boleh menambahbaikkan mutu kehidupan rakyat di tempat tersebut. Ini adalah salah satu contoh inisiatif kecil yang boleh diambil oleh kerajaan untuk mewujudkan pekerjaan.
Sudah tiba masanya kerajaan mempertimbangkan skim pekerjaan terjamin sebagai satu strategi utama untuk menangani masalah pengangguran dalam kalangan belia di negara ini. Belia berhak untuk mendapat satu pekerjaan yang stabil, bermakna dan dengan gaji yang bermaruah. Intervensi kerajaan dalam ekonomi amat diperlukan untuk mewujudkan pekerjaan.
==========
Gandipan Nantha Gopalan ialah Setiausaha Pemuda Parti Sosialis Malaysia (Pemuda PSM).